Powered By Blogger
Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Sunday, May 13, 2012

Piala FA 2012: Kelantan Isytihar 20 Mei Cuti Peristiwa


بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 
KOTA BHARU, 13 Mei: Kelantan mengisytiharkan 20 Mei adalah cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara pasukan negeri itu dengan Sime Darby pada 19 Mei ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood pada sidang media di bilik MMKN, Kota Darulnamin di sini, petang ini.


Ini, katanya bagi 'MEMBERI SOKONGAN' dan 'MEMASTIKAN KESELAMATAN' penyokong The Red Warriors menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby itu.


Jelasnya, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju untuk memberi cuti peristiwa pada Ahad, 20 Mei di mana perbincangan awal telah diadakan antara beliau dan Tuan Guru.


“Tuan Guru begitu prihatin terhadap perkembangan sukan bolasepak Kelantan dan di atas faktor keselamatan beliau telah bersetuju untuk memberi cuti peristiwa pada Ahad, 20 Mei nanti,” ujar beliau.


Abdul Fattah juga berkata walaupun perlawanan tersebut akan diadakan Sabtu ini, namun bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Kelantan yang ingin ke Kuala Lumpur sudah boleh membuat perancangan awal tanpa tergesa-gesa kerana kerajaan telah mengisytiharkan cuti tersebut lebih awal lagi.


Mengulas harga tiket yang agak mahal jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas, Abdul Fattah berkata kerajaan juga telah menyarankan kepada FAM dalam hal itu, namun ia terpulang kepada pihak berkenaan untuk menaikkan harga tiket atau mengekalkannya.


“Kita sedar, minat rakyat Kelantan terhadap sukan bolasepak amat mendalam dan kenaikan harga tiket tersebut sedikit sebanyak terjejas juga, namun kerajaan amat menggalakkan rakyat negeri ini datang beramai-ramai ke Kuala Lumpur menyaksikan Piala FA ini,” katanya lagi.


Sementara itu, sebagai tanda sokongan media Kelantan terhadap perlawanan akhir tersebut, pihak Exco sukan turut menyampaikan jersi dan beg kepada petugas media yang hadir di sidang akhbar tersebut.

Wednesday, February 15, 2012

Sokong Bolasepak. Jangan Jadi Bangang

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEMALAM, 14 Februari 2012 telah berlangsung perlawanan bolasepak Liga Super Malaysia yang mana salah satu perlawanan adalah antara Selangor menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan yang telah disiarkan secara langsung oleh stesen TV RTM1 dilaporkan telah dihadiri seramai lebih kurang 3 hingga 4 ribu penyokong Selangor dan lebih kurang 6 hingga 7 ribu penyokong Kelantan.

Dalam perlawanan tersebut yang berkesudahan dimenangi oleh Selangor dengan jaringan 2 berbalas 1 dijaringkan oleh Safik Rahim dan pemain import Basco Balaban untuk Selangor manakala S. Subramaniam untuk pasukan Kelantan.

Bukan permainan semalam yang hendak diulas lebih lanjut tapi apa yang penulis hendak katakan dalam era profesional bolasepak di Malaysia ini rupanya masih ada lagi penyokong-penyokong yang tidak matang dan bangang. Rupanya masih ada lagi rupanya penyokong-penyokong yang tidak bertamadun dengan sanggup melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kecederaan dan juga boleh membawa maut kepada penyokong pasukan lawan.

Penulis rasa kesal dengan kejadian seorang penyokong pasukan Kelantan yang cedera parah di kepala kerana dibaling dengan batu oleh penyokong pasukan Selangor selepas tamat perlawanan. Insiden yang tidak sepatutnya berlaku di Malaysia yang bukannya sebuah negara mundur tetapi sudah dita'rifkan sebagai negara membangun. Sepatutnya semua penyokong sudah matang dalam hal ini dan bukannya menunjukkan sikap manusia yang tidak bertamadun yang hidup di dalam hutan rimba yang mengamalkan undang-undang rimba.

Ingatlah, nak sokong bolasepak tu sokonglah secara bertamadun dan janganlah jadi manusia yang bangang. Ingat dosa siapa yang melakukan perbuatan mencederakan mangsa tersebut tidak akan terhapus selagi tidak mendapat keampunan dari orang yang dianiayai itu dan akan dihisab dan diazab nanti di akhirat.

