Powered By Blogger

Sunday, May 22, 2011

Iktibar Dari Bencana Yang Menimpa

TANGGAL 21 Mei 2011, satu lagi tragedi menyayat hati bakal menjadi sejarah negara kita. Tragedi tersebut adalah kejadian runtuhan tanah bukit yang mengakibatkan seramai 25 orang anak yatim dan petugas rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Felcra Semungkis Hulu Langat, Selangor tertimbus di dalam runtuhan tersebut. Akibat kejadian yang sama sekali tidak diduga itu, seramai 16 orang dari mangsa telah terkorban manakala 9 orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan. Ucapan takziah buat mangsa dan keluarga yang terbabit dengan tragedi tersebut dan juga ucapan terima kasih buat anggota penyelamat dan sukarelawan yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sebenarnya, dalam benak fikiran penulis sejak dari semalam ingin menulis berkenaan satu kejadian atau tragedi besar pada tahun 2004. Namun penulis tangguhkan dulu untuk mengikuti perkembangan tragedi yang menimpa anak-anak yatim Al-Taqwa. Tragedi besar yang penulis maksudkan adalah tragedi Tsunami yang turut melibatkan negara kita sendiri. Namun begitu, penulis akan membicarakan tentang Tsunami yang melanda wilayah Banda Acheh, Indonesia kerana penulis rasa ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan dan boleh dijadikan iktibar buat kita yang selalu lupa akan keEsaan Allah SWT. Dan apa yang penulis hendak kongsikan ini, tidak ada kaitan langsung dengan apa yang berlaku kepada penghuni rumah Anak Yatim At-Taqwa.

Tsunami yang melanda sehari selepas sambutan hari perayaan Krismas iaitu berlaku pada 26 Disember 2004 memang suatu yang tidak pernah dijangka akan berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan negara kita sendiri. Dilaporkan ombak Tsunami yang melanda Banda Acheh adalah setinggi 60 kaki (18 meter) dan kemusnahan yang terhasil dari bencana tersebut adalah sejauh lingkungan 5 batu (8 kilometer). Ekoran dari bencana tersebut dilaporkan bahawa lebih dari 226,000 orang penduduk Acheh telah terkorban. Dan kita dapat melihat sendiri kemusnahan yang berlaku akibat dari bencana tersebut apabila Banda Acheh seolah-olah menjadi padang jarak padang terkukur selepas bencana tersebut.

Namun begitu apa yang menariknya dan penulis kira, kita perlu mengambil iktibar adalah dalam kejadian yang memusnahkan semua rumah kediaman, harta benda serta haiwan ternakan, hanya sebuah sahaja binaan yang tidak musnah. Binaan tersebut adalah Masjid Baiturrahman yang hanya mengalami sedikit kerosakan kecil sahaja. Jika dilihat dari kemusnahan yang dialami akibat dari bencana Tsunami tersebut, adalah suatu yang menghairankan apabila masjid tersebut tidak musnah kerana semua rumah dan binaan di sekeliling masjid tersebut musnah sama sekali. Namun bagi umat Islam yang meyakini akan keEsaan Allah SWT, semua itu adalah tidak mustahil baginya. Dan itulah tanda-tanda Maha Besarnya Allah SWT.

Dari cerita yang penulis dengar, sewaktu kejadian Tsunami melanda Banda Acheh, ada saksi yang melihat sewaktu ombak Tsunami yang begitu ganas membaham apa sahaja yang melintang dihadapannya tetapi apabila ombak tersebut tiba di Masjid Baiturrahman, ombak yang sedang mengganas tersebut, secara tiba-tiba seolah-olah tunduk sujud dan kembali menjadi ganas apabila melepasi masjid tersebut. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Apabila reda gelombang Tsunami tersebut, didapati mayat-mayat manusia bergelimpangan di merata-rata tempat. Kalau nak difikirkan akibat dari bencana tersebut, sudah tentu mayat-mayat mangsa akan berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan mengerikan. Namun begitu dari apa yang penulis dengar, tidak semua mayat berkeadaan tidak sempurna dan mengerikan. Ada mayat atau jenazah yang ditemui dalam keadaan yang masih elok dan sempurna dan dari apa yang dikhabarkan oleh penduduk yang terselamat, mayat atau jenazah yang masih elok dan sempurna dikenalpasti penduduk setempat sebagai orang yang beriman.

Ada orang berkata, sesuatu musibah yang berlaku mesti ada puncanya. Begitulah juga musibah yang menimpa Banda Acheh ini. Penulis dikhabarkan sehari sebelum kejadian iaitu pada hari sambutan hari Krismas pada 25 Disember 2004 ada sekumpulan penduduk setempat melakukan perbuatan maksiat. Penulis tidak pasti apakah perbuatan maksiat tersebut. Tetapi apa yang pastinya perlakuan kumpulan penduduk tersebut amat tidak disenangi oleh penduduk yang lain. Perbuatan maksiat yang dilakukan tersebut apabila ditegur oleh ulama setempat telah menjadi kemarahan pula oleh kumpulan penduduk yang melakukan maksiat tersebut dan akibatnya ulama yang memberikan teguran tersebut pula yang dihina dan dimaki hamun.

Dari apa yang penulis sampaikan diharapkan dapatlah dikongsikan sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua. Tidak mustahil, apa yang berlaku di Banda Acheh ini boleh berlaku juga kepada kita. Kalau tidak dalam bentuk yang sama, mungkin musibah dalam bentuk yang lain pula. Ingatlah semua, jika kita melakukan kebaikan dan amal ibadah, maka kita akan mendapat redha dari Allah SWT dan sekiranya kita melakukan kemaksiatan dan penghinaan dan penderhakaan terhadap Allah SWT, maka nantikanlah sahaja balasan azab seksa dari Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...