Powered By Blogger

Wednesday, May 25, 2011

Berhati-Hati Buat Kenyataan


HARIAN Metro Rabu, 25 Mei 2011 melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengakui tidak melakukan pemantauan di lokasi kejadian tanah runtuh yang telah mengorbankan 16 nyawa di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Sabtu lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu memberikan alasan, kawasan tersebut adalah di luar bidang kawalan dan operasi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebaliknya terletak di kawasan luar bandar sekaligus berada di bawah tanggungjawab Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah (KLBW). Selain itu beliau turut mendakwa rumah anak yatim itu juga dibina tanpa membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sehingga berlakunya perlanggaran syarat-syarat pembinaan di kawasan cerun yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.


Sepatutnya Ronnie Liu tidak membuat kenyataan tersebut kerana pada pandangan penulis, alasan yang diberikan oleh Ronnie adalah amat janggal bunyinya. Beliau mengatakan kawasan tersebut bukan terletak di bawah kawalan MPKj. Kalau bukan terletak di bawah MPKj, untuk apa pula perlunya buat permohonan pembinaan kepada PBT berkenaan. Sekiranya alasan Ronnie Liu diterima pakai maka seharusnya permohonan dibuat kepada KLBW.

Pada pandangan penulis, sepatutnya Ronnie Liu tidak mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak yang terlibat dengan bencana alam tersebut. Seharusnya jika benar kesalahan atau kesilapan berlaku di pihak rumah anak yatim, dalam keadaan sekarang, beliau perlu memberi teguran secara tertutup bukannya melalui media. Tindakan beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut melalui media adalah suatu tindakan yang tidak manis memandangkan, pihak rumah anak yatim masih lagi berada di dalam keadaan terkejut dan bersedih dengan kejadian yang sama sekali tidak pernah mereka duga.

Sepatutnya dalam keadaan sekarang, pihak Ronnie Liu perlu memberikan kata-kata semangat buat mangsa yang terlibat bukannya menambahkan lagi kedukaan yang ditanggung oleh mangsa. Cukup-cukuplah Shahrizat Jalil dan Umno sahaja yang menyalahkan mangsa. Jangan pula ada individu di pihak Pakatan Rakyat pula yang sama naik dengan Umno. 

Penulis berpandangan, Ronnie Liu sepatutnya berhenti membuat kenyataan-kenyataan yang boleh memberikan mata percuma buat pihak Barisan Nasional kerana dari pemerhatian penulis, sudah banyak kali Ronnie Liu membuat kenyataan yang boleh merugikan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang memerintah Selangor.

Penulis berharap agar selepas ini, tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba untuk menyalahkan pihak yang sedang berhadapan dengan kedukaan. Sepatutnya dalam keadaan seperti sekarang ini, kita perlu sama-sama memberikan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa tidak kiralah Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...