Powered By Blogger

Sunday, July 31, 2011

Tak Rela Minta Maaf

TERPULANGLAH pada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminta maaf kepada kelab Liga Perdana England, Chelsea berhubung insiden pemainnya, Yossi Benayoun yang berasal dari Israel menjadi mangsa ejekan dan cemuhan peminat bola sepak tempatan jika FAM rasa itu adalah haknya untuk meminta maaf.


Namun begitu FAM atau kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik tidak perlu untuk mengatakan permohonan maaf tersebut adalah bagi pihak peminat tempatan kerana sama sekali peminat tempatan terutamanya yang beragama Islam tidak akan meminta maaf kepada bangsa yang membunuh umat Islam di Palestin.

Rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam yang cinta dan kasih akan saudaranya di Palestin sama sekali tidak akan memaafkan satu bangsa yang membunuh, merogol dan menganiaya umat Islam di Palestin dan sama sekali kami tidak akan tunduk kepada mereka.

Namun begitu Minda Penulis amat kesal dengan tindakan FAM tersebut dan juga kenyataan dari Ahmad Shabery berhubung perkara itu. Kerajaan sepatutnya mengambil kira perkara-perkara yang menjadi isu sensitiviti sebelum memberi kebenaran kepada warga Israel untuk memasuki negara ini walaupun untuk menyertai pertandingan bola sepak.

Minda Penulis amat kesal bilamana Ahmad Shabery cuba untuk mengaitkan isu ini dengan politik. Harus diingat, isu yang menyentuh kekejaman serta kezaliman terhadap rakyat Palestin bukanlah suatu isu politik. Ini adalah isu membabitkan soal-soal kemanusiaan dan keagamaan.

Sepatutnya kerajaan melalui Kementeri Dalam Negeri (KDN) tidak memberikan kebenaran kepada pemain tersebut untuk memasuki negara ini. Minda Penulis berpandangan, walaupun KDN mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada mana-mana warga Israel untuk memasuki negara ini tetapi harus juga diingat bahawa KDN juga mempunyai kuasa untuk menolak permohonan kemasukan warga Israel itu ke negara ini. 

Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar dari bantahan yang pernah dibuat oleh rakyat suatu ketika dahulu bilamana kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan kriket dari negara zionis tersebut untuk masuk ke Malaysia.

Sepatutnya dalam soal yang melibatkan persoalan membabitkan isu-isu yang melibatkan umat Islam yang dizalimi kita tidak perlu untuk bersikap sporting sebagaimana yang dikehendaki oleh Ahmad Shabery kerana kita harus sedar bahawa tidak akan sempurna iman seseorang Islam itu sehinggalah beliau mengasihi saudaranya sesama Islam. Janganlah sampai kerana terlalu ingin menjadi seorang yang sporting sehingga sanggup menggadaikan iman sendiri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...