Powered By Blogger
Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, September 30, 2012

Cara Mandi Mengikut Sunnah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 

BAGAIMANAKAH cara kita mandi sehari-harian? Adakah masuk saja ke bilik air, bukak paip air pancuran terus mandi atau cebok air dalam kolah atau baldi, terus siram? Apakah cara kita mandi sehari-harian tersebut menepati apa yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. atau apakah kita hanya mandi kerbau? Adakah kita tahu bagaimana cara mandi yang disunnahkan dalam Islam?

Bagaimana cara mandi mengikut sunnah? 
1. Mula-mula hendaklah membasuh kedua-dua tangan sebanyak 3 kali.
2. Kemudian beristinjak (bersuci) dengan menghilangkan segala najis yang ada atau melekat di badan (jika ada)
3. Seterusnya berwuduk seperti berwuduk untuk solat kecuali membasuh kedua-dua kaki (dilakukan pada akhir mandi)
4. Kemudian menyiram air di atas kepala, kemudian di atas tubuh bermula sebelah kanan seterusnya sebelah kiri.
5. Setelah selesai, gosoklah bahagian badan yang hadapan dan belakang. Rambut dan janggut hendaklah dicelah-celah dengan jari-jari, sehingga air dapat sampai dan rata ke pangkal tempat tumbuhnya rambut tadi (sesuai untuk rambut lebat atau panjang)
6. Bagi kaum wanita tidak diperlukan untuk menghuraikan sanggul rambut kecuali kalau diyakini air itu tidak mungkin dapat sampai di celah-celah rambut. Perlu juga diperhatikan lipatan-lipatan yang terdapat pada tubuh badan kita.

Mandi itu menjadi wajib hukumnya kerana 4 perkara iaitu:-
1. Keluarnya air mani
2. Bertemunya 2 kemaluan (bersetubuh)
3. Haid
4. Nifas

Selain 4 perkara di atas, maka hukumnya sunat sahaja. Sama seperti mandi untuk 2 hari raya, mandi pada hari Jumaat, mandi untuk memakai pakaian ihram, mandi untuk wukuf di Arafah, mandi ketika hendak masuk ke Kota Makkah dan mandi untuk orang yang memandikan jenazah.

Rujukan: Kitab Mau'izatul Mukminin (tulisan as-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi). Kitab ini adalah ringkasan daripada Kitab Ihya' 'Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali rahimakumullah (Kitab Ihya' 'Ulumuddin adalah sumber rujukan terbaik selepas Al-Qur'an dan al-Hadis.

Monday, September 17, 2012

Pentingnya Hidup Bermasyarakat

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ALMARHUM Tok Kenali telah meninggalkan pesanan beliau tentang betapa pentingnya hidup bermasyarakat sebagaimana yang beliau nukilkan dalam majalah PENGASUH: Tahun Satu, Bil. 1:11 Julai 1918
"...Bermula dalil atas suruh berhimpun setengah akan setengah itu, sembahyang jamaa'ah pada tiap-tiap waktu atas jalan fardhu kifayah dan sembahyang Jumu'at atas jalan fardhu 'Ain; dan membuat haji sekali setahun fardhu kifayah atas jalan khusus.

Jangan kita sangka bahawa segala suruhan dan tegahan itu suatu yang memudharatkan kita dan memberi manfaat kepadaNya; kerana Ia Tuhan Yang Maha Suci daripada mengambil faidah daripada perbuatanNya."

Seterusnya beliau dengan tegas menulis;
"Tiada hari bagi kita,
Jika kita tidak bergerak pada hari ini;
Cubalah anakku tilik cerah matahari,
Kelebihan orang yang telah dapat kemenangan,
Kerana amalan yang kebajikan.
Dan pandangkan kelam orang yang jatuh,
Kerana amalan kejahatan
Di situlah PENGASUH bertimpus membedak,
Dengan bedak harapan.
Mudah-mudahan subur sekalian,
Dengan darah dan daging,
Yang boleh mengkhidmatkan tanah air,
Dan menunjukkan kepada Raja.