Thursday, November 3, 2011

RM85 Ribu Untuk The Red Warriors

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KOTA BHARU, 3 Nov: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.

Tuan Guru Menteri Besar bergambar bersama pemain dan pengurusan TRW
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini.

Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim. 

Presiden KAFA, Tan Seri Anuar Musa walaubagaimanapun tidak dapat bersama pada majlis tersebut kerana dikhabarkan mempunyai urusan lain yang berkaitan dengan persiapan pasukan bolasepak negara.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.

Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.

“Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang”ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.

Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.

“Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok”ujar beliau.

Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.

“Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu” ujar beliau.

Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.

“Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini,” katanya.

Sunday, July 31, 2011

Tak Rela Minta Maaf

TERPULANGLAH pada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminta maaf kepada kelab Liga Perdana England, Chelsea berhubung insiden pemainnya, Yossi Benayoun yang berasal dari Israel menjadi mangsa ejekan dan cemuhan peminat bola sepak tempatan jika FAM rasa itu adalah haknya untuk meminta maaf.


Namun begitu FAM atau kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik tidak perlu untuk mengatakan permohonan maaf tersebut adalah bagi pihak peminat tempatan kerana sama sekali peminat tempatan terutamanya yang beragama Islam tidak akan meminta maaf kepada bangsa yang membunuh umat Islam di Palestin.

Rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam yang cinta dan kasih akan saudaranya di Palestin sama sekali tidak akan memaafkan satu bangsa yang membunuh, merogol dan menganiaya umat Islam di Palestin dan sama sekali kami tidak akan tunduk kepada mereka.

Namun begitu Minda Penulis amat kesal dengan tindakan FAM tersebut dan juga kenyataan dari Ahmad Shabery berhubung perkara itu. Kerajaan sepatutnya mengambil kira perkara-perkara yang menjadi isu sensitiviti sebelum memberi kebenaran kepada warga Israel untuk memasuki negara ini walaupun untuk menyertai pertandingan bola sepak.

Minda Penulis amat kesal bilamana Ahmad Shabery cuba untuk mengaitkan isu ini dengan politik. Harus diingat, isu yang menyentuh kekejaman serta kezaliman terhadap rakyat Palestin bukanlah suatu isu politik. Ini adalah isu membabitkan soal-soal kemanusiaan dan keagamaan.

Sepatutnya kerajaan melalui Kementeri Dalam Negeri (KDN) tidak memberikan kebenaran kepada pemain tersebut untuk memasuki negara ini. Minda Penulis berpandangan, walaupun KDN mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada mana-mana warga Israel untuk memasuki negara ini tetapi harus juga diingat bahawa KDN juga mempunyai kuasa untuk menolak permohonan kemasukan warga Israel itu ke negara ini. 

Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar dari bantahan yang pernah dibuat oleh rakyat suatu ketika dahulu bilamana kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan kriket dari negara zionis tersebut untuk masuk ke Malaysia.

Sepatutnya dalam soal yang melibatkan persoalan membabitkan isu-isu yang melibatkan umat Islam yang dizalimi kita tidak perlu untuk bersikap sporting sebagaimana yang dikehendaki oleh Ahmad Shabery kerana kita harus sedar bahawa tidak akan sempurna iman seseorang Islam itu sehinggalah beliau mengasihi saudaranya sesama Islam. Janganlah sampai kerana terlalu ingin menjadi seorang yang sporting sehingga sanggup menggadaikan iman sendiri.

Apek Putus Tunang

PENJAGA gol bola sepak negara dan pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dilaporkan telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan beliau dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia yang juga merupakan pemilik blog Jejari Runcing.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali dengan panggilan Apek walaubagaimanapun menafikan bahawa keputusan beliau itu ada kaitannya dengan orang ketiga antara beliau dengan Elia. Beliau turut menafikan bahawa beliau seorang lelaki playboy sebagaimana tuduhan sesetengah pihak dan menyifatkan tuduhan atau fitnah yang dilemparkan terhadap beliau itu sebagai punca hubungan beliau dengan Elia menjadi renggang.

Kerana fitnah yang dilemparkan tersebut, bukan sahaja menjejaskan hubungan antara Khairul Fahmi dan Elia tetapi turut mengheret sama individu lain yang didakwa sebagai orang ketiga antara Khairul Fahmi dan Elia.

