SEJAK kebelakangan ini, beberapa tindakan berbentuk provokasi dan penghinaan terhadap Negeri Kelantan, sultan, pemimpin dan rakyatnya dikesan semakin berleluasa. Beberapa laporan polis telah dibuat berkenaan tindakan-tindakan keji tersebut. Namun tiada tindakan dari pihak berkuasa dilaporkan.
Sebelum ini, rakyat Kelantan pernah dikejutkan dengan penghinaan terhadap Al-Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke V melalui facebook rasmi PERKASA. Laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak berhubung penghinaan tersebut yang dipercayai dilakukan oleh penyokong PERKASA yang juga turut mengaku sebagai orang yang mempunyai kedudukan di dalam pertubuhan PEKIDA.
Baru-baru ini pula, dikesan juga melalui facebook seorang individu telah bertindak menghina Al-Sultan Kelantan dipercayai mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak Liga Super antara pasukan Perak menentang pasukan Kelantan. Penghinaan yang turut mendapat bantahan keras dari rakyat Kelantan dan beberapa laporan polis juga telah dibuat ke atas individu berkenaan.
Terbaru, tindakan provokasi melampau yang dilakukan oleh penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan apabila penyokong pasukan berkenaan telah bertindak membakar bendera Negeri Kelantan selepas selesai perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. Laporan polis juga telah dibuat atas insiden tersebut.
Ketiga-tiga insiden yang dinyatakan adalah sebahagian dari insiden provokasi dan penghinaan terhadap negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan. Sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa banyak laporan polis telah dibuat namun, saya sebagai rakyat Kelantan yang amat menyayangi negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan merasa amat terkilan kerana semua laporan polis yang dibuat seolah-olah tiada tindakan susulan oleh pihak yang berwajib. Kenapa ini boleh berlaku? Apakah negeri kami, sultan kami, pemimpin kami dan kami sendiri tidak mempunyai harga dan maruah diri dalam negara Malaysia ini? Adakah semata-mata kerana negeri kami ini diperintah oleh sebuah parti yang bukan dari parti kerajaan pusat maka penghinaan ke atas kami perlu dibiarkan sahaja?
Kami sebagai rakyat Negeri Kelantan amat berharap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang cuba mengaibkan negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan. Jangan dibiarkan sahaja individu-individu yang melakukan kebiadapan tersebut terus bermaharajalela melakukan kebiadapan terhadap kami. Sebagai rakyat yang mempunyai maruah dan harga diri, kami menuntut agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang tegas ke atas pihak atau individu yang melakukan kebiadapan terhadap kami.
Kami juga amat berharap agar selepas ini, tiada lagi penghinaan yang terpaksa kami terima. Kami juga amat berharap agar semua laporan polis yang dibuat terhadap pihak yang melakukan provokasi melampau tidak dibakul sampahkan begitu saja. Wallahuaklam...
No comments:
Post a Comment