Powered By Blogger
Showing posts with label Kenyataan rasmi. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan rasmi. Show all posts

Sunday, June 17, 2012

Haji Dan Politik

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
SAYA tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS




Saturday, May 19, 2012

Muzakarah: PAS Tidak Pernah Menolak Dan Muhyiddin Berbohong

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



SAYA merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mei 2012 yang lalu yang dikatakan sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Di dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin turut dilaporkan berkata, "...Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara
Malaysia kita tidak jadi masalah.."

Suka saya membuat sedikit penjelasan terhadap kekeliruan Muhyiddin tentang sikap Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku al-Mursyidul Am Pas. Di dalam isu dialog dengan mana-mana pihak atas nama muzakarah, muqabalah mahupun mujadalah, YAB Tuan Guru sentiasa konsisten dengan komitmen bahawa pertemuan dialog harus dilakukan sentiasa bagi mencari penyelesaian.


Antaranya sukalah saya merujuk kepada kronologi berikut:


1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 5 Februari 2011 yang antara lain menyatakan kesediaannya untuk berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan ekoran dakwaan yang menyatakan beliau mengeluarkan fatwa yang melanggar syarak. Antara lain beliau berkata,


“Saya setuju benar orang berdialog dengan saya. Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik.." Kenyataan ini boleh dirujuk di sini

2. Pada 20 Ogos 2009, YAB Tuan Guru sebagaimana dilaporkan Bernama juga menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu-isu yang timbul ekoran kenyataan yang dikeluarkan olehnya. Laporan Bernama di pautan berikut boleh dirujuk di sini


3. Bahkan pada tahun 2008, YAB Tuan Guru juga menyatakan kesediannya untuk bermuqabalah (bersemuka) dengan mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Ia boleh dirujuk melalui laporan BERNAMA di sini


Justeru, apabila Muhyiddin menyatakan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah, ia menunjukkan kekeliruan di pihak Muhyiddin yang gagal membezakan antara muzakarah dengan penyatuan antara PAS-Umno. Di dalam isu penyatuan Pas-Umno, benar sekali YAB Tuan Guru konsisten menentang penyatuan ini yang dilihat hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan diri dari lemas dalam pilihan raya.

Kekeliruan Muhyiddin memahami perbezaan antara kedua-dua isu ini menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah. Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Muhyiddin sendiri yang menolak debat dengan pembangkang. seperti yang dilaporkan di pautan sini

 

Menolak debat dengan pembangkang namun dalam masa yang sama bersetuju dengan muzakarah bersama Pas membuktikan sedikit sebanyak silap faham Muhyiddin dalam isu ini. Sekalipun muzakarah dan debat berkemungkinan sedikit berbeza tetapi asasnya sama iaitu bertemu, berdialog dan berhujah. Apatah lagi jika muzakarah ditafsirkan sebagai penyatuan, ia lebih silap!

Hakikatnya, bukan YAB Tuan Guru yang mengemukakan pelawaan untuk bermuzakarah. Beliau hanya menjawab soalan wartawan selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada 16 Mei 2012 yang lalu iaitu "Adakah Pas sedia bermuzakarah?" maka jawapan dari YAB Tuan Guru ialah, "Ya.."


Dipercayai soalan wartawan tersebut merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden Pas yang memberikan respons ekoran kenyataan Mufti Perak yang menyatakan bahawa Pas telah terpesong daripada perjuangan Islam. Justeru, respons Tuan Guru Datuk Seri Presiden Pas ialah, "Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno..." Rujuk di sini


Kesimpulannya, pendirian YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am Pas dalam isu muzakarah ialah jelas. Pintunya sentiasa terbuka untuk sesiapa sekalipun. Tetapi untuk berpadu dengan Umno bagi menyelamatkan Umno yang sedang terkapai-kapai, pohon maaf.


Kenyataan oleh:
Ahmad Fadhli Shaari, 
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan

Wednesday, March 21, 2012

Pajak Tanah : Mustapha Lupa Jenayah Kerajaan UMNO

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

1. SAYA membaca laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini 21 Mac 2012 yang menyiarkan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustpaha Mohamad berkenaan tanah rizab Melayu di Kelantan. Katanya, rakyat Kelantan teraniaya kononnya ekoran tindakan kerajaan negeri Kelantan memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputera.

