Powered By Blogger
Showing posts with label Orang-Orang Bertaubat. Show all posts
Showing posts with label Orang-Orang Bertaubat. Show all posts

Saturday, May 12, 2012

Ahli Maksiat Yang Bertaubat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

HAMPIR sama dengan kisah hidup Fudhail bin 'Iyadh, Malik bin Dinar, pada awalnya adalah seorang yang yang suka minum arak, melakukan maksiat, zalimi dan rampas hak orang lain dan sebagainya. Segala bentuk maksiat dan kezaliman dilakukan sehingga beliau dibenci oleh masyarakat sekeliling.

Walau bagaimanapun, Allah SWT tetap memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk bertaubat walaupun sebesar mana sekalipun dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini. Malik bin Dinar menceritakan; "Suatu hari, aku berasa sangat ingin untuk berumahtangga dan memiliki anak. Maka kemudian aku menikah dan dikurniakan seorang puteri yang kuberi nama Fatimah. Aku sangat menyayanginya. Semakin dia membesar, semakin bertambah keimanan dan semakin sedikit maksiat di dalam hatiku.

Pernah suatu ketika Fatimah melihatku memegang segelas arak. Dia mendekatiku dan menolak gelas tersebut sehingga tumpah airnya dan mengenai bajuku. Ketika itu umurnya belum genap dua tahun.

Keimananku terus bertambah subur seiring dengan bertambahnya usia Fatimah. Malangnya ketika Fatimah berusia tiga tahun, dia telah meninggal dunia. Apabila Fatimah tiada, aku berasa kecewa dan berubah menjadi orang yang lebih buruk daripada sebelumnya.

Syaitanpun mempermainkanku, dan pada suatu malam Jumaat di pertengahan bulan Sya'ban, aku bertekad untuk mabuk dan minum arak sepanjang malam. Aku minum dan minum selagi terdaya. Apabila kekenyangan dan letih, aku tertidur.

Di dalam tidur itu aku bermimpi melihat hari kiamat. Maka hari telah gelap, lautan berubah menjadi api, dan bumi bergoncang. Manusia berkumpul dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Waktu aku berada di kalangan mereka, aku mendengar seseorang memanggil: Fulan ibnu Fulan, ke mari! Mari menghadap Al-Jabbar!

Aku melihat si Fulan tersebut berubah wajahnya menjadi sangat hitam kerana terlalu takut. Tidak lama kemudian aku mendengar orang itu melaungkan namaku pula: "Mari menghadap Al-Jabbar!"

Kemudian hilangkah seluruh manusia dari sekitarku seakan-akan tidak ada seorangpun di Padang Mahsyar. Tiba-tiba aku melihat seekor ular besar berwarna hitam kebiru-biruan yang ganas, merayap dan mengejar ke arahku dengan membuka mulutnya.

Aku terus melarikan diri hinggalah terserempak dengan seorang lelaki tua. Baunya sangat harum. Pakaiannya pula bersih sekali. Aku memberi salam kepadanya.

"Tolonglah aku pakcik! Ular itu hendak memakanku, selamatkanlah aku pak cik," rayuku penuh harapan.

Matanya memandangku penuh belas kasihan. Lelaki tua itu berkata, "Ular itu lebih besar dan kuat dariku. Bagaimana aku dapat membantumu sedangkan aku lemah tidak berdaya..."

Lelaki tua itu menangis melihatku. "Mudah-mudahan Allah menolongmu," katanya lagi dan terus berlalu.

Tanpa menunggu lebih lama, aku berlari menyelamatkan diri. Akhirnya aku sampai ke satu tempat yang tinggi. Sampai sahaja di puncak, aku tunduk ke bawah. Aku dapat melihat dengan jelas, beberapa tingkat kawah berapi terbentang luas di dalamnya. Apinya menjulang-julang.

