EKORAN kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram bermula 10 Mei 2011 menjadikan harga baru adalah sebanyak RM2.30, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memberi peringatan kepada peniaga-peniaga kecil agar tidak menaikkan harga makanan. Menurut Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Mahani Tan Abdullah kenaikan harga gula tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan memandangkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram adalah minimum. Beliau turut mengatakan bahawa kenaikan tersebut tidak seharusnya membebankan pengguna dan mereka perlu melihat dari sudut positif bahawa pengurangan penggunaan gula dapat mencegah dari penyakit kencing manis.
Sumber:- My Metro
Itu adalah pandangan dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) yang semestinya bertujuan untuk mewajarkan tindakan kerajaan yang menaikkan harga gula. Namun begitu saya pula berpandangan, peringatan kementerian terhadap para peniaga terutamanya peniaga bahan makanan adalah suatu yang tidak masuk akal. Ini adalah kerana pada pandangan saya, para peniaga tidak mempunyai pilihan lain kerana sekiranya mereka tidak menaikkan harga makanan, kemungkinan besar para peniaga berstatus peniaga kecil ini akan mengalami kerugian. Ini adalah kerana perniagaan makanan, contohnya kuih muih dan gerai minuman bukannya satu perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan yang besar. Para peniaga kecil ini kebanyakannya berniaga hanyalah untuk mencari pendapatan bagi menampung keperluan hidup. Jika selama ini keuntungan yang biasa mereka perolehi contohnya RM50 sehari, selepas kenaikan harga gula ini, pastinya modal mereka untuk berniaga akan bertambah dan keuntungan mereka pula pastinya akan merosot mungkin hanya tinggal RM35 sehari. Itu untuk tahun ini. Tahun hadapan naik lagi 20 sen harga gula, lagi bertambah modal dan makin berkurang pula keuntungan jika mereka terus dihalang menaikkan harga makanan.
Adalah sesuatu yang aneh bila Timbalan Ketua Setiausaha KDNKK itu mengatakan kenaikan harga tersebut tidak seharusnya membebankan rakyat. Ini adalah kerana kenaikan harga tersebut sememangnya sesuatu yang membebankan rakyat. Beliau seharusnya berfikir dengan menggunakan akal bukannya menggunakan kepala lutut. Adakah beliau tidak sedar, selama ini bukan hanya harga gula yang mengalami kenaikan. Adakah beliau lupa, harga petrol juga turut dinaikkan oleh kerajaan dan saya percaya adalah tidak mustahil, harga barangan lain juga akan mengalami kenaikan harga sebagai contohnya minyak masak, tepung gandum, gas memasak dan lain-lain lagi. Adakah beliau masih boleh beranggapan itu masih tidak membebankan. Jika beliau tetap mahu mengatakan bahawa itu bukannya satu bebanan, memang sah beliau adalah pengampu dan pembodek kerajaan yang hebat. Beliau sepatutnya membuat penilaian yang lebih luas dan lebih jauh ke hadapan. Beliau juga seharusnya tidak membuat penilaian berdasarkan pada kemampuan ekonomi beliau sahaja tanpa mengambil kira kemampuan ekonomi orang lain.
Soal pengurangan penggunaan gula boleh mencegah penyakit seperti penyakit kencing manis itu memang tidak dapat untuk dinafikan. Tetapi bosan jugaklah kalau itu saja alasan yang diberi setiap kali harga gula naik. Kalau dua tiga tahun lepas kurang ambil gula atas alasan nak elak kencing manis, saya rasa lama-kelamaan orang minum air kopi 'O' letak gula sebijik dua saja. Peniaga kuih-muih pula buat kuih tawar untuk jualan dan akhirnya Pak Jib dan Puan Timbalan Ketua Setiausaha KDNKK minum kopi 'O' pahit dan beli kuih tak rasa apa-apa bila dimakan.
No comments:
Post a Comment