PENDEDAHAN Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim bahawa Tengku Razaleigh Hamzah ditawarkan oleh Pakatan Rakyat untuk menjadi Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit bersalah dalam kes yang dihadapinya segera mendapat reaksi dari pemimpin-peminpin Umno.
Antara pemimpin Umno yang turut memberikan reaksi atas apa yang dikatakan sebagai 'pendedahan' itu adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi. Menurut beliau apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat adalah satu perbuatan tikam belakang.
Beliau dilaporkan sebagai berkata, "pakatan pembangkang mengamalkan politik tikam belakang jika benar mereka mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memegang jawatan Ketua Pembangkang."
Mohd Puad juga berkata, pelawaan tersebut hanya menunjukkan pembangkang semakin terdesak dan hilang keyakinan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menghadapi kes (syariah) di mahkamah sivil.
Minda Penulis fikir pertamanya, jika Mohd Puad merasakan pembangkang menikam dari belakang hanya dengan membuat tawaran kepada Tengku Razaleigh untuk menjadi Ketua Pembangkang, maka apa kurangnya dengan Umno. Minda Penulis masih belum lupa dengan tindakan Umno yang sudah banyak kali cuba untuk mengajak pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyertai Umno. Lebih teruk lagi bukan hanya ditawarkan dengan jawatan bahkan ada di kalangan pimpinan pembangkang turut ditawarkan dengan ganjaran berbentuk harta benda. Antara pemimpin pembangkang itu adalah Mursyidul Am PAS sendiri yang turut menjadi sasaran Umno.
Ini bermakna, budaya politik tikam belakang sebagaimana yang didakwa oleh Mohd Puad turut menjadi amalan biasa dalam Umno sendiri. Jadi, Minda Penulis berpendapat Mohd Puad seharusnya berhenti berkokok tak tentu arah sehingga pekung sendiri terbuka luas.
Keduanya, apa yang dikatakan sebagai 'pendedahan' tersebut datangnya dari Zahrain Mohamaed Hashim yang ramai sudah tahu bahawa beliau sudah hilang kredibiliti dan tidak boleh dipercayai apa yang diperkatakan beliau. Jadi apa yang di perkatakan oleh Zahrain itu belum tentu sahih lagi kebenarannya melainkan jika pendedahan itu datangnya dari lidah Tengku Razaleigh sendiri.
Sebenarnya pada pendapat Minda Penulis, tidak timbul apa yang dikatakan sebagai politik tikam belakang itu jika benar Tengku Razaleigh menerima tawaran pembangkang kerana mana mungkin boleh terjadi tikam belakang kerana Umno dan Pakatan Rakyat bukannya dari satu pihak yang sama. Pada pendapat Minda Penulis ianya lebih sesuai disebut sebagai pertarungan secara berdepan dan masing-masing boleh menghalang, mengelak atau menepis serangan. Lainlah jika ianya datang dari dua parti yang datang dari pihak yang sama. Barulah ianya sesuai disebut tikam belakang kerana ia tidak mampu menghalang, mengelak atau menepis lantaran serangan itu datangnya dari belakang secara senyap.
Juga sesuai dikatakan sebagai tikam belakang 'sekiranya' Muhyiddin Yassin secara senyap-senyap mengatur strategi beliau untuk menjatuhkan Najib Razak dari kerusi Perdana Menteri. Yang tu baru betul orang panggil tikam belakang.
No comments:
Post a Comment