Minda Penulis berharap, keputusan yang dibuat oleh Khairul Fahmi adalah keputusan yang terbaik untuk masa depan beliau. Minda Penulis juga berharap supaya selepas ini, segala fitnah yang dihadapi oleh Khairul Fahmi akan berhenti. Dari sudut positif, Minda Penulis melihat perkara ini ada kebaikannya  buat masa depan hidup Khairul Fahmi.

Buat pelaku fitnah, segera hentikan perbuatan kalian. Tidak ada gunanya melakukan fitnah terhadap orang lain kerana ianya banyak mendatangkan keburukan kepada mangsa yang tidak bersalah. Kerana fitnah, ikatan pertunangan yang masih lagi baru telah terputus di pertengahan jalan.

Minda Penulis sendiri rasa hairan, apakah sebenarnya yang dicari oleh pelaku fitnah ini sehingga tergamak melontarkan fitnah? Apakah kesalahan Khairul Fahmi kepada kalian?

Buat Khairul Fahmi, Minda Penulis berharap agar selepas ini beliau dapat memeberikan tumpuan yang lebih pada kerjaya beliau. Seperti kata beliau sendiri, beliau sebenarnya masih belum berjaya lagi. Perjalanan karier beliau sebagai pemain bola sepak masih jauh. Benar, beliau masih lagi muda dan banyak perkara yang perlu beliau pelajari sebelum beliau bersedia menempuh alam perkahwinan. 

Minda Penulis berharap selepas ini, penjaga gol yang sedang meningkat naik ini akan bertemu dengan jodoh yang sesuai dan memahami kerjaya beliau sebagai ahli sukan. Ingatlah bahawa putus tunang bukanlah pengakhiran kepada kehidupan yang bahagia. Selamat maju jaya buat Khairul Fahmi bin Che Mat.

Sunday, July 17, 2011

Sokong Pasukan Sendirilah Wahai Rakyat Malaysia

SEKARANG ni pasukan Harimau Malaya sedang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab bolasepak Eropah dan antara yang telah berlangsung adalah pasukan Arsenal dan Liverpool. Dalam kedua-dua perlawanan tersebut pasukan negara tewas 0 - 4 kepada Arsenal dan 3 - 6 kepada Liverpool. 

Namun Minda Penulis bukan mahu membicarakan soal kedua-dua perlawanan tersebut ataupun mana-mana perlawanan yang bakal berlangsung pada masa akan datang. Apa yang ingin Minda Penulis perkatakan adalah mengenai sikap masyarakat kita sendiri dalam soal memberikan sokongan kepada pasukan bolasepak.

Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, dapat kita semua lihat rakyat negara kita berpecah sokongan. Ada yang kekal setia memberikan sokongan kepada pasukan negara sendiri dan ada juga rakyat negara kita yang begitu minat dengan pasukan kelab dari Eropah itu hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan dari Eropah itu.

Minda Penulis bukannya nak kata kita tak boleh untuk minat dan sokong pasukan kelab dari Eropah itu tapi pada pandangan Minda Penulis, buat masa ni adalah lebih baik dan lebih cerdik kalau kita tumpukan sokongan kita kepada pasukan negara kita sendiri. Bila dah habis perlawanan yang melibatkan team negara sendiri nanti, lantak koranglah nak sokong pasukan mana sekalipun.

Minda Penulis rasa sedih bila ada rakyat kita sendiri sanggup bersorak riuh meraikan jaringan gol pasukan kelab Eropah dan sanggup mencemuh pasukan negara sendiri. Mana pergi kesetian kita pada negara sendiri dan mana pergi maruah dan harga diri kita dalam hal ini.

Sepatutnya kita sebagai rakyat negara Malaysia, perlu bersatu memberikan sokongan padu kepada pasukan negara kita sendiri dan sepatutnya kita perlu tunjukkan kepada pasukan dari Eropah itu bahawa negara kita sendiri mempunyai penyokong setia pasukan negara. Ini dah jadi terbalik, sepatutnya Stadium Nasional Bukit Jalil kita penuhkan dengan warna jersi pasukan negara kita bukannya warna jersi pasukan negara lain.