2. Saya kira ini merupakan kali berikutnya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan data. Rakyat Kelantan masih ingat pada awal Februari lepas, individu inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa RM600 juta telah diberikan secara PERCUMA kepada kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah air. Hakikatnya, ia adalah pinjaman yang perlu dibayar.

3. Hari ini, tanpa data dan fakta, beliau sekali lagi menyerang kerajaan negeri Kelantan dalam isu pajakan tanah rizab Melayu. Barangkali beliau lupa bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasionallah yang telah meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan tanah rizab Melayu dipajak kepada bukan Melayu untuk dimajukan. Sedarkah Mustapha bahawa inilah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2004 setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-60? Kenyataan tersebut disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2004 di dalam bahagian Ekonomi. Saya boleh membantu Mustapha melayari kenyataan ini di pejabatnya dengan menyalin pautan berikut dan letakkannya di pelayar komputer Datuk Seri : Lihat sini.

4. Jika ingin membaca tindakan kerajaan UMNO yang lebih terkini, boleh dilihat kepada kenyataan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 15 Mac 2012 yang lalu yang menyatakan bahawa kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan. Ini boleh dibaca di pautan berikut : Lihat sini

5. Untuk pusingan ini, saya pohon Mustapha agar mendatangkan data dan fakta keluasan tanah Rizab Melayu di Kelantan yang dipajak kepada syarikat bukan bumiputera, janganlah hanya bercakap tanpa fakta sedangkan anda seorang Menteri!

6. Dalam masa yang sama, barangkali Mustapha lupa dengan tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini yang sedang berusaha memajak tanah Felda melalui penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia. Logiknya, apabila ia disenaraikan, ia bebas untuk dibeli oleh sesiapa sahaja dan yang dipertaruhkan ialah aset peneroka! Tidakkah ini yang sebenarnya mengancam kepentingan rakyat?

7. Bersedia menjadi seorang Menteri Besar Kelantan ialah bersedia untuk dilantik secara rasmi dan beribupejabat di Kota Darulnaim dan bukannya hanya sekdar bersedia untuk melayakkan diri ditabal di atas Gunung Reng, Jeli.

Salam hormat.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 21 Mac 2012




Tuesday, March 20, 2012

Tanah Rizab Melayu : Fatmi Dipelawa Untuk Berdebat

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Dato Mohd Fatmi Che Salleh seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini Selasa 20 Mac 2012 (muka 10) berkenaan dengan isu Tanah Rizab Melayu yang didakwa tergadai di Kelantan. Dalam kenyataan tersebut beliau menyatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak mempunyai perancangan yang teliti di dalam membangunkan negeri sehingga menyebabkan tanah rizab Melayu tergadai.

Sukacita saya memaklumkan bahawa kenyataan Fatmi tersebut yang tidak disertakan dengan fakta sangatlah tidak tepat dengan hakikat yang sebenar. Saya amat hairan bagaimana seorang Setiausaha Politik yang paling kanan kepada Perdana Menteri Malaysia boleh mengeluarkan kenyataan tanpa menyebut sandaran fakta yang kukuh.

Suka saya memaklumkan bahawa sekiranya Fatmi merujuk kepada Laporan Khas Utusan Malaysia pada 19 Mac 2012 yang meletakkan isu Tanah Rizab Melayu yang tergadai di Kelantan di muka hadapannya, terdapat beberapa kekeliruan yang sengaja ditimbulkan di dalam laporan tersebut. Ini termasuklah dakwaan bahawa beberapa projek pembangunan seperti Lembah Sireh, bandar Baru Tunjong, Muzium Pasir Pekan, Pelabuhan Darat Kuala Krai, Pusat Membeli Belah KB Mall, Tune Hotel serta Ladang Rakyat kononnya melibatkan tanah rizab Melayu yang digadaikan.

Saya melihat bahawa kekeliruan ini sengaja ditimbulkan oleh UMNO melalui Utusan Malaysia dalam misi untuk menghakis kepercayaan orang-orang Melayu terhadap kerajaan negeri Kelantan. Kebanyakan projek yang disebut itu ialah tanah kerajaan yang yang diberi milik kepada agensi-agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin). Ia kemudiannya dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun. Ia sama sekali tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat dan dilaksanakan berdasarkan pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju.

Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menggadaikan tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari pengkhianatan UMNO terhadap tanah rezab Melayu.

