Powered By Blogger

Monday, July 2, 2012

Beranikah Umno Johor Laksanakan Hudud?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

DALAM mesyuarat penggal pertama Persidangan Pertama Dewan Undangan Johor ke-12 pada 20 Jun lalu, Adun Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat telah mencadangkan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ayub berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud 'sebenar'  yang menurutnya berbeza dengan 'hudud PAS'.

Beliau juga turut mencabar PAS supaya menyokong cadangan beliau itu sekiranya PAS benar-benar ingin mendaulatkan hukum Allah tersebut walaupun cadangan tersebut datangnya dari Umno. Rujuk laporan di sini

Mengulas cadangan dan cabaran dari Adun tersebut, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Tuan Guru Haji Nik Mat menyatakan rasa bersyukur beliau atas 'kesedaran' Adun Kemelah tersebut dan menyatakan bahawa Adun tersebut tidak perlu cabar mencabar kerana beliau menyokong penuh cadangan tersebut.

Justeru, harapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan sambil mengajak Umno agar bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenarnya kepada masyarakat Malaysia. Tuan Guru juga menyatakan bahawa beliau menunggu untuk melihat langkah seterusnya dari pihak Umno. Rujuk laporan di sini

Pada pendapat Penulis, cadangan Adun Kemelah itu sesuatu yang berani. Namun begitu, Penulis berani katakan bahawa cadangan tersebut akan hanya tinggal cadangan sahaja kerana pemimpin tertinggi Umno sendiri iaitu Perdana Menteri yang merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak sendiri pernah melafazkan bahawa Malaysia tidak akan melaksanakan hukum hudud. Lihat video di bawah


Dari satu sudut, cadangan dan cabaran Adun Kemelah tersebut Penulis lihat menyanggah kenyataan Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed yang pernah menyatakan bahawa hukum hudud tiada di dalam Al-Qur'an dan sebaliknya hanyalah ciptaan ahli-ahli fiqh.

Penulis juga melihat cadangan dan cabaran dari Adun Kemelah itu adalah dengan niat untuk memalukan PAS serta mempertikaikan draf hudud dan ta'zir yang telah digubal oleh Kerajaan PAS Kelantan dan juga Kerajaan Terengganu ketika di bawah pentadbiran PAS.

Namun begitu, ekoran dari cadangan dan cabaran Adun tersebut jelas memperlihatkan kedangkalan serta kejahilan ilmu Adun tersebut dalam soal berhubung hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun begitu, Penulis amat bersetuju dengan kenyataan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tapi walau macam manapun, Penulis berpendapat selagi Umno mengekalkan pemikiran dan sistem Umno sekarang ini yang berasaskan kepada pemikiran dan sistem penjajah British, maka lupakanlah sahaja niat nak tengok Umno laksanakan hukum hudud di Malaysia ini kerana Umno memang tidak mahu melaksanakan hukum hudud. 

Dan kalau kita benar-benar bersungguh dan ikhlas mahu melihat hukum Allah terlaksana bukan hanya sekadar hudud sahaja maka tanggungjawab kita semua untuk mengangkat pemimpin PAS untuk menerajui Putrajaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...