Ada gerakan pindah pengundi Melayu - Shahrizat
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima banyak laporan mengenai perkara itu yang melanda beberapa kawasan Parlimen termasuk di negeri ini.
Menurutnya, keadaan itu bertujuan mengurangkan dominasi atau majoriti pengundi Melayu di kawasan Parlimen oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Semakin banyak kita menerima maklumat seperti ini daripada Wanita Bahagian di beberapa Parlimen yang mengesan perkara ini ketika membuat pemeriksaan daftar pengundi dan mendapati pengundi sendiri tidak tahu tempat pengundian mereka diubah ke Parlimen lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka di sini hari ini.
Menurut Shahrizat, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengenal pasti punca berlakunya pemindahan daftar pengundi Melayu ke kawasan Parlimen lain tanpa pengetahuan pengundi.
Kata beliau, Wanita UMNO akan menyediakan laporan khas mengenai perkara itu selepas mendapat maklum balas daripada semua peringkat Bahagian sebelum mengemukakannya kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Wanita UMNO mahu kumpulan individu ini dikenal pasti dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya kerana ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengubah pengundi dari Parlimen ke satu Parlimen lain tanpa kebenaran pengundi," kata beliau.
Sementara itu, Shahrizat meminta setiap Wanita Bahagian menggerakkan program kerja menerusi Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang bagi mendapatkan sokongan rakyat bagi melengkapkan persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti.
"Saya minta Wanita keluar dari zon selesa di kawasan masing-masing dan mendampingi rakyat seperti pertubuhan bukan kerajaan, orang yang berpengaruh dan mereka yang memerlukan bantuan," katanya. Sumber:- Utusan Online http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm
Lawak jenaka apa yang dibuat oleh Shahrizat ni? Adakah Shahrizat nak katakan bahawa gerakan memindahkan pengundi dilakukan oleh Pakatan Rakyat? Penulis nak ingatkan bahawa hanya satu pihak sahaja yang boleh dan mampu untuk membuat pemindahan pengundi. Pihak tersebut bukannya Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya iaitu kerajaan pusat sahaja yang mampu. Kita nak ingatkan bahawa sebarang proses pemindahan hanya boleh dilakukan oleh SPR dan yang menguasai SPR adalah kerajaan pusat bukannya Pakatan Rakyat. Hanya SPR sahaja yang mempunyai akses ke atas data atau maklumat pengundi dan yang mempunyai kuasa dan menguasai SPR adalah kerajaan pusat.
Shahrizat tidak perlu untuk cuba memesongkan pemikiran rakyat dengan dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat cuba untuk melakukan pemindahan tanpa pengetahuan pengundi. Dan sekiranya dakwaan Shahrizat yang mengatakan ada gerakan tersebut, semestinya ia dilakukan oleh UMNO/BN sendiri yang menguasai kerajaan pusat. Dan kita juga nak ingatkan kepada Shahrizat, jangan cuba untuk memperbodoh-bodohkan rakyat kerana rakyat sekarang sudah bijak untuk menilai setiap apa yang dilakukan oleh UMNO/BN.
No comments:
Post a Comment