Fakta ini belum lagi mengambil kira pengkhianatan Umno kepada orang Melayu yang telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Jika diperincikan, terlalu banyak kes di mana pemimpin UMNO memperalatkan Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1992 yang memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan negeri mengambil tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan untuk pembangunan.

Di Kedah ketika di bawah pemerintahan UMNO, mereka merampas tanah sawah 2,000 ekar di Kerpan dan diserahkan kepada Syarikat Benladin Group untuk projek udang harimau. Projek itu gagal dan petani-petani di Kerpan sekarang hilang hak mereka ke atas tanah-tanah sawah tersebut. Di dalam persidangan DUN Kedah pada bulan Ogos 1996, Menteri Besar Kedah ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid telah memberikan jawapan bertulis terhadap pertanyaan ADUN Sala, Ustaz Azizan Abdul Razak (sekarang Datuk Seri) menyatakan bahawa 20,677.89 hektar tanah rezab Melayu telah dijual dan pada tarikh itu kerajaan Kedah belum lagi mengganti tanah yang dijual itu. Di Johor, Umno merampas 26,000 ekar tanah dari Tanjung Langsat hingga ke Tanjung Piai, Pontian untuk membina Bandar Baru Piai. Kampung rakyat itu diserahkan kepada Syarikat Kok Brothers dan UEM. Lebih teruk lagi, tanah-tanah rezab Melayu dan tanah-tanah projek Wilayah Pembangunan Iskandar juga telah dijual kepada Cina Singapura. Di Melaka, Umno mengambil tanah rakyat di Kampung Pantai Kundur dan tanah Merah untuk pembinaan Butter Zone oleh Petronas. Di Terengganu, Umno menjual tanah orang ramai di Pulau Redang kepada Syarikat Berjaya Group seluas kira-kira 300 ekar dengan harga RM500.00 seekar. Ia dijual pula dengan harga RM70,000.00 seekar. Ini belum lagi mengambil kira tanah Keretapi Tanah Melayu yang dijual di Singapura dan rundingan Pulau Batu Putih yang memperlihatkan kecerdikan kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

Justeru, di atas tajuk Tanah Rizab Melayu : Siapa Pengkhianat? saya mempelawa Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Dato Mohd Fatmi Che Salleh untuk bersama-sama saya di atas pentas debat pada bila-bila masa sahaja. Saya kira beliau akan mempunyai peluang untuk mendedahkan apa yang didakwanya sebagai pengkhianatan kerajaan PAS Kelantan terhadap Tanah Rizab Melayu. Di atas pentas yang sama, pelbagai lagi fakta dan data boleh didedahkan di hadapan khalayak yang akan membuat penilaian yang bebas. Format debat dan aspek teknikal boleh dibincangkan kemudian setelah Fatmi bersetuju dengan pelawaan saya.

Salam hormat.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 20 Mac 2012

Sunday, March 4, 2012

Kemelut Syria : Umat Islam Wajib Prihatin

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Berasaskan nas nabawi yang mafhumnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

Seterusnya sabda Nabi SAW yang mafhumnya: “Siapa yang tidak prihatin hal ehwal umat Islam, maka dia bukan di kalangan mereka.” (Hadis riwayat Hakim)

Justeru, atas semangat ukhwah Islamiah yang prihatin, cakna dan kasihkan saudara mereka sesama Islam, maka Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS dengan ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dan padu kepada saudara seIslam di Syria yang sedang ditindas, dibunuh, dipenjara tanpa hak yang sebenarnya.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : "Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan Kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji." (Surah al-Buruj: 8)

Sokongan ini selari dengan resolusi dan bayan yang dikemukakan oleh Persatuan Ulama Sedunia seramai 107 orang yang dipengerusikan oleh Al-Allamah Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Antara ulama yang menyatakan sokongan ialah:

•Syeikh Abdullah bin Biah, Timbalan Persatuan Ulama Sedunia.
•Syeikh Sadiq al-Ghiryani, Ulama Besar Libya.
•Syeikh Nasir Farid Wasil, Mantan Mufti Mesir.
•Dr. Ali Jumuah, Mufti Mesir.
•Dr. Salman bin Fahad al-Udah.
•Syeikh Nabil al-Iwadi.
•Dr. Isam al-Basyir.
•Dr. Abd Majid al-Zandani.
•Syeikh Iwadh al-Qarani.
•Dr. Tariq Suwaidan.

