"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"

Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio Datuk T, pada hari Jumaat 29 April 2011 telah melafazkan lafaz sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang mana dalam sumpah tersebut beliau menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang digambarkan dalam video seks dengan seorang wanita warganegara China.
Pada asalnya majlis tersebut dirancang akan diadakan selepas solat Jumaat hari tersebut, tetapi entah kenapa dan apa sebabnya, Shazryl Eskay Abdullah dan rakan-rakan beliau iaitu Rahim Tamby Chik dan Shuib Lazim gagal untuk hadir pada waktu tersebut. Mungkin ketiga-tiga mereka bersolat Jumaat di masjid lain. Wallahuaklam.
Walaupun perancangan asal untuk melakukan majlis sumpah laknat selepas solat Jumaat tidak terlaksana, namun masjid tersebut tetap dimeriahkan dengan tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang mendesak agar majlis sumpah laknat tersebut tidak dilaksanakan tetapi digantikan dengan melaksanakan Qazaf. Berlaku sedikit kekecohan di dalam dan di luar masjid tersebut bila kumpulan tersebut bertembung dengan kumpulan penyokong trio Datuk T yang mendapat sokongan dan perlindungan dari pihak berkuasa.

Pada pandangan saya, tidak ada apa yang hendak difikirkan dan dirunsingkan dengan sumpah laknat tersebut. Ini adalah kerana sumpah tersebut sesuatu yang tidak ada dalam syariat Islam dan ianya tidak pernah diajarkan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW. Apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW, apabila menuduh seseorang itu melakukan perbuatan zina, maka si penuduh perlu mengemukakan empat orang saksi yang sifatnya adil dan tidak fasiq. Hanya jika, seorang suami itu menuduh isterinya melakukan zina, barulah diperintahkan suami dan isteri itu melakukan sumpah tetapi bukannya dilakukan di dalam masjid dengan memegang al-Quran tetapi ianya hendaklah dilakukan di hadapan hakim ataupun qadhi. Dan perlu dingat bahawa sumpah tersebut bukannya untuk mencari kesalahan sesiapa, tetapi adalah untuk menjaga maruah sisuami dan siisteri itu.
Dalam hal Shazryl Eskay Abdullah ini yang melakukan sumpah laknat, kita biarkanlah sahaja beliau dengan sumpahnya itu kerana saya berpandangan sumpah beliau itu tetap tidak akan dapat membuktikan bahawa beliau dipihak yang benar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipihak yang salah. Dan beliau serta sesiapa sahaja tidak perlu untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama bersumpah laknat, kerana jika Datuk Seri Anwar bersumpah laknat sekalipun, ianya juga tidak mampu untuk membuktikan apa-apa.

Berkenaan tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang membuat bantahan selepas solat Jumaat tersebut, saya menyokong tindakan mereka itu. Cuma, saya rasa sepatutnya bantahan tersebut tidak dilakukan di dalam masjid. Tidak menjadi kesalahan dari segi syariat jika bantahan dilakukan di perkarangan masjid tetapi tidak manis dan tidak elok melakukan kekecohan di dalam masjid kerana masjid adalah rumah Allah. Kita sebagai umat Islam perlu untuk menjaga kesucian dan kemurnian rumah Allah.
Akhir sekali, saya ingin perkatakan adalah berkenaan tindakan beberapa NGO dari Terengganu yang membuat laporan polis terhadap kumpulan dari Pakatan Rakyat yang membuat bantahan pada hari tersebut kerana mendakwa kumpulan dari PR membawa masuk non muslim ke dalam masjid untuk melakukan bantahan. Pada pandangan saya, terpulanglah pada NGO terbabit untuk membuat laporan polis kerana itu adalah hak mereka, tetapi NGO-NGO terbabit juga sepatutnya membuat laporan polis terhadap penganjur majlis sumpah laknat tersebut kerana mereka turut membiarkan wartawan-wartawan dan jurugambar-jurugambar yang non muslim untuk masuk dan berada di dalam masjid tersebut. Tidak ada bezanya antara non muslim yang menyertai bantahan dengan wartawan dan jurugambar non muslim yang sama-sama berada di dalam masjid.
No comments:
Post a Comment