Powered By Blogger

Monday, July 25, 2011

Artis Sukar Wuduk Dan Solat

KEPUTUSAN yang dibuat oleh Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, 32, untuk tidak mahu kembali ke dalam dunia hiburan seharusnya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Ini adalah kerana beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian dan seharusnya tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Waheeda bahawa hukum menyanyi dan berlakon pada asalnya adalah harus tetapi 'sebab-sebab tertentu' boleh menjadikan karier yang pernah diceburinya adalah haram.

Pengakuan Waheeda bahawa kesukaran menjaga solat dan keadaan persekitaran dalam dunia hiburan yang 'merimaskan' memaksanya membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu selama-lamanya seharusnya membuka mata masyarakat tentang baik dan buruknya dunia hiburan.

Amat mengejutkan bilamana, Waheeda membuat pendedahan bahawa beliau mengalami kesukaran untuk menunaikan solat dan berwuduk kerana penggambaran yang melalaikan.

Lebih mengejutkan lagi bilamana beliau turut membuat pendedahan tentang sikap buruk pengarah produksi yang sengaja membatalkan wuduk beliau dengan sengaja memegang tangan Waheeda. Lebih teruk lagi bila pengarah produksi tersebut mengetawakan beliau setelah wuduk terbatal dengan perbuatan biadap tersebut.

Kita tidak tahu samada pengarah produksi tersebut beragama Islam ataupun tidak. Tetapi tidak kiralah samada beliau beragama Islam ataupun tidak, beliau perlu berhenti melakukan perbuatan tersebut kerana ianya adalah merupakan suatu penghinaan terhadap agama dan amalan yang dituntut oleh Islam. Beliau perlu sedar bahawa tindakan beliau tersebut merupakan satu perbuatan mencabuli kesucian agama Islam. Dan sekiranya beliau beragama Islam dan masih tetap mengaku beragama Islam sewajibnya beliau dengan segera perlu bertaubat atas dosa yang dilakukannya.

Mungkin pengarah produksi tersebut menganggap perbuatan beliau tersebut hanyalah suatu gurauan, namun perlu diingatkan dan ditegaskan bahawa tuntutan dalam agama Islam tidak boleh dijadikan bahan untuk gurauan.

Atas pendedahan yang dibuat oleh Waheeda itu, Minda Penulis rasa keputusan beliau untuk berhenti dari dunia hiburan adalah merupakan suatu keputusan yang perlu untuk dihormati dan sekiranya selepas ini beliau ingin mengubah keputusan beliau, ianya juga perlu untuk dihormati asalkan saja hiburan tersebut berlandaskan syariat Islam dan beliau yakin mampu untuk menjaga syariat yang telah ditetapkan dalam Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...