Powered By Blogger

Saturday, May 14, 2011

Lagu Perpaduan Kembali Berkumandang

NAMPAKNYA, irama lagu perpaduan kembali didendangkan oleh UMNO bilamana Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pada satu sidang media sempena sambutan 65 tahun UMNO dilaporkan memberi cadangan kepada PAS agar menyertai Barisan Nasional untuk kebaikan bangsa Melayu dan rakyat negara ini secara menyeluruh. Menurut beliau lagi, perpecahan bangsa Melayu tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.


Apapun, terima kasih diucapkan buat Ahmad Maslan dan pemimpin UMNO yang terus mendendangkan tawaran perpaduan tersebut. Cuma sekarang, kami dalam PAS masih belum lagi bersedia untuk dipatuk oleh UMNO buat kali kedua dalam lubang yang sama. Kami masih lagi ingat dan terasa bilamana PAS ditendang keluar suatu ketika dahulu oleh UMNO sewaktu berada di dalam Perikatan.

Sepertimana dahulu, UMNO mengajak dan mempelawa PAS menyertai mereka bilamana UMNO menyedari UMNO telah hilang sokongan masyarakat melayu. UMNO sewaktu dipimpin oleh Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri telah mengajak PAS menyertai Perikatan bilamana menyedari UMNO tidak begitu mendapat sokongan masyarakat melayu manakala masyarakat cina dan india pada ketika itu tidak begitu memberikan sokongan kepada UMNO. Atas dasar perpaduan, PAS ketika itu telah menerima huluran tangan UMNO tanpa memikirkan niat sebenar UMNO dan ekoran itu, Perikatan telah mendapat sokongan sepenuhnya dari masyarakat melayu. Namun begitu, apabila UMNO telah mendapat sokongan kuat dari masyarakat melayu dan juga telah mula diterima oleh masyarakat yang lain, PAS telah ditendang keluar begitu sahaja. Bukan setakat ditendang keluar, UMNO yang ketika itu dipimpin oleh Tun Hussein Onn telah mengisytiharkan perintah darurat dan Mageran di Kelantan yang pada ketika itu diperintah oleh PAS dan akhirnya Kelantan berjaya ditawan oleh UMNO.

Kini, UMNO kembali cuba untuk mengajak PAS untuk menyertai BN atas alasan perpaduan melayu. Namun begitu, PAS sedar bahawa ajakan UMNO itu adalah kerana UMNO menyedari bahawa parti tersebut telah mula kehilangan sokongan dari masyarakat melayu dan juga masyarakat yang lain. Dalam keadaan ini, PAS meragui keikhlasan UMNO bilamana mengajak dan mempelawa PAS menyertai BN kerana PAS sedar adalah mustahil sama sekali UMNO akan mengajak PAS menyertai BN sekiranya UMNO itu sendiri masih mempunyai kekuatan sokongan.

Sebelum mengajak PAS menyertai BN, UMNO perlu memberikan penjelasan kepada rakyat kenapa sewaktu UMNO berada dalam keadaan selesa, PAS tidak diajak untuk menyertai BN. Sekiranya UMNO begitu ikhlas untuk menyatupadukan masyarakat melayu yang dikatakan sebagai berpecah oleh UMNO, kenapa UMNO menganiaya rakyat Kelantan yang majoritinya adalah orang melayu. Kenapa rakyat Kelantan dinafikan hak royalti petroleum. Umno juga perlu beri penjelasan kenapa mereka tidak mempertahankan kerajaan Kelantan bilamana MCA dan Gerakan menyerang dasar kerajaan negeri berkenaan isu judi dan banyak lagi penjelasan yang perlu diberikan oleh UMNO.

Adapun demikian, PAS menyedari bahawa UMNO sebenarnya tidak ikhlas dalam mengajak PAS menyertai BN. UMNO tidak mempertahankan kerajaan negeri Kelantan bilamana presiden MCA memberikan syarat sekiranya PAS ingin menyertai BN. Sekiranya UMNO benar-benar ikhlas mahukan perpaduan orang melayu, MCA sudah tentu diberikan amaran oleh UMNO.

Namun begitu, sepertimana yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Tuan Guru Mursyidul Am PAS, perpaduan atas dasar perkauman sempit tidak akan berlaku antara PAS dan UMNO. PAS hanya sedia untuk bersatu atas dasar yang lebih besar iaitu atas dasar Islam bahkan PAS telah membuat penegasan bahawa PAS sedia untuk dibubarkan sekiranya UMNO mengambil Islam sepenuhnya sebagai asas perjuangan dan pemerintahan. Oleh yang demikian, terima kasih sajalah atas tawaran perpaduan yang dihulurkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...