Powered By Blogger

Saturday, May 14, 2011

MB N9 Pertahan Penyokong Bakar Bendera Kelantan

HARIAN METRO Sabtu 14 Mei 2011 melaporkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan insiden bakar bendera Kelantan selepas perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, N9 pada hari Selasa baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak N9 (PBNS), tindakan provokasi melampau daripada penyokong Kelantan mungkin menjadi punca segelintir individu membakar bendera Kelantan. 

Walaupun menyatakan rasa kesal atas insiden yang berlaku pada malam itu, Mohamad berkata penyokong N9 tidak bertindak apa-apa dan hanya duduk sahaja di dalam stadium, boleh jadi disebabkan provokasi melampau, menyebabkan ada tindakan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Mohamad juga seolah-olah memberi amaran dan ugutan kepada pihak lain apabila berkata bahawa setiap perbuatan itu ada tindak balas, jadi untuk mengelakkan bendera dibakar, jangan pula membakar semangat orang.

Kenyataan Mohamad itu amatlah dikesali kerana tidak sepatutnya sebagai seorang Menteri Besar, beliau sanggup melukakan hati rakyat negeri lain. Beliau sepatutnya memberi nasihat kepada rakyat beliau dan juga penyokong pasukan bola sepak negeri beliau supaya tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang dan bukannya mengapi-apikan lagi semangat yang tidak membawa sebarang faedah. Mohamad sepatutnya mencontohi sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak pernah mengapi-apikan semangat penyokong Kelantan sebaliknya beliau sering memberikan nasihat yang berguna kepada penyokong dan rakyat Kelantan. Begitu juga dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan, Tan Seri Anuar Musa turut dilihat tidak pernah membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong pasukan lawan tetapi sebaliknya lebih banyak memberi nasihat kepada penyokong sendiri supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh merugikan persatuan.

Kenyataan Mohamad yang mengatakan penyokong N9 tidak melakukan apa-apa sebenarnya boleh dipertikaikan. Dapat dilihat pada perlawanan tersebut, penyokong-penyokong N9 turut melakukan provokasi terhadap penyokong pasukan Kelantan. Kita ingin bertanya, kenapa bendera Kelantan boleh berada di kawasan penyokong N9 dan siapa yang membawanya? Tidak mungkin, penyokong Kelantan yang meletakkan bendera tersebut di tempat penyokong N9. Kita juga ingin bertanya, apa tujuan bendera Kelantan di bawa masuk ke tempat penyokong N9? Rasionalnya dapat kita lihat, penyokong N9 yang membawa masuk bendera Kelantan ke kawasan mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadap bendera Kelantan. Tidak mungkin penyokong N9 saja-saja membawa masuk bendera Kelantan tanpa sebarang niat yang tersembunyi.

Mohamad mengatakan kalau tak mahu orang bakar bendera, jangan bakar semangat orang lain. Saya nak tanya, bila penyokong N9 bakar bendera Kelantan bermakna penyokong N9 telah membakar semangat penyokong Kelantan, ada atau tidak, penyokong Kelantan yang bertindak balas dengan membakar bendera N9? Tidak ada bukan? Jadi yang dapat kita lihat disini sebenarnya, penyokong Kelantan sebenarnya lebih berdisiplin dan bertamadun dari penyokong N9 dan seharusnya, Mohamad sebagai seorang Menteri Besar sepatutnya membuat kenyataan yang lebih bijak dan tidak dipengaruhi oleh sentimen politik. Tak perlu MB N9 itu berpolitik dalam soal permainan sukan. Guna gelanggang yang sewajarnya untuk berpolitik bukannya berpolitik di gelanggang sukan.

Nasihat saya kepada penyokong-penyokong Kelantan agar dapat bersabar dan bertenang. Jangan kita ambil tindakan mengikut emosi. Kita serahkan kepada kebijaksanaan KAFA untuk menyatakan bantahan terhadap kebiadapan segelintir penyokong N9 itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...