Powered By Blogger

Wednesday, March 21, 2012

Pajak Tanah : Mustapha Lupa Jenayah Kerajaan UMNO

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

1. SAYA membaca laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini 21 Mac 2012 yang menyiarkan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustpaha Mohamad berkenaan tanah rizab Melayu di Kelantan. Katanya, rakyat Kelantan teraniaya kononnya ekoran tindakan kerajaan negeri Kelantan memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputera.

2. Saya kira ini merupakan kali berikutnya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan data. Rakyat Kelantan masih ingat pada awal Februari lepas, individu inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa RM600 juta telah diberikan secara PERCUMA kepada kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah air. Hakikatnya, ia adalah pinjaman yang perlu dibayar.

3. Hari ini, tanpa data dan fakta, beliau sekali lagi menyerang kerajaan negeri Kelantan dalam isu pajakan tanah rizab Melayu. Barangkali beliau lupa bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasionallah yang telah meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan tanah rizab Melayu dipajak kepada bukan Melayu untuk dimajukan. Sedarkah Mustapha bahawa inilah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2004 setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-60? Kenyataan tersebut disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2004 di dalam bahagian Ekonomi. Saya boleh membantu Mustapha melayari kenyataan ini di pejabatnya dengan menyalin pautan berikut dan letakkannya di pelayar komputer Datuk Seri : Lihat sini.

4. Jika ingin membaca tindakan kerajaan UMNO yang lebih terkini, boleh dilihat kepada kenyataan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 15 Mac 2012 yang lalu yang menyatakan bahawa kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan. Ini boleh dibaca di pautan berikut : Lihat sini

5. Untuk pusingan ini, saya pohon Mustapha agar mendatangkan data dan fakta keluasan tanah Rizab Melayu di Kelantan yang dipajak kepada syarikat bukan bumiputera, janganlah hanya bercakap tanpa fakta sedangkan anda seorang Menteri!

6. Dalam masa yang sama, barangkali Mustapha lupa dengan tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini yang sedang berusaha memajak tanah Felda melalui penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia. Logiknya, apabila ia disenaraikan, ia bebas untuk dibeli oleh sesiapa sahaja dan yang dipertaruhkan ialah aset peneroka! Tidakkah ini yang sebenarnya mengancam kepentingan rakyat?

7. Bersedia menjadi seorang Menteri Besar Kelantan ialah bersedia untuk dilantik secara rasmi dan beribupejabat di Kota Darulnaim dan bukannya hanya sekdar bersedia untuk melayakkan diri ditabal di atas Gunung Reng, Jeli.

Salam hormat.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 21 Mac 2012




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...