Powered By Blogger

Sunday, July 17, 2011

Sokong Pasukan Sendirilah Wahai Rakyat Malaysia

SEKARANG ni pasukan Harimau Malaya sedang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab bolasepak Eropah dan antara yang telah berlangsung adalah pasukan Arsenal dan Liverpool. Dalam kedua-dua perlawanan tersebut pasukan negara tewas 0 - 4 kepada Arsenal dan 3 - 6 kepada Liverpool. 

Namun Minda Penulis bukan mahu membicarakan soal kedua-dua perlawanan tersebut ataupun mana-mana perlawanan yang bakal berlangsung pada masa akan datang. Apa yang ingin Minda Penulis perkatakan adalah mengenai sikap masyarakat kita sendiri dalam soal memberikan sokongan kepada pasukan bolasepak.

Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, dapat kita semua lihat rakyat negara kita berpecah sokongan. Ada yang kekal setia memberikan sokongan kepada pasukan negara sendiri dan ada juga rakyat negara kita yang begitu minat dengan pasukan kelab dari Eropah itu hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan dari Eropah itu.

Minda Penulis bukannya nak kata kita tak boleh untuk minat dan sokong pasukan kelab dari Eropah itu tapi pada pandangan Minda Penulis, buat masa ni adalah lebih baik dan lebih cerdik kalau kita tumpukan sokongan kita kepada pasukan negara kita sendiri. Bila dah habis perlawanan yang melibatkan team negara sendiri nanti, lantak koranglah nak sokong pasukan mana sekalipun.

Minda Penulis rasa sedih bila ada rakyat kita sendiri sanggup bersorak riuh meraikan jaringan gol pasukan kelab Eropah dan sanggup mencemuh pasukan negara sendiri. Mana pergi kesetian kita pada negara sendiri dan mana pergi maruah dan harga diri kita dalam hal ini.

Sepatutnya kita sebagai rakyat negara Malaysia, perlu bersatu memberikan sokongan padu kepada pasukan negara kita sendiri dan sepatutnya kita perlu tunjukkan kepada pasukan dari Eropah itu bahawa negara kita sendiri mempunyai penyokong setia pasukan negara. Ini dah jadi terbalik, sepatutnya Stadium Nasional Bukit Jalil kita penuhkan dengan warna jersi pasukan negara kita bukannya warna jersi pasukan negara lain.

Dalam soal bolasepak, Minda Penulis lihat rakyat kita masih lagi tidak cukup dengan sikap patriotiknya. Sepatutnya kita semua tunjukkan semangat patriotik kita kepada pasukan luar negara. Tunjukkan bahawa kita cinta dan sayangkan negara kita bukannya cinta dan sayang kepada pasukan luar negara.

Menyedihkan dan memalukan bila ada manusia (rakyat Malaysia) begitu bangga menyokong dan memakai jersi sebuah pasukan kelab Eropah tetapi akhirnya dimalukan dan diaibkan oleh manusia lain (juga rakyat Malaysia) yang juga begitu bangga menyokong dan memakai jersi sebuah pasukan kelab Eropah yang lain pula. Lebih menyedihkan dan memalukan bila mereka-mereka ini yang rata-ratanya beragama Islam begitu bangga memakai jersi yang terang-terangan mempromosikan sesuatu yang diharamkan oleh agama Islam.

Bukan niat Minda Penulis untuk menghina rakyat negara sendiri, tetapi hakikat yang sebenarnya mereka-mereka ini (rakyat Malaysia yang menyokong pasukan negara lain) sendirilah yang menghina dan mengaibkan diri sendiri.

Akhir kata, Minda Penulis amat berharap insiden sepertimana yang dapat kita saksikan dalam video di bawah ni tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang kerana Minda Penulis rasa ianya amat memalukan dan ianya adalah satu sikap yang tidak bijak untuk dimiliki oleh rakyat kita terutamanya golongan-golongan muda yang sepatutnya lebih terpelajar.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...