Powered By Blogger
Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

Tak Nak Boikot.. Terpulanglah


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


TERPULANGLAH pada pendirian masing-masing dalam isu boikot ni. Tapi saya tak nampak ada keperluan untuk menjadi pelanggan Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald sebab kita ada alternatif lain.

- Kalau saya dan keluarga rasa nak makan ayam goreng, kita ada Radic Fried Chiken (RFC) keluaran orang MALAYSIA beragama ISLAM dan berbangsa MELAYU. Istimewa lagi ayam yang digunakan adalah ayam yang se
tiap hari telah diperdengarkan dengan kalimah suci ayat Al-Quran. Bukan setakat ayam goreng jer korang boleh dapat, korang nak makan apa, nak satey ayam, nasi ayam, nasi lemak, mee kari.. pergilah try tengok. InsyaAllah korang puas hati.

- Kalau rasa nak makan burger pulak, bersepah kat tepi jalan ada orang jual burger. Memang rasanya tak sesedap burger McDonald tapi come on la bro, lebih baik kita tolong perniagaan anak bangsa kita sendiri yang berniaga kecil-kecilan daripada kita sibuk nak menolong golongan yang dah kaya raya tapi bila time bayar zakat dan bersedekah amal jariah macam hampeh. Come on la... Kata nak tolong anak bangsa sendiri. KORANG KAN PEJUANG BANGSA TULEN..

Kalau direnung-renungkan, untuk apa kempen boikot produk yang ada kaitan dengan Israel ini dibuat? Apa faedahnya pada orang yang sertai boikot? Rasanya, tak ada faedah peribadi pun. Tapi kalau kita fikir-fikirkan balik, rakyat Palestin yang kena bunuh oleh zionis tu adalah saudara seagama kita sendiri. Kalau kita rasa mereka tu saudara kita, maka kita perlulah ambil perhatian dari sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi
 
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri". [Bukhari dan Muslim]

Wednesday, August 8, 2012

Memorandum NGO Royalti Kepada YAB Menteri Besar Kelantan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dalam memperjuangkan hak rakyat, pejuang-pejuang ini rela bermandikan darah

Baginda Sultan Muhammad V sendiri merestui tuntutan

Pemimpin bersama-sama rakyat dalam memperjuang hak rakyat

Pengkhianat diangkat sebagai pejuang
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

MEMORANDUM DAN TUNTUTAN AGAR KERAJAAN NEGERI MENOLAK CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI YANG DICADANGKAN OLEH PERDANA MENTERI MALAYSIA BAGI MENYELESAIKAN ISU TUNTUTAN ROYALTI NEGERI KELANTAN.

KEPADA

YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

MENTERI BESAR NEGERI KELANTAN.

DARIPADA

GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN (ROYALTI) MENGENAI ISU TUNTUTAN ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN.


KEPADA


YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA,

ROYALTI KELANTAN: TOLAK JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI DAN TEMPOH ENAM BULAN ADALAH TIDAK RELEVAN.

Assalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh;

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia;

Dengan hormatnya, ini adalah MEMORANDUM kepada Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan. Suka kami menarik perhatian pihak YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia bahawa isu Pengeluaran Petroleum sebagai Hasil Bumi Negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui Batasan Kepentingan Politik yang sempit.

Pertama (1);

Kami mewakili NGO-NGO dan Rakyat Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas kesungguhan pihak Kerajaan Persekutuan dalam memikul Amanah dan Tanggungjawab yang telah diberikan oleh majoriti rakyat negara Malaysia terutamanya di dalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang selama ini telah dinafikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1975.