Dalam soal bolasepak, Minda Penulis lihat rakyat kita masih lagi tidak cukup dengan sikap patriotiknya. Sepatutnya kita semua tunjukkan semangat patriotik kita kepada pasukan luar negara. Tunjukkan bahawa kita cinta dan sayangkan negara kita bukannya cinta dan sayang kepada pasukan luar negara.

Menyedihkan dan memalukan bila ada manusia (rakyat Malaysia) begitu bangga menyokong dan memakai jersi sebuah pasukan kelab Eropah tetapi akhirnya dimalukan dan diaibkan oleh manusia lain (juga rakyat Malaysia) yang juga begitu bangga menyokong dan memakai jersi sebuah pasukan kelab Eropah yang lain pula. Lebih menyedihkan dan memalukan bila mereka-mereka ini yang rata-ratanya beragama Islam begitu bangga memakai jersi yang terang-terangan mempromosikan sesuatu yang diharamkan oleh agama Islam.

Bukan niat Minda Penulis untuk menghina rakyat negara sendiri, tetapi hakikat yang sebenarnya mereka-mereka ini (rakyat Malaysia yang menyokong pasukan negara lain) sendirilah yang menghina dan mengaibkan diri sendiri.

Akhir kata, Minda Penulis amat berharap insiden sepertimana yang dapat kita saksikan dalam video di bawah ni tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang kerana Minda Penulis rasa ianya amat memalukan dan ianya adalah satu sikap yang tidak bijak untuk dimiliki oleh rakyat kita terutamanya golongan-golongan muda yang sepatutnya lebih terpelajar.


Thursday, July 7, 2011

Annuar Musa Berbohong

ANNUAR MUSA berbohong semasa Najib melawat Kelantan bila beliau berkata "PM adalah individu yang telah banyak membantu pembangunan sukan bola sepak khususnya di negeri ini (Kelantan) berbanding kerajaan negeri yang sehingga hari ini tidak pernah menyumbang satu sen walau sudah beberapa kali permohonan rasmi dikemukakan oleh KAFA"

Sebagai jawapan kepada pembohongan Annuar tersebut adalah diingatkan bahawa Kerajaan Kelantan telah memberi imbuhan sebanyak RM200,000 kepada pemain skuad The Red Warriors selepas pasukan tersebut berjaya memenangi Piala Malaysia 2010.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri telah melupuskan cukai sebanyak RM378,341.11 sebagai sumbangan Kerajaan kepada pembangunan sukan bolasepak Negeri Kelantan.

ANNUAR MUSA berbohong semasa Najib melawat Kelantan bila beliau berkata "Tiada Stadium dalam Malaysia kecuali Kelantan yang papan tandanya masih lagi cap rukah (terpaksa panjat) setiap kali perlawanan berlangsung". Dan penipuan tersebut turut disambut oleh PM yang berasal dari Pahang itu.

Sebagai jawapan kepada pembohongan Annuar tersebut, tak payah pergi stadium lain dalam Malaysia, sila tengok Stadium Darul Makmur Pahang (negeri pemimpin yang sedang dibodek oleh Annuar). Scoreboardnya juga jenis cap rukah. 

ANNUAR MUSA berbohong dan biadab semasa Najib melawat Kelantan bila beliau menobatkan Najib sebagai peminat nombor satu The Red Warriors.

Sebagai jawapan kepada pembohongan dan kebiadaban Annuar tersebut, Negeri Kelantan masih lagi mempunyai sultan yang memerintah iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke V. Sewajarnya dan sepatutnya Bagindalah yang lebih afdal dinobatkan sebagai peminat nombor wahid pasukan The Red Warriors kerana Baginda selalu mencemar duli untuk bersama-sama rakyat turun menonton perlawanan bolasepak yang membabitkan pasukan The Red Warriors sedangkan Najib tak pernah walau sekalipun turun memberi sokongan kepada pasukan The Red Warriors.

Kesimpulannya, Annuar Musa berbohong dan beliau tidak layak untuk diangkat menjadi pemimpin.

Wednesday, May 18, 2011

Berita Baik Buat Peminat Sukan di Kelantan


KOTA BHARU, 18 Mei: Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

"Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini."
"Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh," kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium. Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya. Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

"Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah," katanya. Sumber:- Harakah Daily

Dengan pengumuman yang telah dibuat itu, penulis berharap agar semua peminat sukan di Kelantan terutamanya penyokong pasukan bolasepak The Red Warriors dapat melihat kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu perkembangan sukan di Negeri Kelantan. Diharap selepas ini, tidak akan ada lagi suara-suara sumbang berbunyi mengatakan Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengambil berat terhadap perkembangan sukan di Negeri Kelantan. Penulis juga dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan tahniah kepada pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang di ketuai oleh Menteri Besar Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan di naungi oleh Al-Sultan, Tuanku Sultan Muhammad Ke V.

