'BAKAL' Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dilaporkan meminta Haji Suhardi Mat Isa supaya tampil membantu membantu siasatan polis dan menjelaskan mengapa dan siapa yang menyuruhnya berpura-pura mati sehingga menimbulkan salah faham terhadap orang ramai dengan kematian Baharudin Ahmad ketika perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.
Minda Penulis tidak faham kenapa boleh timbul pula dakwaan Haji Suhardi berpura-pura mati kerana setahu Minda Penulis, tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana pihak terutamanya dari penganjur Bersih dan pihak Pakatan Rakyat bahawa Haji Suhardi meninggal dunia.
Apa yang Minda Penulis tahu bahawa Haji Suhardi dilaporkan mengalami sesak nafas yang teruk semasa ditahan oleh polis dalam perhimpunan tersebut tetapi tidak sampai meninggal dunia. Minda Penulis dan semua orang juga tahu bahawa yang meninggal dunia adalah Baharudin Ahmad dan secara kebetulan pula punca kematian Allahyarham Baharudin dilaporkan adalah kerana mengalami sesak nafas.
Dua individu yang berbeza dan Minda Penulis percaya bahawa polis sedar bahawa Haji Suhardi tidak berpura-pura mengalami sesak nafas kerana yang membawa Haji Suhardi ke hospital untuk mendapatkan rawatan adalah polis sendiri.
Cuma apa yang Minda Penulis tahu bahawa timbul sedikit kekeliruan kerana ramai yang tidak mengenali siapa Baharudin Ahmad dan siapa Haji Suhardi. Jadi bila dilaporkan berlakunya kematian semasa perhimpunan kerana dikatakan sesak nafas dan secara kebetulan pula terdapat juga individu lain yang juga mengalami sesak nafas dan kejadian semasa individu yang mengalami sesak nafas itu dirakam maka orang yang tidak mengenali siapa Baharudin dan siapa Haji Suhardi akan terkeliru.
Oleh itu pada pandangan Minda Penulis, tidak timbul langsung persoalan mengatakan Haji Suhardi berpura-pura mati dan tidak timbul juga persoalan mengapa dan siapa yang menyuruh berpura-pura mati kerana perkara itu (berpura-pura mati) sebenarnya langsung tidak berlaku.
Minda Penulis berharap 'bakal' Ketua Polis Negara lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan kerana sekiranya kenayataan yang diberikan itu tidak masuk akal maka ianya akan lebih mendedahkan ketidakcerdikan seorang yang bakal menjadi Ketua Polis Negara.
No comments:
Post a Comment