Dengan situasi yang terkini amat wajar pemimpin OIC, para ulama dan umat Islam di seluruh dunia wajar memberi tekanan kepada rejim Asad di Syria agar berundur dengan menyantuni suara dan hasrat rakyat.

Dalam masa yang sama sebarang campur tangan kuasa asing dan bukan Islam melibatkan ketenteraan sepertimana berlaku di Iraq juga perlu ditolak kerana akhirnya hanya menambahkan kemusnahan negara dan tamadun umat yang dibina.

Antara resolusi awal yang dicadangkan ialah diadakan Qunut Nazilah sebagai senjata spiritual bagi mukmin serta memberi bantuan kepada penduduk Syria.

Bagi menambahkan lagi kefahaman dengan situasi semasa dan terkini di Bumi Syam, pihak Lajnah Penyelidikan PAS bercadang untuk mengadakan Seminar Khas berkenaan isu terkini Kemelut Syria pada 25 MAC 2012 akan datang.

Sekian,

 
Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat
1 MAC 2012 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1433H

Sunday, February 26, 2012

Kenyataan Dr Badrul Amin Atas Tuduhan Ditangkap Khalwat

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

Wednesday, February 22, 2012

Anwar Ibrahim, Palestin Dan Israel

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PAGI kelmarin, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ , iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestine untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.

Monday, February 13, 2012

Isu Sokong Negara Israel: Keputusan Majlis Syura Ulama' PAS

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.


Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

PAS Tetap Tolak Negara Haram Israel

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


BUMI Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama samawi. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa terbesar dunia di zamannya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud.

Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan kerana ramainya para Rasul dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya kaki para anbiya’ dan banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana dibunuh oleh bangsa Yahudi dengan zalimnya, menyebabkan mereka dilaknat Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga menjadikan kiblat pertama bagi umat Islam di bumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya Isra’ dan bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu Allah. Maka yang layak memakmurkan Palastin ialah mereka yang beriman dan budiman.

Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.

Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi besarnya dengan meminta Khalifah Umar datang menyaksikannya. Maka Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi gereja besarnya, kemudian dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian mazhab Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera salib menakluk Palestin. Keadaan menjadi baik semula, setelah Sultan Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani semua pengunjungnya dengan adil.

Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan umat Islam Arab yang memperkecilkan Islam dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah di kalangan penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan British. Perjanjian Balfore dimeteraikan di antara pemimpin Zionis Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekular yang memisahkan agama Yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar ini, semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. sehingga menakluk dunia.

Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.

Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.

Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.

Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.

Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.

Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Di antaranya firman Allah:
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 ) البقرة.

61. Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.

Firman Allah:
إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران .

21. Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih.

22. Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong.

Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan, memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya seperti golongan Zionis Yahudi tersebut.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Tuesday, February 7, 2012

Pembohong Tidak Layak Menjadi Pemimpin

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

Saya ingin mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti yang tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 5 Februari 2012. Beliau di dalam kenyataan yang disiarkan pada hari seluruh umat Islam di dunia menyambut perayaan Maulidur Rasul itu antara lain menyatakan, “RM600 juta sudah diberi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara percuma tetapi sampai ke hari ini mereka gagal menyelesaikan masalah air. Duit sebanyak ini kalau kita buat pinjaman di bank akan dikenakan kadar faedah sehingga tujuh peratus, tetapi mereka dapat percuma namun tiada hasil yang dapat dilihat..”. Menurut laporan tersebut, kenyataan itu dikeluarkan oleh Mustapa ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Tanah Merah pada 4 Februari 2012.

Hakikatnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustapa itu merupakan satu pembohongan yang sangat jelas. Saya begitu hairan bagaimana beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang pernah mengeluarkan kenyataan bersedia untuk menjadi Menteri Besar Kelantan pada November tahun lepas tergamak mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas tidak benar. Samada beliau sengaja berbohong atau mendapat maklumat yang salah? Sebagai seorang Menteri, amatlah tidak logik jika beliau mendapat maklumat yang salah, justeru jika beliau berbohong, layakkah seorang pembohong ditabalkan menjadi pemimpin.