Kami percaya, majoriti rakyat Negeri Kelantan akan memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekiranya pihak Kerajaan Malaysia sanggup berlaku Jujur, Adil dan Ikhlas dalam menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan setelah pihak Kerajaan Persekutuan membuat keputusan membuka meja rundingan bagi menyelesaikan masalah berbangkit dan mengutus surat jemputan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Kedua (2);

Surat Rasmi yang telah dihantar oleh Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri kepada YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Menteri Besar Negeri Kelantan, antara lain isi kandungannya menyebut bahawa;

# Jawatankuasa ini akan membuat kajian dan bersidang dalam tempoh 6 bulan sebelum memutuskan Tuntutan Bayaran Tunai Kerajaan Negeri Kelantan dibuat secara adil, telus dan saksama. 

Merujuk kepada perkara di atas, kami ingin menarik perhatian YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia tentang pendirian pihak kami berkenaan dengan hal yang berkaitan.

Ketika kunjungan Y.A.B Dato’ Seri ke Negeri Kelantan pada 1hb. Ogos, 2009 dan melalui perbincangan Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri dengan YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kajian masih sedang dijalankan berkenaan dengan masalah Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan dan ianya telah disiarkan dan menjadi tajuk utama di media-media arus perdana; media elektronik, media cetak, termasuk juga melalui sebaran media baru.

Setelah 3 tahun berlalu, tiada sebarang keputusan Hasil Kajian yang telah dijalankan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan oleh YAB Perdana Menteri? Apakah pihak berkenaan telah menemui “jalan buntu” sehingga Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri mengambil keputusan membuka meja rundingan dengan Kerajaan Negeri Kelantan justeru memerlukan tempoh masa lanjutan sehingga enam (6) bulan untuk membuat satu (1) lagi kajian dan juga membuat rundingan bagi mencari titik penyelesaian berhubung dengan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan?

Pihak kami merasa agak hairan dengan perkembangan ini dan kami juga yakin bahawa Rakyat Negeri Kelantan lebih-lebih lagi turut merasa hairan dengan perkembangan terbaru ini. 37 tahun setelah Perjanjian Petroleum dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS, Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dengan PETRONAS dan juga Kerajaan Persekutuan dengan PETRONAS, pihak Kerajaan Persekutuan nampaknya masih belum jelas dan juga masih “samar-samar” dengan Perjanjian yang pada asalnya telah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pihak yang terlibat termasuk Kerajaan Persekutuan sendiri.

Secara jelasnya, pihak kami melihat perkara ini sebagai “Gimik PRU13” pihak-pihak berkepentingan dan ianya sama sekali tidak menepati semangat “Kenegaraan atau Federalisme” di dalam Negara Malaysia.

Ketiga (3) - TUNTUTAN;

3 TUNTUTAN;

1. KERAJAAN NEGERI PERLU MENOLAK CADANGAN penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan

2. PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri MENGIKUT FORMULA NEGERI TERENGGANU

3. Membuat BAYARAN TUNAI TERUS kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan UNTUK DIJALANKAN KAJIAN.

Pihak kami ingin mencadangkan beberapa perkara untuk diambil perhatian oleh YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia dalam menyelesaikan isu berbangkit;

Tuntutan Pertama (1);

Supaya tawaran untuk mengadakan “rundingan” (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan) bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan tidak dilihat sebagai “Gimik PRU13” oleh Rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Rakyat Negara Malaysia amnya, maka NGO ROYALTI menuntut cadangan penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan itu DITOLAK dan bayaran perlu dibuat segera tanpa ada sebarang jawatankuasa lain.

Kerana sebenarnya cadangan penyelesaian sebenarnya sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut ( Petikan dari Perjanjian Petrolium 1975 ):

1. (1) PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

(2) Nilai yang akan dipakai bagi maksud fasal kecil (1) Fasal ini ialah harga jualan f.o.b purata tiap-tiap enam bulan yang diperolehi oleh PETRONAS atau ejen-ejennya.

(3) Apa-apa petroliam yang digunakan oleh PETRONAS, ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya bagi maksud meneruskan penggorekan dan pengeluaran hendaklah disifatkan sebagai dijual bagi maksud mengira pembayaran wang tunai di bawah fasal ini.

2. Pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah dibayar pada tiap-tiap setengah tahun. Pembayaran bagi petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang pertama hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan September dan pembayaran mengenai petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac dalam tahun yang berikutnya.
3. Adalah dipersetujui dan ditetapkan bahawa pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah kena dibayar hanya selagi petroliam diperolehi dan tidaklah kena dibayar sedemikian jika petroliam tidak lagi diperolehi oleh kerana apa-apa sebab jua pun dan dalam hal yang demikian tiada apa-apa pembayaran sebagai pampasan akan kena dibayar kerana terhentinya pembayaran wang tunai yang jika tidak kerana demikian akan kena dibayar di bawah Perjanjian ini.

Tuntuan Kedua (2);

Atas alasan yang sama juga, penyelesaian dan formula yang digunapakai dalam isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Terengganu juga boleh digunapakai dalam menyelesaikan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan memandangkan ianya telah terbukti berjaya, dipersetujui, mencapai kata sepakat dan dipraktikkan sementelah lagi Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia. Iaitu PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri.

Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan Negeri Terengganu dan Kelantan berjiran, sama-sama berada di tanah Semenanjung Malaysia dan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak & Gas di Malaysia.

Tuntutan Ketiga (3);

Bagi dilihat sebagai Jujur, Ikhlas dan tidak sekadar permainan “Gimik PRU13” Kerajaan Persekutuan dalam membuat tawaran bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan, pihak kami menuntut agar Kerajaan Negeri Kelantan melalui YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia mendesak agar kerajaan Malaysia melalui Petronas membuat:

BAYARAN TUNAI kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan untuk dijalankan kajian.

Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975.

Pihak kami merasakan bahawa tidak menjadi masalah bagi Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri untuk menerima syarat-syarat yang ditetapkan diatas cadangan NGO ROYALTI dalam meluluskan “Pendahuluan Bayaran Tunai” memandangkan kuasa penuh bagi meluluskan dan memberi arahan pada PETRONAS dimiliki secara “total” oleh Y.A.B Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di mana di dalam Akta Kemajuan Petroleum di bawah tajuk “Perbadanan” jadual 3 (2) menyebut bahawa;

Perbadanan itu hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

Bersama ini juga pihak kami sertakan kenyataan ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang bertarikh Pada 12hb. November, 1975 Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu Tun Abdul Razak di dalam Sidang Dewan Rakyat berkata;

" Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya ". 

Mohon YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia mempertimbangkan cadangan dan tuntutan daripada NGO ROYALTI. Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dengan Hormatnya,

…………………………..............

HAJI NAZRI BIN DERAMAN

Pengerusi Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (ROYALTI)

Tuesday, July 3, 2012

Hudud: Adun Kemelah Sepatutnya Menyertai PAS

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

NAMPAKNYA isu berkenaan cadangan Adun Kemelah, Johor yang mencadangkan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum Hudud menjadi suatu isu yang semakin menarik. Rujuk laporan di sini

Menariknya adalah apabila cabaran Adun tersebut kepada PAS telah bersambut apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Tuan Guru Haji Nik Mat dengan penuh rasa kesyukuran menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut biarpun bukan Kelantan yang mendahului kerana isu siapa yang dahului dan siapa yang terkemudian bukan suatu perkara yang penting untuk di kelam kabutkan. Rujuk laporan di sini

Isu cadangan Adun Kemelah dari Umno tersebut menjadi semakin menarik apabila cadangan beliau tersebut menyebabkan sekutu kuat Umno dalam Barisan Nasional iaitu parti MCA melenting marah. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.