Sunday, September 16, 2012

Bagaimana Memperolehi Ilmu?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام
عليكم ورحمة الله وبركاته

"SASARAN ilmu itu sangat jauh,
Tidaklah dapat diburu dengan anak-anak panah,
Tidaklah pula dapat dipusakai daripada bapa-bapa dan paman-paman;
Malah dia, suatu yang tak tercapai melainkan dengan menghamparkan diri ke bumi (masjid),
Dan jadi lembutnya batu lantai (sebab menulis di lantai)
Serta banyak memerhati,
Juga banyak berfikir,
Seterusnya giat bersungguh (mencarinya) dalam kitab-kitab (yang lanjut) bak lautan."

Kata-kata indah dan puitis di atas adalah merupakan susunan kata Ulama' terkenal di Negeri Kelantan iaitu Almarhum Tok Kenali. Apa yang dimaksudkan oleh Almarhum dengan kata-kata beliau di atas ialah, syarat mendapat pengetahuan adalah menerusi 5 jalan (cara) iaitu:

1. Mesti mencarinya sendiri; sebab dia bukanlah sesuatu yang diwarisi daripada ibubapa.
2. Mempelajari ilmu di pusatnya; Di masa lalu dan kini juga, Kota Makkah dan juga Kota Madinah merupakan pusat Ilmu keislaman.
3. Banyak mengulangi tempat belajar mengikut iklim dan keadaan alam sekitar berkenaan.
4. Banyak menggunakan pemerhatian mengenai punca atau sumber ilmu, terhadap alam nyata dan alam yang tersirat.
5. Mempelajari ilmu daripada kitab-kitab besar; yang dapat dipegangi dan mempunyai keterangan yang lanjut di mana kitab itu sebagai guru yang sedia menjawab segala pertanyaan dan kemusykilan.

 

Thursday, August 9, 2012

Ibn Taimiyyah Bertemu Raja Tartar

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan:

“Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah:

“Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah:

“Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka:

“Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”.

Jawab Ibn Taimiyyah:

“Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.

Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.

..saya menulis ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar..

~ DrMaza.Com

Monday, August 6, 2012

Nuzul Al-Qur'an - Ulangtahun Turunnya Wahyu Pertama Buat Rasulullah S.A.W.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PERISTIWA Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Qur'an adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Qur'an.

Ayat al-Qur'an yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-'Alaq yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;  Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [Al-‘Alaq: 1-5]

Friday, July 20, 2012

Ramadhan Al-Mubarak. Shahih Muslim

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

FIRMAN ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah :183-185]

Berikut adalah beberapa buah hadis Rasulullah s.a.w dari Shahih Muslim yang memperkatakan tentang ibadah puasa pada bulan Ramadhan.

1) Hadis riwayat Abu Hurairah ra: Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu. [Shahih Muslim No.1793]

2) Hadis riwayat Ibnu Umar ra: Dari Nabi saw. bahawa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari). [Shahih Muslim No.1795]

3) Hadis riwayat Abu Hurairah ra: Rasulullah saw. bersabda: Janganlah engkau berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadan, kecuali bagi seorang yang biasa berpuasa, maka baginya silakan berpuasa. [Shahih Muslim No.1812]
4) Hadis riwayat Anas ra: Rasulullah saw. bersabda: Makan sahurlah kalian, kerana pada makan sahur itu terdapat keberkatan. [Shahih Muslim No.1835]

5) Hadis riwayat Zaid Ibn Tsabit ra: Kami pernah makan sahur bersama Rasulullah saw. Kemudian kami melaksanakan solat. Kemudian saya bertanya: Berapa lamakah waktu antara keduanya (antara makan sahur dengan solat)? Rasulullah saw. menjawab: Selama bacaan lima puluh ayat. [Shahih Muslim No.1837]

6) Hadis riwayat Sahal Ibn Saad ra: Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Orang-orang itu sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka. [Shahih Muslim No.1838]

7) Hadis riwayat Umar ra: Rasulullah saw. bersabda: Ketika malam datang, siang pergi dan matahari pun terbenam, maka saat itulah orang yang berpuasa mulai berbuka. [Shahih Muslim No.1841]