Perlulah diingatkan, pinjaman RM600 juta yang dijanjikan kepada Kelantan itu bukannya percuma, bahkan ia merupakan pinjaman yang perlu dibayar. Pada peringkat awalnya, caj kadar faedah dikenakan sebanyak 2 peratus bersama-sama negeri Terengganu yang pada masa itu berada di bawah penguasaan PAS. Semenjak tahun 2004 apabila UMNO kembali menguasai negeri Terengganu, caj kadar faedah terhadap Terengganu telah dimansuhkan. Pemansuhan ini sekaligus melibatkan negeri Kelantan. Sekalipun caj kadar faedah dimansuhkan, ia tetap merupakan pinjaman yang perlu dibayar. Dan pinjaman yang perlu dibayar amat bertentangan maknanya dengan ‘pemberian percuma’ seperti yang didakwa oleh Mustapa.

Selain itu, pinjaman tersebut bukannya diberikan sekaligus bahkan diluluskan di bawah tiga Rancangan Malaysia (RMK) iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebanyak 96 juta, RMK-9 (RM160 juta) dan RMK-8 (RM291 juta) menjadikan jumlah kesemuanya ialah RM547 juta, sedangkan yang dijanjikan ialah sebanyak RM600 juta. 

Justeru, amat jelas bahawa Mustapa yang merupakan pemimpin nombor satu UMNO Negeri Kelantan pada hari ini merupakan seorang pembohong yang nyata. Adakah rakyat Kelantan rela melantik individu seperti ini menjadi pemimpin? Tentu rakyat masih ingat bagaimana Mustapalah orangnya yang pernah membuat pengakuan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 24 November 2007 ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap titah ucapan Tuanku Al Sultan Kelantan bahawa beliau pernah berperanan menyekat Negeri Kelantan dari menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat. Sehingga ke hari ini, Mustapa masih belum memohon maaf terhadap rakyat Kelantan di atas kesalahannya itu. 

Rakyat juga masih belum lupa bagaimana Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai pada tahun 2009 sebelum ini bertegas menyatakan bahawa Kelantan tidak berhak ke atas royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar minyak terletak di kawasan bertindih. Namun apabila dibuktikan bahawa ia termasuk di dalam kawasan perairan Kelantan, Mustapalah orangnya yang beria-ria mendapatkan wang ehsan untuk dipolitikkan demi kepentingan UMNO.

Saya ingin bertanya, pemimpin jenis apakah ini yang sanggup memperjudikan segala kepentingan rakyat demi masa depan politiknya? Justeru, saya mengira kenyataan terkini Mustapa itu sebenarnya lebih mendedahkan belang sebenar beliau yang sanggup berbohong sekalipun sedar pembohongannya tetap akan terbongkar. Sungguh benar kata pepatah, “siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong masih kekal sebagai Menteri…”


Dengan hormat,
ABDUL LATIFF BIN ABD RAHMAN,
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 7 Februari 2012

Tuesday, January 17, 2012

Berikan Royalti Kepada Kelantan Bukti Kerajaan Ikhlas Bantu Rakyat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
BERIKAN ROYALTI KEPADA KELANTAN BUKTI KERAJAAN IKHLAS BANTU RAKYAT
23 Safar 1433 bersamaan 17 Januari 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Malaysia supaya memberikan royalti kepada kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

DPPM melihat kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Kelantan belum lagi layak mendapat royalti minyak kerana Ordinan Darurat baru sahaja dibatalkan dan perlu menunggu sehingga enam bulan adalah alasan beliau semata-mata. Bagi DPPM, jawapan tersebut merupakan alasan terknikal yang diguna bersandarkan kepada undang-undang. Sepatutnya Datuk Seri Nazri Aziz menjawab dengan usaha mempertimbangkan tuntutan kerajaan Kelantan untuk memberikan royalti tanpa menunggu tamatnya Ordinan Darurat. Kerajaan juga perlu memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian royalti itu kepada kerajaan Kelantan pada waktu yang sepatutnya.

Isu royalti Kelantan menunjukkan belang sebenar pemimpin UMNO dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini. Selama ini berdegar-degar suara mereka di seluruh pelusuk dunia kononnya hanya UMNO sahaja pejuang bangsa Melayu. UMNO adalah tempat berpaut orang Melayu dan UMNO sahaja mampu membantu orang Melayu di negara ini.