Dalam satu tulisannya di Twitter, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan. dan Chua menyatakan bahawa parti yang dipimpinnya itu pasti menentanga usaha seperti itu. Rujuk laporan di sini

Penulis tidak hairan dengan tindak balas dari presiden MCA itu kerana memang telah diketahui bahawa parti MCA tidak pernah menyokong perlaksanaan hukum Hudud bahkan secara terang-terangan menyatakan penentangannya. Dan bukanlah menjadi sesuatu yang pelik kerana penentangan MCA itu sebenarnya berpunca dari kegagalan Umno itu sendiri sebagai pemimpin komponen BN untuk mentarbiahkan atau memberi penerangan kepada MCA. Bahkan, bukan setakat gagal memberi penerangan tetapi sebaliknya majoriti pemimpin Umno itu sendiri seolah-olah 2 X 5 dengan parti bukan Islam tersebut.

Presiden Umno sendiri tak mahu laksana hudud
Bilamana majoriti pemimpin Umno termasuklah tuan presidennya sendiripun seolah-olah 2 X 5 dengan MCA, maka apatah lagi dengan anak buah mereka. Bila bos sendiri dah tolak hukum syariat Allah SWT ini, maka takkanlah anak buah nak berbeza pandangan dengan bos mereka. Mungkin ada yang berani berbeza pendapat tetapi rasanya tidaklah ramai. Mungkin Adun Kemelah salah seorangnya yang berani. Ada yang berbeza pandangan tapi tak berani nak mengulas atau menyatakan pandangan dan ada pula yang memang jahil murakkab, main menyondol sahaja mengikut kata bos-bos yang songsang itu.

Penulis lihat, dalam isu ini nampaknya Adun Kemelah dibiarkan bersendirian oleh rakan-rakan sendiri dalam parti Umno. Tidak ada yang berani untuk menyokong cadangan beliau itu. Yang ada memberi sokongan kepadanya dalam isu ini adalah kalangan dari parti yang cuba untuk beliau kenakan itu sendiri iaitu parti PAS. Tengoklah sendiri, bilamana beliau beri cadangan itu, siapakah yang secara terbuka menyatakan sokongan? Mursyidul Am PAS sendiri. Dalam masa Mursyidul Am PAS menyatakan sokongan, dimana suara rakan-rakan separti dengan Adun Kemelah. Malang sekali, nampaknya tidak ada suara yang menyatakan sokongan. Yang adanya adalah kenyataan yang seolah-olah hendak membiarkan Adun Kemelah terkapai-kapai sendirian menjawab serangan dari parti MCA. 

Tengoklah sendiri, bilamana Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor sendiri iaitu Datuk Zainal Abidin Osman seolah-olah cuba untuk mengelak bilamana beliau mengatakan cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan. Beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor sendiri tidak berani menentukan dan membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan. Lebih malang lagi nasib Adun Kemelah itu, bilamana Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin pula enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan. Rujuk laporan di sini

Penulis lihat dalam isu ini, Adun Kemelah sebenarnya sepatutnya sudah dapat menyedari bahawa beliau sebenarnya tersilap memilih wadah perjuangan. Sepatutnya beliau menyedari bahawa Umno tidak mungkin mahu untuk mengangkat undang-undang syariat sebagai perundangan negara ini. Dan beliau sepatutnya sudah boleh menyedari bahawa wadah perjuangan sebenarnya yang sepatutnya beliau sertai adalah parti PAS. Sehubungan itu, Penulis dengan ikhlas hati mencadangkan supaya Adun Kemelah meninggalkan Umno dan menyertai wadah perjuangan PAS. Banyak ilmu yang masih perlu dipelajari serta didalami oleh Adun Kemelah dan InsyaAllah, para dae'i yang ramai di dalam PAS akan berlapang dada untuk membantu Adun Kemelah untuk memahami apa itu syariat Islam yang sebenar-benarnya.

Monday, July 2, 2012

Beranikah Umno Johor Laksanakan Hudud?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

DALAM mesyuarat penggal pertama Persidangan Pertama Dewan Undangan Johor ke-12 pada 20 Jun lalu, Adun Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat telah mencadangkan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ayub berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud 'sebenar'  yang menurutnya berbeza dengan 'hudud PAS'.