Ular itu semakin dekat sedangkan tiada ruang lagi untukku melepaskan diri. Selangkah ke depan, aku pasti terhumban ke dalamnya. Akan hancur luluhlah tubuhku dalam kawah berapi. Pada saat yang genting itu tiba -tiba terdengar suatu suara memanggil namaku. "Kembalilah! Jangan teruskan lagi," kata suara itu. "Kau tidak termasuk dalam kalangan mereka."

Sebaik sahaja mendengar suara ghaib itu aku terus berpatah balik. Dalam perjalanan, sekali lagi aku terserempak dengan lelaki tua yang kulihat tadi.

"Aku benar-benar memerlukan pertolonganmu. Selamatkanlah aku pak cik." aku merayu.

Orang tua itu menangis. "Aku tidak berdaya membantumu. Pergilah ke gunung sana. Mungkin ada yang dapat melepaskanmu daru ular itu." Aku berpaling melihat gunung yang ditunjukkan oleh lelaki tua. Di atasnya terdapat binaan yang diperbuat dari perak. Di dalamnya terdapat terowong yang tertutup dengan kain. Pintu yang menutupi terowong itu pula diperbuat daripada emas manakala engselnya daripada zamrud dan pakunya daripada mutiara. Setiap daun pintu itu dihiasi sutera yang indah.

Aku terus berlari ke arah yang ditunjukkan oleh lelaki tua itu. Ular itu masih mengejarku. Sebaik sahaja kakiku hampir dengan gunung tersebut, tiba-tiba aku terdengar suatu suara berkata, "Bukalah pintunya dan angkatlah kain-kain penutup ini."

Tidak semena-mena, pintu yang terkatup rapat itu terbuka dan kain yang menutupinya terangkat. Sekumpulan anak-anak kecil yang berada di dalamnya berpaling melihatku. Aku dapati wajah anak-anak itu bercahaya.

"Lihat, musuhnya semakin dekat!" jerit salah seorang daripada mereka.

Ular itu semakin rapat, sedang aku menggigil ketakutan. Anak-anak itu memerhatikanku penuh belas kasihan. Aku meneliti anak-anak itu seorang demi seorang. Tiba-tiba mataku terpaku pada seorang anak perempuan kecil. Wajahnya mirip anakku yang meninggal tidak lama dulu. Anak perempuan itu menangis melihat keadaanku.

"Wahai ayahku!" jerit anak kecil tadi sambil berlari ke arahku.

Benarlah, budak perempuan itu anakku! Dia menghulurkan tangan kirinya dan menggenggam tangan kananku. Tangan kanannya pula diacukan kepada ular tadi. serta merta ular besar itu lenyap dari pandangan.

Anak perempuanku itu menarik tanganku dan duduk di suatu sudut. Dia bermanja di atas pangkuanku. Sedang tangannya bermain-main dengan janggutku, anak perempuanku bersuara: "Ayah, belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mematuhi peringatan Allah serta mematuhi kebenaran yang diturunkan kepada mereka?"

Sebaik sahaja mendengar sepotong ayat yang dibacakan olehnya, hatiku tiba-tiba ditusuk penyesalan yang amat dalam. Tanpa disedari air mata pun mengalir.

Kata-kata yang dituturkan oleh anak perempuanku itu adalah firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 16 iaitu:
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

Aku merenung anak itu dan bertanya, "Wahai puteriku, apakah kamu memahami kandungan Al-Qur'an?"

"Ayah, kami mengerti isi Al-Qur'an lebih daripada apa yang diketahui olehmu," jawab anakku.

Aku memandangnya dan berkata, "Ceritakanlah kepada ayah mengenai ular besar yang mengejarku sebentar tadi."

"Itu adalah dosa-dosa yang telah ayah kerjakan sehingga menjerumuskan diri ke dalam neraka jahanam," jawab anak kecil itu.

Lalu aku bertanya pula padanya tentang lelaki tua yang kutemui ketika lari dari ancaman seekor ular besar.

"Itu adalah amal soleh yang ayah lakukan dan telah diterima oleh Allah, tetapi tidak cukup untuk melepaskan ayah daripada kesusahan ini," begitu jawab anak perempuanku.

