Powered By Blogger

Monday, July 11, 2011

Dr Burhanuddin Al-Helmy (1911-10 Oktober 1969)

NAMA sebenar beliau ialah Burhanuddin Bin Mohamad Noor dilahirkan di Kampung Changkat Tualang, Mukim Kota Bharu, Gopeng, Perak pada tahun 1911, Beliau merupakan anak pertama kepada Haji Mohamad Noor yang berasal dari dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau Sumatera dan telah berhijrah ke Perak pada tahun 1908. Manakala ibunya pula Sharifah Zaharah bt Habib Osman yang berasal dari Melaka.

Pada tahun 1926 Dr Burhanuddin telah menuntut selama 6 bulan di sekolah agama kelolaan Syeikh Mohamad Khatib Minangkabau di Sungai Jambu, Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran beliau di sekolah pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah selama sebulan.  Pada tahun 1927 Dr Burhanuddin melanjutkan pelajaran di Madrasah al-Masyhor, Pulau Pinang.

Pada tahun 1934 beliau telah melanjutkan pelajaran beliau di Universiti Aligrah, New Delhi, India di dalam bidang falsafah dan sastera.

Pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1942 - 1945, Dr Burhanuddin telah  dilantik menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam & Adat Istiadat Melayu.

Selepas Perang Dunia ke II, Burhanuddin menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris, dan Dr. Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan "kesatuan politik" Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya. Pada tahun 1950, beliau telah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura.

Pada tahun 1956, Dr Burhanuddin telah menyertai menyertai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Pada tahun yang sama juga, kepimpinan tertinggi PAS telah berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin sebagai Yang Dipertua Agung PAS ke-3 menggantikan Dato' Dr Haji Abbas Alias. Jawatan tersebut terus disandang oleh beliau sehingga beliau meninggal dunia.

Pada  tahun yang sama juga, beliau telah bertanding dalam pilihanraya umum dan memenangi kerusi Parlimen Besut, Terengganu.

Di bawah kepimpinan Burhanuddin, PAS mempunyai orientasi menyokong kesatuan sekerja dan anti-kolonialisme. Beliau digambarkan sebagai seorang "nasionalis radikal dan pemikir Islam". Kepemimpinannya terpotong oleh penangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1965, dan selanjutnya dipenjara selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia. 

Semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, jawatan beliau sebagai Yang Di Pertua Agung PAS telah dipangku oleh Naib Yang Dipertua Agung, Mohd Asri Haji Muda sehinggalah beliau dibebaskan pada tahun 1966.  Walaupun dibebaskan, Dr Burhanuddin telah dikenakan perintah tahanan terhad oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri pada masa itu iaitu Tunku Abdul Rahman Petra.

Dr. Burhanuddin meninggal dunia pada tanggal 10 Oktober 1969 akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang beliau terima semasa dalam tahanan ISA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...