Beliau juga turut mencabar PAS supaya menyokong cadangan beliau itu sekiranya PAS benar-benar ingin mendaulatkan hukum Allah tersebut walaupun cadangan tersebut datangnya dari Umno. Rujuk laporan di sini

Mengulas cadangan dan cabaran dari Adun tersebut, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Tuan Guru Haji Nik Mat menyatakan rasa bersyukur beliau atas 'kesedaran' Adun Kemelah tersebut dan menyatakan bahawa Adun tersebut tidak perlu cabar mencabar kerana beliau menyokong penuh cadangan tersebut.

Justeru, harapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan sambil mengajak Umno agar bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenarnya kepada masyarakat Malaysia. Tuan Guru juga menyatakan bahawa beliau menunggu untuk melihat langkah seterusnya dari pihak Umno. Rujuk laporan di sini

Pada pendapat Penulis, cadangan Adun Kemelah itu sesuatu yang berani. Namun begitu, Penulis berani katakan bahawa cadangan tersebut akan hanya tinggal cadangan sahaja kerana pemimpin tertinggi Umno sendiri iaitu Perdana Menteri yang merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak sendiri pernah melafazkan bahawa Malaysia tidak akan melaksanakan hukum hudud. Lihat video di bawah


Dari satu sudut, cadangan dan cabaran Adun Kemelah tersebut Penulis lihat menyanggah kenyataan Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed yang pernah menyatakan bahawa hukum hudud tiada di dalam Al-Qur'an dan sebaliknya hanyalah ciptaan ahli-ahli fiqh.

Penulis juga melihat cadangan dan cabaran dari Adun Kemelah itu adalah dengan niat untuk memalukan PAS serta mempertikaikan draf hudud dan ta'zir yang telah digubal oleh Kerajaan PAS Kelantan dan juga Kerajaan Terengganu ketika di bawah pentadbiran PAS.

Namun begitu, ekoran dari cadangan dan cabaran Adun tersebut jelas memperlihatkan kedangkalan serta kejahilan ilmu Adun tersebut dalam soal berhubung hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun begitu, Penulis amat bersetuju dengan kenyataan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tapi walau macam manapun, Penulis berpendapat selagi Umno mengekalkan pemikiran dan sistem Umno sekarang ini yang berasaskan kepada pemikiran dan sistem penjajah British, maka lupakanlah sahaja niat nak tengok Umno laksanakan hukum hudud di Malaysia ini kerana Umno memang tidak mahu melaksanakan hukum hudud. 

Dan kalau kita benar-benar bersungguh dan ikhlas mahu melihat hukum Allah terlaksana bukan hanya sekadar hudud sahaja maka tanggungjawab kita semua untuk mengangkat pemimpin PAS untuk menerajui Putrajaya.

Di Sini Dinar Dan Dirham, Di Sana Dengki Dan Dendam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
MEMANDANGKAN isu Dinar dan Dirham Kelantan sekarang ini dihangatkan kembali oleh puak-puak Umno yang sebenarnya pada pendapat Penulis, mereka menentang bukan kerana matawang tersebut tetapi menentang  kerana ianya diperkenalkan oleh kerajaan yang berbeza pendirian politik, maka Penulis menyiarkan kembali tulisan Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat. Tulisan beliau ini telah ditulis pada 18 Ogos 2010.

Berikut adalah tulisan beliau tersebut:-
Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika UMNO / BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah mata wang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade. Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya mata wang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikian seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1, 082.00. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.00. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM 108,200.00 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400.00. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 Juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam Al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajaan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai 'aparteid agama'. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-Allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadhan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud :

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan."

Salam Ramadhan.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 8 Ramadhan 1431H / 18 Ogos2010M

Wednesday, June 27, 2012

Haji, Pilihanraya Dan Umno

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Abdul Hadi Awang


 
SAYA merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu lebih lima puluh tahun. Maka mengadakan pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.

Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh memberi kemenangan kepada BN walaupun dengan majoriti kecil khususnya di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi sara hidup, begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.


PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa pemerintahan negara.

Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini, walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.

Firman Allah:

أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين . التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ). 

Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang sangat besar dibebankan kepada umat Islam.

Firman Allah:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا . (النساء ).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil, sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)

Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah mengkhianati Allah dan Rasul.

Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.

PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.

Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini, pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di negara masing-masing.

Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.

Penulis adalah Presiden PAS

Tuesday, June 26, 2012

Sekadar Pendapat Bukannya Fatwa: Pilihanraya Semasa Musim Haji Adalah Haram

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

KAMI, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut: 

Di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair.

Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.

Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah :

(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Monday, June 25, 2012

Sunnah Menyimpan Janggut. Kenapa Larang Anggota Keselamatan Ikut Sunnah?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
SABDA Rasulullah s.a.w.;
خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
Maksudnya: “Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai” [HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.].

Berdasarkan hadis ini, para ulamak melarang lelaki muslim mencukur janggutnya. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); arahan menyimpan janggut dalam hadis di atas adalah arahan wajib. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Dimakruhkan mencukur janggut. Adapun membuang sebahagian dari panjang atau lebarnya jika terlalu lebat, maka itu adalah baik/elok”. Imam Malik memakruhkan janggut yang terlalu panjang. Sebahagian ulamak menggalakkan dipotong janggut yang melebihi satu genggaman tangan. Dalam Soheh Imam al-Bukhari ada diceritakan; Ibnu Umar r.a. bila mengerjakan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggungnya, yang lebih (dari genggaman) akan dipotongnya” (Riwayat Imam al-Bukhari). Namun ada juga ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) yang berpandangan; janggut hendaklah dibiarkan tanpa diganggu kerana Nabi s.a.w. menyebutkan di dalam hadis tadi; “….biarkanlah janggut..”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).  Hukum menyimpan janggut sini, sini, sini dan sini
 
Alhamdulillah! Di Malaysia kini dapat kita lihat semakin ramai dari kalangan kaum muslimin menjadikan berjanggut sebagai salah satu dari penampilan diri. Walaupun kita mungkin tidak dapat untuk mengetahui niat sebenar di hati mereka menyimpan janggut, namun sekurang-kurangnya kita dapat melihat, salah satu identiti sebenar kaum Muslimin kini menjadi identiti Muslimin di Malaysia. Jadi rasanya, tidak perlulah untuk kita mempertikaikan apakah niat sebenar mereka ini menyimpan janggut samada meniatkan ia sebagai mengikut sunnah ataupun bukan.

Dalam pada itu, sesuatu yang boleh dikira sebagai agak menarik juga apabila bukan sahaja lelaki Muslim sahaja yang menjadikan berjanggut sebagai identiti bahkan dapat juga dilihat di tengah-tengah masyarakat, kaum lelaki dari kalangan non Muslim juga telah ramai yang menyimpan janggut dan menjadikan ianya sebagai identiti diri. Tidak kisahlah apapun niat mereka itu turut menyimpan janggut. Kita biarkan sahaja, kerana itu adalah hak mereka sebagai manusia.

Bercakap tentang janggut, anggota-anggota pasukan keselamatan di negara kita terutamanya polis dan tentera tidak dibenarkan menyimpan janggut (mungkin ada anggota yang menjalankan tugas undercover sahaja diarahkan menyimpan janggut). Itulah identititi rasmi anggota-anggota keselamatan negara kita semenjak dari zaman awal penubuhan polis dan tentera Malaysia lagi kerana itulah arahan dari penjajah British.

