MINDA PENULIS rasa lucu dengan laporan akhbar Berita Harian hari ini yang bertajuk 'PAS ikut kata DAP'. Mengikut laporan yang ditulis oleh wartawan bernama Azmi Md Deros dan Aizuddin Sapian tindakan Kerajaan PAS Kedah menarik balik keputusan untuk menguatkuasakan larangan terhadap 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadhan bulan depan, yang disifatkan sebagai satu bukti PAS tunduk kepada DAP.
Mungkin wartawan Berita Harian yang menulis laporan tersebut lupa atau buat-buat lupa dan sengaja untuk menghasut pemikiran rakyat supaya membenci Kerajaan Negeri Kedah. Harus difahami dan dinilai dengan fikiran yang terbuka bahawa penarikan balik keputusan tersebut yang sebenarnya dibuat oleh Kerajaan Kedah terdahulu semasa era pemerintahan BN tetapi tiada penguatkuasaan dijalankan adalah merupakan satu penarikan balik dengan bersyarat.
Kerajaan PAS Kedah menyatakan kesedian Kerajaan Negeri tersebut adalah dengan syarat pengusaha tidak membenarkan umat Islam memasuki premis mereka. Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak melarang orang bukan Islam dari terus berhibur sebagai menjaga hak-hak orang bukan Islam tetapi dalam masa yang sama, pengusaha-pengusaha terbabit juga perlu untuk menjaga hak-hak umat Islam.
Apa yang dapat Minda Penulis simpulkan di sini adalah laporan yang ditulis oleh kedua-dua wartawan tersebut hanyalah bersifat untuk menjatuhkan reputasi kerajaan yang mentadbir. Dan ini juga menunjukkkan bahawa laporan tersebut ditulis bukan dengan niat yang ikhlas untuk kebaikan tetapi ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya. Sekiranya wartawan-wartawan tersebut benar-benar ikhlas, kenapa tiada sebarang tekanan dilakukan ke atas kerajaan yang terdahulu supaya menguatkuasakan larangan yang telah mereka keluarkan?
Dalam kesibukan media-media pro Umno ini menyerang kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tanpa diduga, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam mesyuarat Exco BN telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.
Alasan yang diberi, tindakan itu seiring dengan kepesatan pembangunan sektor pelancongan Melaka di samping mendapat permintaan daripada pengusaha pusat hiburan terbabit. Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditanya berkata, lanjutan masa hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad.
Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis, pusat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.
Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.
Kenapa pula, media-media ini tidak menulis laporan yang mengkritik tindakan Kerajaan Negeri Melaka? Apakah keputusan Ketua Menteri Melaka ini tidak boleh disifatkan sebagai mengikut telunjuk MCA dan Gerakan? Jika wartawan-wartawan media pro Umno ini tidak menganggap keputusan Melaka ini sebagai mengikut telunjuk MCA/Gerakan tetapi sebaliknya keputusan Kedah pula ditafsirkan sebagai mengikut telunjuk DAP, maka Minda Penulis tegas mengatakan bahawa wartawan-wartawan media pro Umno ini sebagai cuba menghasut pemikiran rakyat dan membuat laporan hanya berdasarkan kepentingan politik Umno sahaja.
Dapat dilihat dari keputusan yang dibuat oleh dua negeri ini mempunyai perbezaan. Kedah beri kebenaran dengan syarat umat Islam dilarang masuk tetapi Melaka pula buat keputusan beri tambahan masa dan tidak pula melarang umat Islam dari memasuki premis maksiat tersebut.
No comments:
Post a Comment