SETELAH menyatakan persetujuan untuk tidak meneruskan perhimpunan di jalan dan mengalihkannya ke stadium, pihak penganjur himpunan BERSIH telah membuat tempahan untuk menjadikannya sebagai lokasi himpunan tersebut. Namun begitu menurut blog 'Cina Islam' milik YB DRS Khalil Idham Lim, tempahan tersebut telah ditolak oleh pihak pengurusan stadium atas beberapa alasan.
KUALA LUMPUR 6 JULAI : Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah menolak lokasi itu dijadikan tempat himpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada Sabtu ini.
Menurut kenyataan di Facebook BERSIH 2.0, pegawai tempahan memberikan beberapa 'alasan' untuk menolak tempahan itu.
“Antara alasan yang tidak jelas yang dibekalkan oleh pegawai itu adalah 'majlis pengurusan sukan dalaman' dan 'kerja-kerja ubahsuai'.
“(Ini) di sebalik kenyataan ada rancangan bagi mengadakan 'Konsert Raksaksa 2' pada 9 Julai di Stadium Merdeka,” petik kenyataan itu.
Konsert Raksaksa 2, memaparkan legenda tempatan seperti Sweet Charity dan Blues Gang, bagaimanapun telah ditunda sehingga 1 Oktober kerana faktor keselamatan.
Minda Penulis berpandangan walaupun BERSIH telah menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar tidak berhimpun di jalanan, namun pihak kerajaan dan pihak berkuasa akan tetap berusaha untuk menggagalkan perhimpunan tersebut walau di mana sekalipun lokasi himpunan dijalankan.
Minda Penulis sebenarnya meragui keikhlasan Perdana Menteri yang menyatakan kesediaan untuk memberi kebenaran untuk malakukan perhimpunan di stadium. Pada pandangan Minda Penulis, kesedian Najib tersebut sebenarnya hanyalah ibarat kata 'ajak-ajak ayam' sahaja kerana Najib sendiri sebenarnya sama sekali tidak pernah menyangka bahawa penganjur perhimpunan akan menukar fikiran dari berhimpun di jalanan.
Najib dan Umno-BN sebenarnya tidak mahu berlakunya sebarang perhimpunan yang bertentangan dengan kehendak Umno-BN. Ini adalah kerana beliau sedar bahawa sekiranya perhimpunan-perhimpunan sebegini dibiarkan, maka rakyat akan mendapat maklumat apa sebenarnya kelemahan di pihak kerajaan dan sekaligus ianya boleh mengurangkan sokongan terhadap pentadbiran atau pemerintahan Umno.
Najib dan Umno juga sebenarnya amat gusar sekiranya apa yang berlaku terhadap kerajaan Tunisia dan Mesir turut berlaku kepada pemerintahan Umno di Malaysia. Dan jika ianya berlaku, Umno akan kehilangan kuasa memerintah.
Minda Penulis amat berharap agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terus memantau situasi yang berlaku sekarang dan semoga Seri Paduka Baginda dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan hak-hak rakyat jelata kekal terbela dan tidak terus teraniaya oleh kerakusan sesetengah pemimpin.
No comments:
Post a Comment