SELAIN dari menyalahgunakan premis awam, Umno-BN didapati juga melakukan pemaksaan terhadap kakitangan kerajaan persekutuan untuk memastikan ramai yang menyambut kedatangan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Malaysia ke Pasir Puteh, Kelantan pada hari Sabtu tanggal 2 Julai 2011.
Ini berlaku apabila kakitangan kerajaan persekutuan di Kelantan telah menerima kad jemputan supaya hadir pada program perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik, Pasir Puteh Kelantan pada hari tersebut. Bagi memastikan kehadiran kakitangan kerajaan ke program tersebut, kad jemputan yang diterima tersebut akan dikutip semula wakil-wakil jabatan yang berada di tempat program dan difahamkan ada tempat khas disedia kepada wakil-wakil setiap jabatan pusat di tempat program untuk memungut kembali kad jemputan daripada setiap kakitangan yang hadir.
Seorang guru mendakwa, setiap Pengerusi PIBG dikehendaki membawa lima ibu bapa pelajar hadir di program berkenaan. Arahan serupa juga diberi kepada mubaligh Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan guru-guru Kafa.
JKKKP difahamkan perlu membawa sekurang-kurang 10 orang penduduk. Begitu juga mubaligh yang makan gaji dengan kerajaan pusat.
Mungkin ada yang beranggapan dan beralasan, program yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri tersebut adalah merupakan program kerajaan persekutuan dan bukannya program parti maka tidaklah menjadi kesalahan maka sekolah digunakan sebagai tapak program. Namun bagi Minda Penulis, Program tersebut bukannya satu program kerajaan persekutuan tetapi sebaliknya adalah merupakan satu program parti Umno-BN. Ini kerana jika diperhatikan sejak hampir sebulan, bendera-bendera Umno dan bendera BN telah banyak terpacak di kiri kanan jalan di Pasir Puteh terutamanya berhampiran sekolah terbabit. Itu belum lagi termasuk yang dipacakkan disekeliling pagar sekolah.
Sekiranya Umno mendakwa itu adalah program kerajaan persekutuan, kenapa bendera parti yang dipacakkan. Kenapa tidak dipacakkan bendera-bendera negeri-negeri dan bendera Malaysia. Ini membuktikan pada pandangan Minda Penulis bahawa yang sebenarnya, Umno-BNlah yang menyalahgunakan premis awam terutamanya sekolah untuk kepentingan politik dan bukannya parti pembangkang.
Minda Penulis berpandangan, tindakan memaksa kakitangan kerajaan persekutuan untuk menghadiri program tersebut adalah merupakan suatu tindakan tidak wajar dan merupakan satu percubaan untuk menipu. Ini adalah kerana setiap rakyat di negara ini termasuklah kakitangan kerajaan persekutuan mempunyai hak peribadi masing-masing untuk menghadiri ataupun tidak apa-apa saja bentuk program. Tindakan memaksa rakyat termasuklah kakitangan kerajaan adalah merupakan suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia.
Minda Penulis berpandangan, tindakan memaksa rakyat dan kakitangan kerajaan untuk menghadiri program bersama Perdana Menteri tersebut adalah merupakan satu tindakan yang menunjukkan bahawa Umno-BN sudah merasa cemas dengan kehilangan sokongan rakyat terhadap Umno-BN.
Tindakan tersebut juga adalah bagi menjaga imej Presiden Umno supaya tidak menerima nasib yang sama seperti nasib Muhyiddin Yassin semasa lawatan beliau ke Bachok bulan lepas yang kelihatan hambar dan tidak mendapat sambutan dari rakyat.
2 comments:
Sejak dari dulu lagi UMNO melakukan kerja2 mengugut kakitangan kerajaan..sesiapa tak datang siapla jawabnya..
Semakin diugut, semakin bertambah kebencian rakyat dan kakitangan kerajaan yang tak ada sebarang kepentingan terhadap Umno
Post a Comment