8) Hadis riwayat Abdullah Ibn Abu Aufa ra: Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah saw. di bulan Ramadan. Ketika matahari terbenam, beliau bersabda: “Wahai fulan, singgahlah dan siapkanlah hidangan buat kami!” Orang yang disuruh berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah sebaiknya baginda tangguhkan sebentar?” Rasulullah saw. bersabda: “Singgahlah dan siapkan hidangan buat kami!” Kemudian ia singgah dan menyiapkan hidangan, lalu ia memberikannya kepada beliau. Nabi saw. meminumnya, kemudian bersabda sambil memberikan isyarat kedua tangannya: “Jika matahari sudah terbenam di arah sana dan malam sudah datang dari arah sana, maka orang yang berpuasa boleh berbuka”. [Shahih Muslim No.1842]

9) Hadis riwayat Umar bin Abu Salamah ra.: Bahwa ia bertanya kepada Rasulullah saw.: Bolehkah orang yang sedang berpuasa itu berciuman (dengan isterinya)? Rasulullah saw. menjawab: Tanyakan saja kepada Ummu Salamah. Kemudian ia (Ummu Salamah) memberitahukan kepadanya bahwa Rasulullah saw. melakukannya. Umar bin Abu Salamah lalu berkata: Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosa baginda yang lalu dan yang akan datang? Rasulullah saw. bersabda padanya: Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takwa kepada Allah dari kalian. [Shahih Muslim No.1863]

10) Hadis riwayat Aisyah ra. dan Ummu Salamah ra. berkata: Rasulullah saw. pernah bangun pagi hari dalam keadaan junub bukan karena mimpi kemudian beliau terus berpuasa. [Shahih Muslim No.1864]

11) Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Seorang lelaki datang menemui Nabi saw. dan berkata: Celaka saya, wahai Rasulullah. Beliau bertanya: Apa yang membuat engkau celaka? Lelaki itu menjawab: Saya telah bersetubuh dengan isteri saya di siang hari bulan Ramadan. Beliau bertanya: Apakah engkau mempunyai sesuatu untuk memerdekakan seorang budak? Ia menjawab: Tidak punya. Beliau bertanya: Mampukah engkau berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Ia menjawab: Tidak mampu. Beliau bertanya lagi: Apakah engkau mempunyai sesuatu untuk memberi makan enam puluh orang miskin? Ia menjawab: Tidak punya. Kemudian ia duduk menunggu sebentar. Lalu Rasulullah saw. memberikan sebakul kurma kepadanya sambil bersabda: Sedekahkanlah ini. Lelaki tadi bertanya: Tentunya aku harus menyedekahkannya kepada orang yang paling miskin di antara kita, sedangkan di daerah ini, tidak ada keluarga yang paling memerlukannya selain dari kami. Maka Rasulullah saw. pun tertawa sampai kelihatan salah satu bagian giginya. Kemudian beliau bersabda: Pulanglah dan berikan makan keluargamu. [Shahih Muslim No.1870]

12) Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Bahawa Rasulullah saw. bermusafir pada tahun penaklukan kota Mekah di bulan Ramadan. Beliau tetap berpuasa hingga tiba di daerah Kadid, beliau tidak berpuasa. Dan para sahabat Rasulullah saw. selalu mengikuti kejadian demi kejadian kerana perintahnya. [Shahih Muslim No.1875]

13) Hadis riwayat Anas Bin Malik ra.: Anas ra. pernah ditanya tentang berpuasa pada bulan Ramadan dalam perjalanan? Dia menjawab: Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah saw. pada bulan Ramadan, yang berpuasa tidak mencela yang tidak puasa dan yang tidak puasa juga tidak mencela yang berpuasa. [Shahih Muslim No.1884]

14) Hadis riwayat Anas ra., ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan. Di antara kami ada yang tetap berpusa dan ada pula yang tidak puasa. Kami singgah di sebuah tempat ketika hari sedang sangat panas. Di antara kami yang paling banyak mendapat naungan ialah orang-orang yang berpakaian lengkap, sementara orang-orang yang tidak berpakaian lengkap mereka melindungi kepalanya dari teriknya matahari dengan menutupkan tangannya ke atas. Maka orang-orang yang berpuasa berjatuhan (kerana lemah) dan mereka yang tidak puasa masih dapat tegak berdiri. Mereka kemudian mendirikan tenda-tenda dan memberikan minum unta-unta. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Orang-orang yang berbuka hari ini pergi membawa pahala. [Shahih Muslim No.1886]

15) Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Hamzah bin Amru Al-Aslami bertanya kepada Rasulullah saw. tentang puasa dalam perjalanan (musafir), maka beliau menjawab: Jika engkau mahu, berpuasalah dan jika engkau tidak mau, maka boleh tidak puasa. [Shahih Muslim No.1889]

16) Hadis riwayat Abu Darda ra., ia berkata: Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah saw. di bulan Ramadan pada hari yang sangat panas, sehingga sampai sebahagian kami terpaksa menutupkan tangan pada kepalanya, kerana teriknya matahari. Kami semua tidak ada yang berpuasa kecuali Rasulullah saw. dan Abdullah bin Rawahah. [Shahih Muslim No.1892]

17) Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Ibnu Abbas ra. pernah ditanya tentang puasa pada hari Asyura', dia menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw. berpuasa sehari untuk mencari keutamaan hari itu atas hari-hari yang lain selain pada hari ini. Begitu pula (saya tidak pernah melihat beliau) berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, bulan Ramadan. [Shahih Muslim No.1914]

18) Hadis riwayat Umar bin Khathab ra., ia berkata: Bahawa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Aidil Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadan) dan hari raya makan (daging kurban) setelah kalian menunaikan ibadah haji. [Shahih Muslim No.1920]

19) Hadis riwayat Abu Said Khudhri ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidaklah patut berpuasa pada dua hari tertentu, yakni Hari Raya Aidil Adha dan Hari Raya Aidil Fitri setelah puasa Ramadan. [Shahih Muslim No.1922]

20) Hadis riwayat Salamah bin Akwa` ra., ia berkata: Ketika turun ayat berikut, Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya jika mereka tidak berpuasa membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin, maka orang yang ingin tidak puasa, cukup dengan membayar fidyah, hingga akhirnya turun ayat berikutnya yang menghapus hukum ayat sebelumnya. [Shahih Muslim No.1931]

21) Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Adalah aku mempunyai tanggungan puasa Ramadan, aku tidak dapat membayarnya kecuali pada bulan Sya’ban, kerana kesibukan dari Rasulullah saw. atau kesibukan bersama Rasulullah saw.. [Shahih Muslim No.1933]

22) Hadis riwayat Aisyah ra.: Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa yang meninggal dunia dan ia mempunyai tanggungan puasa, maka walinya harus berpuasa untuk membayar tangungannya. [Shahih Muslim No.1935]

23) Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Bahawa seorang perempuan datang kepada Rasulullah saw. dan berkata: Sesungguhnya ibuku telah meninggal dan ia mempunyai tanggungan puasa sebulan. Baginda bertanya: Apa pendapatmu jika ibumu mempunyai hutang kepada orang lain, apakah engkau akan membayarnya? Ia menjawab: Ya (aku akan bayar). Baginda bersabda: Hutang kepada Allah adalah lebih berhak untuk dibayar. [Shahih Muslim No.1936]

24) Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Apabila salah seorang dari kalian bangun dalam keadaan berpuasa, maka janganlah ia berbicara sia-sia dan kotor, maka jika seseorang dicaci atau diperangi, maka hendaklah ia berkata: Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa. [Shahih Muslim No.1941]

25) Hadis riwayat Sahal bin Saad ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya di dalam surga itu terdapat pintu yang bernama Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tidak ada orang selain mereka yang masuk bersama mereka. Ditanyakan: Di mana orang-orang yang puasa? Kemudian mereka masuk melalui pintu tersebut dan ketika orang yang terakhir dari mereka sudah masuk, maka pintu itu ditutup kembali dan tidak ada orang yang akan masuk melalui pintu itu. [Shahih Muslim No.1947]

26) Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Tidaklah seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh jarak perjalanan 70 tahun. [Shahih Muslim No.1948]

27) Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa lupa bahawa ia sedang berpuasa, sehingga ia makan atau minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya, kerana sesungguhnya ia telah diberi makan dan minum oleh Allah. [Shahih Muslim No.1952]

28) Hadis riwayat Ibnu Umar ra.: Bahwa sekelompok orang dari sahabat Rasulullah saw. bermimpi melihat lailatulqadar pada hari ke tujuh yang terakhir. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Menurutku bahawa mimpi kalian pasti bertepatan dengan hari ke tujuh terakhir, maka barang siapa yang ingin menantinya, maka hendaklah ia menanti pada hari ke tujuh terakhir (bulan Ramadan). [Shahih Muslim No.1985]

29) Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: Rasulullah saw. pernah melakukan iktikaf pada sepuluh hari pertengahan bulan Ramadan. Ketika mana waktu dua puluh malam telah berlalu dan akan menyambut malam yang kedua puluh satu, maka beliau kembali ke rumahnya dan sahabat yang beriktikaf bersama beliau juga kembali ke rumah mereka.
Kemudian beliau bangun malam pada malam ia kembali dari iktikaf dan berpidato di hadapan sahabat serta menyuruh mereka untuk melaksanakan kehendak Allah lalu bersabda: Sungguh dahulu aku iktikaf pada sepuluh malam ini (sepuluh malam pertengahan) kemudian nampak olehku (melalui mimpi) untuk iktikaf pada sepuluh malam akhir.
Barang siapa yang pernah iktikaf bersamaku, maka hendaklah ia tidur di tempat iktikafnya. Sesungguhnya aku telah melihat (lailatulkadar) pada malam-malam ini, tetapi lalu aku lupa (waktunya), maka cari dan nantikanlah malam itu di sepuluh malam akhir yang ganjil.
Aku pernah bermimpi bahwa aku sujud di air dan lumpur. Abu Said Al-Khudri berkata: Pada malam kedua puluh satu, kami diturunkan hujan, sehingga air mengalir dari atap masjid ke tempat solat Rasulullah saw., lalu aku memperhatikan beliau. Beliau sudah selesai dari salat Subuh dan pada wajah beliau basah dengan lumpur dan air. [Shahih Muslim No.1993]

30) Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Cari dan nantikanlah lailatulqadar pada sepuluh terakhir bulan Ramadan. [Shahih Muslim No.1998]

Wednesday, July 18, 2012

Peringatan Buat Muslimah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SAIYIDINA ALI K.W. berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

“Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.


“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.


“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.” Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” [Hadis riwayat Bukhari]

Sunday, July 15, 2012

Ajal Tidak Dapat Dihindari Bila Tiba Masanya

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


FIRMAN Allah SWT (maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)". [Al-Jumu'ah: 8]

Al-A'masy meriwayatkan dari Khaitsamah, ia berkata, "Pada suatu hari malaikat maut mendatangi Sulaiman bin Daud a.s. Ia lalu melihat salah seorang sahabat di sebelah Sulaiman. Ketika malaikat maut telah pergi, sahabat itu bertanya kepada Sulaiman, "Siapakah orang tadi?"

Sulaiman a.s. menjawab, "Itulah malaikat maut."

Sahabat tersebut seterusnya berkata, "Tadi aku lihat ia selalu memerhatikanku, seolah-olah ia sedang menjadikan aku sebagai sasaran."

Sulaiman a.s bertanya, "Lalu apa mahumu?"

Sahabat tersebut berkata, "Aku ingin tuan menyelamatkanku darinya. Tolong tuan perintahkan angin untuk membawaku ke tempat yang paling jauh di tanah India sana."

Angin pun menuruti perintah Sulaiman. Ketika malaikat maut datang lagi, Sulaiman berkata kepadanya, "Aku lihat kelmarin kamu selalu memerhati akan salah seorang sahabatku."

Malaikat maut menjawab, "Benar. Tetapi aku hairan kerana aku memang diperintahkan oleh Allah SWT untuk mencabut nyawanya di bahagian yang paling jauh di tanah India dengan segera. Dan atas jasamu, ia sekarang malah sudah berada di sana. Aku benar-benar hairan atas kejadian ini."

Al-Fatihah buat blogger Tinta Hijau @ Nik Hazman Nik Hashim.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham
dan menempatkan beliau di sisi orang-orang yang beriman
p/s: Yang meninggal adalah blogger Tinta Hijau atau nama sebenar beliau Nik Hazman Nik Hashim bukannya blogger Tinta Hijau DKB. Penjelasan dari blogger Tinta Hijau DKB di sini