Aku bertanya lagi tentang apa yang dilakukannya di atas gunung ini.

"Kami adalah anak orang-orang Muslim. Kami ditempatkan di sini sehingga hari kiamat dan menunggu mereka datang, dan kamilah yang akan memohon kepada Tuhan untuk melepaskan mereka daripada seksaan," jawab anakku.

Sejurus anakku mengakhiri kata-katanya, aku tersedar daripada tidur. Perasaan takut menyelubungiku. Mimpi itu telah memberi keinsafan abadi buatku.

Bejana arak yang masih tersepah di tempat pembaringan itu kucapai. Akhirnya kucurahkan ke tanah. Bejana-bejana itu kupecahkan. Dari saat itu aku memohon keampunan kepada Allah atas segala perbuatan yang sia-sia dan dilaknat olehNya."

Friday, May 11, 2012

Ketua Perompak Yang Akhirnya Bertaubat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

AL-FUDHAIL BIN IYADH, seorang ulama' sufi yang sezaman dengan Imam Malik dan Abdullah Ibnul Mubarak. Dilahirkan pada 105 Hijrah di Samarkand dan wafat pada tahun 187 Hijrah di Mekah.

Diriwayatkan, antaranya oleh Al-Hafiz Ibnu 'Asakir, juga di dalam kitab Siyar A'lam Nubala', Imam Az-Zahabi, Al-Fudhail asalnya adalah seorang ketua perompak. Saban malam, Fudhail dan anggota kumpulannya akan menghalang perjalanan kafilah yang melalui kawasan antara Abyurd dan Sarkhas.

Walaupun Fudhail seorang perompak dan penjahat yang ditakuti, ditaqdirkan dia jatuh cinta dengan seorang wanita muslimah yang solehah. Namun menyedari keadaan dirinya, Fudhail tidak pernah menyampaikan perasaannya itu kepada wanita tersebut. Untuk melepaskan kerinduannya, Fudhail sering memanjat tembok rumah wanita tersebut untuk memandang wajahnya.

Suatu malam, ketika Fudhail memanjat tembok tersebut, beliau terdengar seseorang membaca ayat yang sungguh indah dan berbunyi (maksudnya):-
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Qur'an) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq (derhaka)." [Surah Al-Hadid: 16]

Mendengar ayat itu, serta merta hati Fudhail menjadi gementar dan takut. "Benar Ya Rabb, inilah saatnya," kata Fudhail, lalu bergegas meninggalkan rumah tersebut. Fudhail kembali ke tempat persembunyiannya yang terletak di celah-celah runtuhan bangunan sambil fikirannya terus berdebar-debar memikirkan ayat yang didengarnya tadi.

Ditaqdirkan, tidak lama kemudian, sebuah kafilah melalui tempat persembunyian Fudhail. Salah seorang daripada mereka berkata, "Kita akan melalui kawasan penjahat dan perompak, Fudhail bin Iyadh. Jadi, apa kita nak buat?"

Jawab sahabatnya, "Kita berangkat esok pagi saja. Malam ini Fudhail dan kumpulannya sedang berkeliaran. Kalau diteruskan perjalanan kita, mereka akan rampas semua barang dagangan kita."

Mendengar kata-kata itu, Fudhail berasa sungguh malu. Malu kepada dirinya sendiri, juga malu kepada Allah.

"Aku menghabiskan malam dengan membuat maksiat hingga ada sekelompok kaum muslimin takut kepadaku."

Fudhail yakin, pasti Allah membawanya ke tempat tersebut supaya dia mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi agar dia segera menghentikan kegiatannya itu.

Malam itu juga Fudhail bertaubat dan membubarkan kumpulan perompaknya. Fudhail kemudiannya menyuruh anak-anakbuahnya pulang ke rumah masing-masing manakala dia sendiri berpindah ke Mekah dan mengisi sisa hidupnya dengan ibadah, sampailah meninggal dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...