Namun demikian, dalam isu royalti minyak di Kelantan, tindakan kerajaan UMNO-BN seakan dwi standard terhadap kerajaan Kelantan. Sedangkan rakyat mengetahui bahawa Kelantan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Majoriti rakyat di Kelantan pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Soalnya, apakah orang Melayu Kelantan berbeza dengan orang Melayu di negeri lain? Adakah orang Melayu Kelantan tidak berhak menikmati kemudahan seperti mana perjuangan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin UMNO?  Mengapa tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan pusat bagi membantu rakyat dan negeri itu dalam keadaan mereka mengetahui bahawa rakyat Kelantan ada yang hidup dalam keadaan susah?

DPPM hairan bagaimana UMNO boleh bermimpi untuk menawan Kelantan dalam keadaan pemimpin mereka menyekat hak yang patut dinikmati oleh rakyat di negeri itu. Ini menunjukkan pemimpin UMNO sendiri tidak ikhlas membantu rakyat di negeri itu kerana tidak turut sama berjuang memberikan hak kepada Kelantan tanpa mengira siapa pemerintahnya. Rakyat Kelantan kini lebih mengenali siapa pemimpin sebenar untuk diangkat sebagai pemerintah yang jujur dan ikhlas dan siapa pula yang hanya berpolitik dan mahu mengambil kesempatan di negeri itu.

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia  

Wednesday, December 21, 2011

Kemuncup Dalam Perjuangan Dan Dasar PAS Yang Dijamin Majlis Syura'

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


MEHNAH atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulLah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:
"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”
Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumrah dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri, kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi- nabi (para sahabat) dan mereka yang mengikuti dibelakangnya ( tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tartib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis syura ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dan timbalannya Dato' Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agong adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agong dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.

PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin'.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruangtamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah 'rahmatal lil a'lamin' telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat diseluar atau stokin; teruskan permainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.

Salam perjuangan.

Ustaz Dato'Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, December 9, 2011

Dah Tersepit Baru Ingat PAS Ini Melayu

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Apabila orang Melayu mula menolak Umno, maka baru pemimpin Umno teringat bahawa Pas adalah parti orang Melayu. Selama ini mereka memandang PAS sebelah mata sahaja, seolah-olah PAS bukan parti Melayu. Sewaktu mereka kuat seolah-olah PAS ini, parti haram. Apa yang mereka tidak buat kepada PAS selama ini.

Berapa ramai di kalangan pimpinan PAS yang ditangkap ISA, ditukar tempat kerja, diturun pangkat, diskriminasi bantuan, menganak tirikan Kelantan, menghalang ustaz-ustaz PAS daripada memberi ceramah agama.

Sekarang mereka cuba mengajak PAS bersatu atas nama perpaduan Melayu, kononnya Melayu terancam pada hal yang terancam ialah Umno. Terbaru seruan Datuk Seri Najib di dalam Persidangan Agung Umno supaya PAS meninggalkan Dap demi agama dan melayu, dan menuduh Pas kuda tunggangan Dap

1. Ketika mereka menuduh DAP mengancam Melayu, rakan sejawat mereka “MCA” begitu biadab dengan Islam dan Melayu. Kenapa mereka tidak menegur keceluparan mulut Presiden MCA Chua Soi Lek terhadap Islam. Cuba bayangkan jika ucapan itu keluar daripada pemimpin DAP? Semalam NGO pro Umno di Pulau Pinang menghadiahkan replika kek najis kepada Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng sempena ulang tahun ke 51. Ajaran mana yang mengajar sikap begini? Adakah ini yang dikatakan Islam wasatiah?. Semua tindakan ini memalukan Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam yang harmoni dan mulia.

Pemimpin Umno hentikanlah pelawaan untuk bersatu dengan PAS. PAS mempunyai jati diri dan tahu meletakkan kompas perjuangan. PAS mendahului Islam daripada segalanya, walaupun apa cercaan yang diterima kerana ini adalah lumrah perjuangan. Perjuangan PAS semakin diterima, sentiasa segar di hati rakyat, ketika Umno sedang mengalami mimpi ngeri untuk mara ke hadapan.

Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
9/12/11

Saturday, December 3, 2011

Desak MB Kelantan Letak Jawatan. Umno Kelantan Memualkan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 hari ini yang sekali lagi menggesa agar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain selepas 21 tahun mentadbir negeri Kelantan.

DPPNK menyifatkan kenyataan Afandi itu sebagai satu kenyataan memualkan dan hilang arah serta menampakkan kegerunan UMNO Kelantan untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Amat jelas keyakinan mereka bahawa susuk tubuh Menteri Besar Kelantan itu menjadi antara penghalang terbesar mereka untuk merampas kembali Kelantan.