Wednesday, July 4, 2012

Hukum Membaca Yaasin 3 Kali Pada Malam Nisfu Sya'ban

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

APAKAH Hukum Membaca Yasin 3 Kali Di Malam Nisfu Sya'ban?
Jawapan dari Ustaz Syed Abdul Kadir Al Jofree :
Sebagai menjawab persoalan yang diajukan, Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).
Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.
Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.
Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak amalan Yasin 3 kali dan mengatakan ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.
Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil ya...
"Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahihdaripada Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu,"
bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
 [ Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban]
Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.
Berkata Imam asy-Syafi'ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi'in dari penduduk Syam. 
Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah,
Bahawa para tabi'in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi'in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan dua cara:
* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi'in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid'ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya'), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
Sedikit tambahan lagi:
Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Sama ada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.
Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedayanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.
Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak diendahkan. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.
Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.
Wallahu A'lam

Sunday, July 1, 2012

Adab Mengkritik Kesilapan Ulama'

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PENGENALAN

Perkara sebegini sebenarnya telah lama ingin saya perbincangkan. Namun kerana diri ini penuh dengan kelalaian akibat kekangan masa, maka baru hari ini sempat saya menaip bagi menjelaskan persoalan ini. Penerangan ini merupakan salah satu usaha saya bagi membetulkan sikap sesetengah daripada kalangan kita yang begitu keterlaluan dalam memperlekehkan para ulama kerana tidak sependapat dengan pendapatnya. Bahkan mereka sanggup menghina atau mencaci para ulama sama ada secara langsung atau tidak dengan alasan yang pelbagai antaranya mengatakan ulama tersebut tidak memahami dalil untuk berijtihad dan sebagainya lagi.

Bagi yang mempertahankan ulama itu pula, mereka dituduh sebagai taasub dengan ulama tersebut sehingga sanggup mengetepikan dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Sunnah. Saya bertanya sendirian, benarkah ulama sanggup mengetepikan dalil atau si penuduh yang tidak memahami dalil? Pelik memikirkannya. Walaubagaimanapun dakwaan mereka, kita tetap sependapat untuk mengatakan para ulama tidak maksum daripada melakukan kesilapan. Persoalannya, bagaimanakah adab kita dalam menghadapi situasi ini?

Sebelum meneruskan perbincangan ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk mengenai terlebih dahulu siapakah yang dikatakan sebagai seorang ulama
DI SINI

PERINGATAN IMAM AL-NAWAWI

Di sini saya terjemahkan penerangan Imam al-Nawawi di dalam karyanya al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (jilid 1, muka surat 47 dan 48) mengenai akibat daripada tindakan sebilangan manusia yang menyakiti atau menghina ulama, seperti mana berikut:

Fasal:
Larangan Dan Ancaman Keras Bagi Sesiapa Yang Menyakiti dan Menghina Para Fuqaha’ Serta Gesaan Untuk Memuliakan Dan Mengagungkan Kehormatan Mereka
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati. (Surah al-Hajj: Ayat 32).

Firman Allah SWT bermaksud:
Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi tuhannya. (Surah al-Hajj: Ayat 30).

Firman Allah SWT bermaksud:
Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman. (Surah al-Hijr: Ayat 88).

Firman Allah SWT bermaksud:
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman sama ada lelaki atau perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata. (Surah al-Ahzab: Ayat 58).

Sabit di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Barangsiapa yang menyakiti waliKu maka Aku mengistiharkan peperangan terhadapnya. 

Diriwayatkan Imam Khatib al-Baghdadi, daripada Imam al-Shafie dan Imam Abi Hanifah, kata mereka berdua:
Sesungguhnya jika tiada fuqaha’ dan auliya’ maka tiadalah wali Allah.
Imam al-Shafie berkata (menambah): Fuqaha’ yang beramal.

Daripada Ibn Abbas RA, katanya:
Barangsiapa menyakiti fuqaha’ maka dia telah menyakiti Rasulullah SAW, barangsiapa yang menyakiti Rasulullah SAW maka dia telah menyakiti Allah SWT.

Dalam sebuah hadith sahih (riwayat Muslim), sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Barangsiapa bersolat subuh maka dia di dalam perlindungan Allah, maka jangan sampai Allah mengambil lagi perlindunganNya itu.

Dalam riwayat lain: Allah tidak akan menjaga di dalam perlindungannya.
Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:
Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.

Firman Allah SWT bermaksud:
Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. (Surah al-Nur: Ayat 63).

AKHLAK KETIKA MENDEPANI KESILAPAN PARA ULAMA

Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut: 

1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.
Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.

2. Membataskan kesilapan ulama.
Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.

Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.

