Powered By Blogger

Thursday, July 14, 2011

Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (1922 - 2000)

ALLAHYARHAM Tuan Guru Haji Yusuf Bin Haji Abdullah Ar-Rawi atau dikenali sebagai Tuan Guru Haji Yusof Rawa (8 Mei 1922 - 28 April 2000), adalah seorang ahli perniagaan yang disegani. Beliau merupakan salah seorang pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut. Beliau juga adalah tokoh gerakan Islam dan bekas Yang Di-Pertua atau Presiden PAS. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang memegang kedua-dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Presiden dan juga Mursyidul Am. Beliau juga adalah anak Pulau Pinang yang pertama menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Malaysia.

Beliau dikagumi kerana mindanya yang tajam boleh mengupas segala persoalan walau pun ia rumit bagi sesetengah pihak. Beliau dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang. Beliau pada mulanya belajar di Sekolah Melayu di Jalan Carnavon kemudian berpindah ke Sekolah Chowrasta. Di peringkat menengah pula beliau memasuki sekolah Inggeris iaitu Government English School kemudian sambung ke Penang Free School sehingga memperolehi Junior Cambridge.

Melihat kecerdikannya dalam bahasa Inggeris, lantas membuatkan ayahnya mengambil keputusan untuk menghantar beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah. Di sana, ternyata beliau tidak menghampakan impian keluarganya apabila cemerlang memperolehi Diploma Thaqasur Al-Deeni dari Maadul Falah. Selepas memperolehi semua impian tersebut beliau kembali ke tanah air membantu meningkatkan perniagaan ayahnya sebelum melibatkan secara langsung dalam politik.

Penglibatan beliau dalam politik bermula selepas menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang menggantikan Ustaz Ahmad Azzam yang berpindah tempat.

Semenjak memegang amanah itu Allahyarham diberi kepercayaan menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat walaupun setelah melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri. Kepimpinan PAS di bawah Dato' Asri Muda, beliau sekali lagi diberi mandat sebagai Timbalan Yang DiPertua.

Kerjaya politik beliau mulai bersinar apabila menewaskan Dr. Mahathir Mohamed pada pilihan raya umum 1969. Beliau menang dengan kelebihan 989 undi. Pada era PAS bersama BN, beliau adalah salah seorang ahli parlimen PAS yang dilantik menjadi menteri.

Semasa pemilihan jawatankuasa baru PAS pada 1982, beliau sebulat suara telah diamanahkan sebagai Yang Dipertua PAS bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Mohd Asri bin Haji Muda semasa muktamar pada 23 Oktober 1982 yang mendesak perubahan dalaman. Ketika memegang peranan besar itu selama beberapa tahun pada penghujung 1980-an beliau menyerahkan tugasan besar kepada timbalannya, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

Semenjak itu, kesihatan beliau kurang memuaskan sehinggalah beliau beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital sehingga menghembuskan nafasnya terakhir pada 28 April 2000 kira-kira jam 7.15 pagi. Allahyarham meninggalkan 11 orang anak, enam perempuan dan lima lelaki serta 30 cucu hasil perkongsian hidup bersama Hajah Kalsom Ali yang meninggal dunia enam tahun terdahulu. 

Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama didalam kabinet gabungan PAS dengan Barisan Nasional serta pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki pada pertengahan tahun 1970-an.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...