Penulis sejak dahulu lagi tidak dapat memahami, apa sebenarnya rasional disebalik larangan menyimpan janggut di kalangan anggota-anggota keselamatan negara. Cuma apa yang dapat Penulis fikir adalah mungkin larangan berjanggut oleh penjajah tersebut kerana sebagai mengikut cara pasukan keselamatan di negara penjajah tersebut. Bahasa mudahnya, mengikut cara dan gaya kaum musyrik. Jika itulah sebabnya maka malanglah nasib kita ummat Islam kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (mafhumnya):-

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dari golongan mereka" [Hadith riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibn Hibban]

Dan lebih malang lagi kerana kita mengikut sahaja perlakuan kaum Musyrikin sehinggakan meninggalkan apa yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. itu (samada wajib atau sunat muakkad ianya menjadi perselisihan pendapat antara ulama'-ulama mu'tabar ).

Mungkin akan ada yang berhujjah bahawa larangan menyimpan janggut adalah untuk memastikan atau menjaga disiplin anggota-anggota keselamatan negara kita. Namun begitu, Penulis tidak bersetuju dengan hujjah tersebut kerana jika disiplin menjadi kayu ukur maka Penulis ingin bertanya pula, bagaimana pula dengan disiplin kita terhadap hukum agama Islam yang meletakkan menyimpan janggut di kalangan lelaki-lelaki muslim adalah suatu sunnah? Relakah kita (ummat Islam) mengabaikan disiplin agama kita semata-mata untuk menjaga disiplin mengikut perspektif bukan Islam?

Penulis tertarik dengan penampilan anggota-anggota keselamatan negara lain, terutamanya di negara-negara ummat Islam yang mana dibenarkan untuk menyimpan janggut. Penulis tidak nampak dimana kurangnya disiplin anggota-anggota keselamatan tersebut. Penulis juga tidak nampak pergerakan anggota-anggota keselamatan tersebut terbatas hanya kerana menyimpan janggut. Mungkin ada hujjah mengatakan larangan menyimpan janggut adalah untuk menjaga penampilan diri anggota-anggota keselamatan. Jawab Penulis, apa gunanya penampilan luaran nampak bersih dan kemas tapi, cuai menjalankan tugas, tidak amanah dan rasuah?

Penampilan luaran sebenarnya pada pandangan Penulis hanyalah kulit semata-mata. Bagi Penulis, penambilan sebenar yang sewajarnya dititikberatkan oleh setiap anggota keselamatan adalah penampilan dalam bentuk hubungan baik dengan masyarakat dan yang lebih utama adalah hubungan baik kita dengan Allah SWT. Kalau kedua-dua ini tidak ada dalam diri setiap anggota keselamatan, walaupun muka/wajah selicin mana tanpa sehelai bulu roma sekalipun maka tidak ada gunanya juga.

Penulis yakin akan keluar jawapan, "ini adalah arahan dari pemimpin atasan / kerajaan. Jadi kena patuh pada arahan tanpa ada sebarang bantahan." Penulis nak ingatkan semua, sekiranya terdapat sebarang pertikaian dalam sesuatu isu/perkara maka kita perlu ingat pada perintah Allah SWT yang terlebih-lebih lagi wajib kita taati. Firman Allah SWT (mafhumnya):-
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [An-Nisaa': 59]

Jadi fikirkanlah sendiri, mana yang lebih utama. Arahan pihak atasankah atau arahan dari Rasulullah s.a.w. Jadi Penulis rasakan dalam hal ini, pemimpin negara kita perlu untuk mengkaji semula larangan terhadap anggota keselamatan untuk menyimpan janggut. Dan bagi pasukan keselamatan yang tidak terikat dengan peraturan melarang anggotanya menyimpan janggut tetapi ada cita-cita untuk mengikut peraturan tersebut, fikirkan balik. Manakala lelaki muslim yang memang tidak ada halangan langsung tu, amalkanlah sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut. Simpanlah janggut. Semakin terserlah kematangan diri. Betul cakap ni, Langsung tak bohong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...