3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.
Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

4. Bukan untuk menandingi ulama.
Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka. (Riwayat al-Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka. (Riwayat Ibn Majah).

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk menghormati para ulama sebagai pewaris para nabi. Penghormatan ini diberikan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

Di dalam menghadapi persoalan semasa, keadaan menunjukkan telah wujud sebilangan golongan yang terlalu bersikap kurang ajar dengan para ulama. Mereka sanggup menghina ulama dengan pelbagai tohmahan disebabkan pandangan ulama itu tidak sependapat dengan mereka. Oleh itu, saya ingin menyeru umat Islam agar memahami penjelasan ringkas yang cuba saya terangkan ini agar kita tidak terjebak di dalam lembah kerosakan. InsyaAllah.

Sumber Asal: sini

Ciri-Ciri Dan Adab Seorang Ulama'

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PENGENALAN

Memandangkan terdapat beberapa ahli iLuvislam yang PM saya bertanyakan tentang ulama, maka saya mengambil kesempatan yang singkat ini untuk menjelaskannya secara ringkas mengenai ciri-ciri ulama. Selain itu juga, beberapa thread di iLuvislam juga turut membincangkan perkara ini dan saya melihat tiada kesudahan yang baik pada thread-thread berikut. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara ini agar semua pihak dapat mengambil manfaatnya. InsyaAllah.

MAKSUD PERKATAAN ULAMA

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami. Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji. Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.

Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan sempurna. Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah S.A.W. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

CIRI-CIRI RINGKAS ULAMA

Jikalau hendak disenaraikan ciri-ciri ulama satu persatu, sudah tentulah tidak terhitung banyaknya. Jadi saya nyatakan secara ringkasnya sahaja ciri-ciri seorang ulama sepertimana berikut:

- Sentiasa melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
- Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam berkenaan agama Islam di dalam segenap sudut.
- Beramal dengan segala ilmu yang dimilikinya.
- Berakhlak mulia.
- Tidak gentar untuk menegur dan berkata benar kepada sesiapa sahaja.
- Mempunyai sifat-sifat terpuji seperti: Zuhud, warak, sabar, jujur, ikhlas dan sebagainya lagi.
- Meninggalkan perkara-perkara mazmumah seperti: Riyak, takabur, sombong, angkuh dan sebagainya lagi.
- Sentiasa menyampaikan ilmu pengetahuan dan menyeru manusia kepada Islam.
- Dan banyak lagi.

ADAB-ADAB SEORANG ULAMA ATAU GURU

Seperti yang saya telah sebutkan di atas, jika hendak disenaraikan satu persatu ciri-ciri ulama, sudah tentulah akan mengambil masa yang panjang. Oleh itu, di sini saya nyatakan pula adab-adab bagi seorang ulama atau alim serta guru sepertimana yang telah diperkatakan oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah:

- Mampu menanggung kesusahan.
- Bersabar dengan kesulitan.
- Duduk dengan rasa hormat serta berkelakuan tenang ketika bersama manusia.
- Meninggalkan takbur di atas sekalian hambaNya kecuali terhadap orang yang zalim.
- Mencegah daripada kezaliman.
- Memilih tawaduk pada perhimpunan dan pada majlis orang ramai.
- Meninggalkan gurau-senda dan bermain-main.
- Melayan dengan baik pelajar yang kurang pandai.
- Membimbing pelajar yang angkuh.
- Memperbaiki pelajar yang bodoh dengan tunjuk ajar yang baik.
- Tidak marah kepada pelajar yang bodoh.
- Tidak malu daripada berkata ‘aku tidak tahu’.
- Memberikan perhatian kepada pertanyaan.
- Memahami soalannya.
- Menerima hujjah.
- Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika bersalah.
- Melarang pelajar daripada setiap ilmu merbahaya.
- Melarang pelajar daripada menghendaki dengan ilmu selain dari Allah Taala.
- Melarang pelajar daripada sibuk menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum selesai menuntut ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain ialah berkenaan dengan membaikkan zahir dan batin dengan takwa.
- Memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu dengan takwa, supaya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya.