Saturday, May 14, 2011

MB N9 Pertahan Penyokong Bakar Bendera Kelantan

HARIAN METRO Sabtu 14 Mei 2011 melaporkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan insiden bakar bendera Kelantan selepas perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, N9 pada hari Selasa baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak N9 (PBNS), tindakan provokasi melampau daripada penyokong Kelantan mungkin menjadi punca segelintir individu membakar bendera Kelantan. 

Walaupun menyatakan rasa kesal atas insiden yang berlaku pada malam itu, Mohamad berkata penyokong N9 tidak bertindak apa-apa dan hanya duduk sahaja di dalam stadium, boleh jadi disebabkan provokasi melampau, menyebabkan ada tindakan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Mohamad juga seolah-olah memberi amaran dan ugutan kepada pihak lain apabila berkata bahawa setiap perbuatan itu ada tindak balas, jadi untuk mengelakkan bendera dibakar, jangan pula membakar semangat orang.

Kenyataan Mohamad itu amatlah dikesali kerana tidak sepatutnya sebagai seorang Menteri Besar, beliau sanggup melukakan hati rakyat negeri lain. Beliau sepatutnya memberi nasihat kepada rakyat beliau dan juga penyokong pasukan bola sepak negeri beliau supaya tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang dan bukannya mengapi-apikan lagi semangat yang tidak membawa sebarang faedah. Mohamad sepatutnya mencontohi sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak pernah mengapi-apikan semangat penyokong Kelantan sebaliknya beliau sering memberikan nasihat yang berguna kepada penyokong dan rakyat Kelantan. Begitu juga dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan, Tan Seri Anuar Musa turut dilihat tidak pernah membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong pasukan lawan tetapi sebaliknya lebih banyak memberi nasihat kepada penyokong sendiri supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh merugikan persatuan.

Kenyataan Mohamad yang mengatakan penyokong N9 tidak melakukan apa-apa sebenarnya boleh dipertikaikan. Dapat dilihat pada perlawanan tersebut, penyokong-penyokong N9 turut melakukan provokasi terhadap penyokong pasukan Kelantan. Kita ingin bertanya, kenapa bendera Kelantan boleh berada di kawasan penyokong N9 dan siapa yang membawanya? Tidak mungkin, penyokong Kelantan yang meletakkan bendera tersebut di tempat penyokong N9. Kita juga ingin bertanya, apa tujuan bendera Kelantan di bawa masuk ke tempat penyokong N9? Rasionalnya dapat kita lihat, penyokong N9 yang membawa masuk bendera Kelantan ke kawasan mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadap bendera Kelantan. Tidak mungkin penyokong N9 saja-saja membawa masuk bendera Kelantan tanpa sebarang niat yang tersembunyi.

Mohamad mengatakan kalau tak mahu orang bakar bendera, jangan bakar semangat orang lain. Saya nak tanya, bila penyokong N9 bakar bendera Kelantan bermakna penyokong N9 telah membakar semangat penyokong Kelantan, ada atau tidak, penyokong Kelantan yang bertindak balas dengan membakar bendera N9? Tidak ada bukan? Jadi yang dapat kita lihat disini sebenarnya, penyokong Kelantan sebenarnya lebih berdisiplin dan bertamadun dari penyokong N9 dan seharusnya, Mohamad sebagai seorang Menteri Besar sepatutnya membuat kenyataan yang lebih bijak dan tidak dipengaruhi oleh sentimen politik. Tak perlu MB N9 itu berpolitik dalam soal permainan sukan. Guna gelanggang yang sewajarnya untuk berpolitik bukannya berpolitik di gelanggang sukan.

Nasihat saya kepada penyokong-penyokong Kelantan agar dapat bersabar dan bertenang. Jangan kita ambil tindakan mengikut emosi. Kita serahkan kepada kebijaksanaan KAFA untuk menyatakan bantahan terhadap kebiadapan segelintir penyokong N9 itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...