HARIAN METRO Edisi Timur 11 Julai 2011 pada muka surat 6 ruangan setempat melaporkan seorang ibu di Kuala Terengganu merasa terkilan dan sedih apabila anaknya yang ditangkap oleh pihak Polis serta ditahan dalam lokap Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu dalam keadaan bergari tidak dibawa ke Hospital untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami kecederaan teruk dikepala.
Akibat dari kegagalan pihak berkuasa tersebut mangsa, Mohd Azizul Muda 24 tahun dilaporkan meninggal dunia.
Ibu malang tersebut, Zainun Mamat dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam dilaporkan berkata, beliau telah bertanya kepada seorang anggota polis bertugas kenapa anaknya berkeadaan demikian tetapi anggota polis tersebut dikatakan memberikan jawapan bahawa mangsa hanya berpura-pura tidak sedarkan diri.
Walaupun mangsa kelihatan agak teruk kerana kecederaan pada bahagian kepala. tiada usaha dilakukan oleh anggota polis yang bertugas untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisionar Zamri Shamsuddin dilaporkan berkata bahawa mangsa mendapat kecederaan tersebut apabila mangsa yang menunggang motosikal bersama abangnya terbabas dan terjatuh ketika melarikan diri daripada polis yang membuat operasi di Jalan Semarak pada 6 Julai lalu.
Zamri kemudiannya memberikan alasan bahawa kecederaan yang dialami mangsa adalah akibat dari motosikal yang ditunggang mangsa terbalik lalu menghempap kepala mangsa.
Minda Penulis berpandangan dalam hal ini walau apa alasan sekalipun, pihak polis sepatutnya melakukan usaha untuk membawa mangsa ke Hospital untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu. Ibu mangsa tidak bertanya kenapa mangsa ditahan dan dilokap tetapi yang dipersoalkan sekarang adalah kenapa tiada usaha oleh pihak polis untuk menghantar mangsa untuk mendapatkan rawatan.
Anggota polis yang bertugas pada masa kejadian tidak sepatutnya memberikan jawapan yang acuh tidak acuh kerana dalam soal kecederaan, apabila bahagian kepala yang mendapat kecederaan maka ianya ditakrifkan sebagai kecederaan parah dan perlukan rawatan yang segera. Tidak sepatutnya anggota yang bertugas memberikan jawapan yang bodoh apabila diajukan pertanyaan.
Minda Penulis berpandangan bahawa satu siasatan perlu dijalankan ke atas anggota yang bertugas di Balai Polis Gong Badak pada malam tersebut. Sekiranya berlaku kecuaian di pihak polis maka seharusnya satu tindakan tegas perlu diambil ke atas anggota terbabit.
No comments:
Post a Comment