CIRI-CIRI ULAMA DUNIA

Berikut saya nyatakan juga ciri-ciri ulama dunia. Saya senaraikan di sini berdasarkan kitab Ulama al-Suq Ulama al-Dunya karangan al-Amin al-Haj Muhammad Ahmad sepertimana berikut:

- Menyembunyikan ilmu dan kebenaran.
- Cintakan dunia dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
- Mengikut hawa nafsu.
- Berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah.
- Berpura-pura di dalam masyarakat.
- Menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara-perkara dunia serta lainnya.
- Mengkaji dan menyelidik dengan kesalahan dan kekurangan.
- Fatwa dengan mengikut syahwat.
- Dengki dan benci serta tidak insaf.
- Berbeza amalannya dan kata-katanya.
- Berdolak-dalih dan berhelah.
- Menjawab sesuatu dengan akal dan mengingkari serta bongkak untuk menerima kebenaran.

PERANAN DAN KEPENTINGAN ULAMA

Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang daripada segolongan pihak yang cuba merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama. Mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum seperti Rasulullah S.A.W. Oleh itu, mereka menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada ulama untuk memahami urusan agama Islam ini. Mereka berkata lagi bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Nahl: Ayat 43).

Oleh itu, saya ingin mengajak para pembaca termasuklah diri saya sendiri bermuhasabah terlebih dahulu sebelum hendak mengatakan sesuatu kepada para ulama. Sila baca dan jawab dengan ikhlas soalan-soalan berikut:

Berapa banyak ayat al-Quran al-Karim yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak kitab-kitab dari ulama muktabar yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak ilmu agama yang kita dalami dan fahami?
Berapa banyak ulama dan guru yang sentiasa kita lazimi untuk mendalami ilmu agama secara bersanad dan bertalaqi?
Dan pelbagai soalan lagi.

Jadi apakah jawapan kita terhadap soalan-soalan di atas? Mampukah kita duduk sama taraf dengan para ulama? Sedangkan mereka jauh lebih alim dan mengetahui daripada kita berkenaan agama Islam. Mereka memiliki segala ilmu yang cukup bagi membolehkan mereka mengeluarkan hukum-hakam agama untuk keperluan manusia. Mereka jugalah adalah dari kalangan hamba yang amat takutkan Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama. (Surah Faathir: Ayat 28).

PERINGATAN PENTING

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Kita mesti mengakui bahawa para ulama bukannya maksum dan mereka tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Namun jika hendak dibandingkan dengan kita, sudah tentulah mereka lebih layak untuk mengeluarkan hukum-hakam kerana mereka telah memahami ilmu agama dengan mendalam. Oleh itu, kita sebagai masyarakat awam ini, tidak perlulah kita merasa diri terlalu hebat daripada para ulama yang sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah Taala. Hormatilah para ulama dengan sebaiknya. Berakhlaklah kita kepada mereka jikalaupun mereka telah tersalah di dalam mengeluarkan pandangan.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyanyangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami. (Riwayat Ahmad).

Kadang-kala kerana terlalu ghairah segolongan puak ini melaungkan kata-kata ‘tidak perlukan para ulama’, mungkin mereka terlupa bahawa para ulama ini turut disebutkan di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. Tidakkah tindakan mereka ini sebagai menolak ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. juga? Oleh itu, saya sarankan agar serahkan urusan agama Islam ini kepada para ulama untuk menjelaskannya. Ingatlah peringatan dari Allah Taala ini:

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah Taala sesuatu yang kamu tidak ketahui. (Surah al-Aaraf: Ayat 33).

PENUTUP
 
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya. (Riwayat ad-Dailami).

Saya berharap kita semua dapat menghormati ulama sebagai pewaris para nabi. Beradablah dengan mereka terutamanya ketika kita hendak memberikan pendapat yang berbeza dengan mereka dan bawakan sekali pendapat ulama lain untuk menyokong pendapat kita. Bagi sesiapa yang merasa diri terlalu hebat ataupun malas untuk menuntut ilmu, di sini saya ingin sarankan sebuah kitab bertajuk Safahat Min Sabr al-Ulama karangan Syeikh Abdul Fatah Abu Udah. Setelah membaca kitab kita, saya katakan bahawa betapa lemahnya dan kerdilnya kita berbanding para ulama yang sentiasa dibimbing oleh Allah Taala. Semoga aku boleh menjejak langkah mereka ini! Aminnn.

Sumber Asal: sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...