Sumber:- Sinar Harian http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150190396669883&set=pu.87363369882&type=1&theater
Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) adalah sebuah agensi yang diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu agensi-agensi kerajaan untuk menjaga keselamatan dan membantu masyarakat. Tapi kenapa boleh berlaku ada anggota agensi tersebut melakukan kesalahan undang-undang sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan masyarakat pula? Sepatutnya sebagai sebuah agensi yang diwar-warkan dan dicanang sebagai sebuah agensi pertahanan negara (kononnya) tidak ada anggota yang terlibat dengan gejala-gejala yang boleh mengancam keselamatan rakyat. Sepatutnya sebagai sebuah agensi yang diarahkan oleh kerajaan untuk membantu pihak berkuasa mengawal keselamatan negara, perkara-perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.
Selama ini, RELA sering dilaporkan sebagai agensi yang sering membantu pihak polis dalam menangani masalah jenayah termasuklah menangani gejala merempit. Jadi sepatutnya tidak ada anggota RELA yang terlibat dengan gejala rempit. Tapi apa yang berlaku, ada anggota RELA sendiri terlibat dengan gejala rempit.
RELA juga sering dilaporkan sebagai agensi yang sering membantu pihak Jabatan Imigresen dalam menangani masalah kebanjiran pendatang asing di negara kita. Dan yang terbaru kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri, TERLEBIH memberi amanah kepada RELA untuk bersama Jabatan Imigresen mengawal tahanan warga asing di depot-depot tahanan pendatang asing di seluruh negara sehinggakan ada pula anggota RELA yang perasan sendiri mencanangkan kepada masyarakat kampung bahawa depot-depot tahanan adalah kepunyaan mereka. Mungkin bagi yang berpendidikan rendah bolehlah terpengaruh dengan omongan kosong anggota RELA ini, tapi bagi mereka yang berpelajaran tinggi dan mengetahui setakat mana bidang kuasa RELA ini tak mungkin akan terpengaruh.
Kenapa ini boleh berlaku? Kita lihat sekarang ini, kerajaan pusat begitu giat untuk menambahkan keanggotaan RELA. Rakyat negara kita, tanpa mengira kaum, jantina, umur digalakkan untuk menyertai RELA. Sehinggakan sering didapati berlakunya pendaftaran keanggotaan RELA dilakukan di pasar-pasar malam. Dan oleh kerana seolah-olah terlalu terdesak untuk meramaikan keanggotaan RELA, kesemua yang memohon diterima sebagai anggota RELA tanpa perlu melalui proses tapisan keselamatan yang ketat. Dalam erti kata lain, jika seorang penagih dadah atau penagih air ketum sekalipun yang memohon menjadi anggota RELA, pasti akan diterima tanpa banyak bicara.
Sepatutnya Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tapisan keselamatan yang ketat terhadap pemohon-pemohon keanggotaan RELA ini. Sebelum mereka diterima menjadi anggota RELA, latar belakang mereka perlu disiasat terlebih dahulu. Kita tidak mahu selepas ini, ada pula anggota RELA yang ditangkap kerana merompak, meragut dan bermacam-macam lagi kesalahan jenayah. Di samping itu juga, pemeriksaan mengejut perlu dilakukan ke atas anggota RELA agar tidak ada anggota yang didapati terlibat dengan penagihan dadah atau apa-apa bahan yang mengkhayalkan. Jangan pula nanti selepas ini berlaku orang yang diharap-harapkan untuk menjaga keselamatan rakyat menjadi duri dalam daging yang menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat. Dan seandainya kerajaan tidak mampu untuk mengawal anggota-anggota RELA ini, adalah lebih baik dibubarkan sahaja Angkatan Relawan Rakyat Malaysia ini.
No comments:
Post a Comment