DPPNK ingin bertanya kepada perwakilan UMNO Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur? Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda?

DPPNK mencabar Afandi agar mendatangkan bukti-bukti penyelewengan yang berlaku di Kelantan sepanjang 21 tahun pentadbiran Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar. Berapa banyakkah harta kemewahan yang dikumpulkan oleh beliau dan berapa bentuk cincinkah yang dibelikan untuk isterinya sebagaimana amalan pimpinan tertentu? Tindakan Afandi Yusof membandingkan dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah UMNO sendiri. Barangkali Afandi tidak sedar bahawa kedua-dua mereka berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman UMNO sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya. Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada UMNO merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.

Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang. Sewajarnya Afandi sendiri bermuhasabah bahawa dirinya sangat kerdil jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kelantan yang sering dicabarnya untuk berdebat. DPPNK sedar bahawa ini bukan kali pertama kenyataan sebegini dikeluarkan oleh Afandi. Bahkan pada bulan Jun 2009, Afandi pernah mencabar Menteri Besar Kelantan melepasi saringan debat dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan Perdana Menteri.

Justeru, DPPNK berpandangan desakan UMNO Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan. Apa yang perlu ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat. Adapun desakan UMNO Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol!

Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 3 Disember 2011

Thursday, November 3, 2011

Hudud: Kaji Jangan Hina

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



1. Hudud adalah sebahagian dari hukum Allah swt Tuhan yang mencipta manusia. Dia bukan ciptaan manusia atau mana - mana parti politik. Hukumnya terkandung di dalam kitab suci Al Quranul Kareem. Bagi mereka yang beriman kepada Allah swt. , mereka bukan sahaja wajib beriman kepada apa yang telah diwahyukan Allah tetapi juga diwajibkan melaksanakannya.

2. Tidak memahaminya perlu kepada penelitian dan pengkajian. Bukan menolaknya mentah - mentah apatah lagi menghinanya. Langkah yang terbaik ialah menyertai wacana dan dialog mengenainya. Mutaakhir ini banyak penganjuran dari pelbagai pihak termasuk Kerajaan negeri Kelantan menganjurkannya. Insyaallah, sedikit masa lagi, DPPM juga telah merancang untuk mengadakan roadshow bagi membuat penjelasan mengenai hudud ke seluruh negara. Chua Soi Lek dan pimpinan MCA bolehlah menyertainya dengan dada yang lapang untuk mempelajarinya sebelum membuat apa - apa tindakan.

3. Tindakan Chua Soi Lek yang agerasif menunjuk sikapnya menentang hudud adalah suatu yang sangat dikesali. Selayaknya bagi beliau sebagai pemimpin sebuah parti besar seperti MCA ialah mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak kerajaan negeri Kelantan mengenai hudud. Bukan bertindak melulu seperti seorang anak muda yang baru menyertai parti politik. Tindakan Chua Soi Lek langsung tidak menggambarkan peribadinya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman jauh sekali bersifat negarawan.

4. Chua Soi Lek tidak perlu melatah keterlaluan diusianya yang sedemikian, kecuali beliau mengidap penyakit Islamophobia tahap kritikal dan parah. Bukan sahaja Chua Soi Lek, siapa pun jua di luar sana yang tidak bersetuju dengan hukum hudud mestilah terlebih dahulu memahami hukum tersebut sebelum bertindak lanjut kerana kelak memalukan diri sendiri. Saya menggesa Chua Soi Lek memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ummat Islam sebelum ia mencetus kemarahan ummat Islam.

5. Kenapa hilang rasional sehingga sengaja tidak mahu melihat kebaikan dari hukum hudud ini setelah semua mengakui kegagalan sistem yang ada pada hari ini menangani peningkatan gejala sosial dan jenayah. Paling tidak memberi peluang kepadanya sebagai alternatif. Apa yang lebih saya kesalkan apabila mereka konsisten menentang hukum Islam dengan pelbagai andaian negatif sedang mereka belum lagi melalui pengalaman berada di bawah pemerintahan yang melaksanakan hukum Syariat Islam ini. Sekali lagi saya menyeru agar mereka sertai terlebih dahulu wacana atau diskusi mengenai perlaksanaan Hukum Syariat Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...