PROGRAM pemimpin bersama rakyat anjuran Umno di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Pasir Puteh Kelantan yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Julai 2011 dilaporkan oleh media-media tunggangan Umno dihadiri oleh seramai 20,000 orang rakyat Kelantan.
Satu jumlah yang sudah cukup untuk menjadi kebanggaan Umno dan Najib sendiri. Mengulas kehadiran tersebut, Najib berkata, kehadiran rakyat seramai itu menunjukkan bahawa rakyat Kelantan sudah beralih arah dan ingin memberi mandat kepada Umno untuk memerintah Kelantan.
Namun begitu, adakah jumlah tersebut boleh dibanggakan oleh Umno dan Najib sendiri? Untuk rekod, jumlah kehadiran rakyat di program tersebut adalah termasuk kehadiran penjawat awam yang dipaksa untuk menghadiri program tersebut. Ini dibuktikan apabila kakitangan pusat dan guru-guru diberi kad jemputan supaya hadir pada majlis bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman. Dan kad jemputan tersebut perlu diserah semula sebagai rekod kehadiran.
Begitu juga program Najib di Sekolah Menengah Hamzah 1, Machang diberitakan bahawa pelajar UiTM kampus Machang dan kakitangan awam pusat hadir pada program majlis pemimpin bersama rakyat. Nasib yang sama turut diterima oleh kakitangan kerajaan semasa Najib hadir pada program di Wisma Persekutuan Kota Bharu pada hari yang sama.
Namun begitu, jumlah kehadiran rakyat Kelantan pada program tersebut seramai 20,000 orang adalah diragui kebenarannya. Ini adalah kerana mengikut maklumat yang diterima, jumlah kehadiran sebenar pada program tersebut tidak pun sampai 5,000 orang. Itupun ramai yang sebenarnya telah pulang sebaik sahaja menyerahkan kad jemputan yang diberikan kepada pihak urusetia program.
Seorang penduduk mendakwa, ketika rombongan Datuk Seri Najib Razak sampai orang ramai yang sudah berbondong-bondong keluar dari pagar sekolah. Ini menunjukkan kehadiran orang ramai pada program tersebut adalah tanpa kerelaan hati mereka.
Minda Penulis sebenarnya sudah menduga perkara tersebut. Minda Penulis memang tidak yakin dengan dakwaan yang mengatakan seramai 20,000 orang rakyat Kelantan begitu lapar untuk hadir pada program bersama Najib tersebut. Dan minda Penulis juga sudah menduga bahawa jumlah seramai itu hanyalah propaganda untuk menunjukkan bahawa Umno sudah semakin diterima di Kelantan.
Namun begitu, Minda Penulis percaya dan yakin bahawa majoriti rakyat Kelantan sebenarnya masih lagi setia dan teguh berdiri di belakang kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan dakwaan Umno dan media-media milik mereka tersebut hanya akan menjadi satu bahan lawak jenaka semata-mata.
No comments:
Post a Comment