KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno semalam meminta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tampil untuk menafikan pendedahan video oleh polis berhubung kemalangan yang dialaminya pada 9 Julai lalu.
Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan Mohamad Sabu yang mendakwa beliau dirempuh polis ketika berlangsung perhimpunan haram di ibu kota itu perlu diberi penjelasan yang sebenar.
"Adalah penting untuk beliau (Mohamad Sabu) membuat kenyataan sama ada beliau tetap dengan dakwaannya sebelum ini atau menafikan pendedahan video itu atau mengiyakan apa yang didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
"Puteri Umno yakin bahawa tayangan itu adalah sahih, dan Mohamad Sabu mesti meminta maaf kepada PDRM dan rakyat Malaysia jika apa yang didedahkan oleh PDRM menerusi tayangan video itu adalah benar," katanya.
Sumber: Berita Minggu Ahad 24 Julai 2011 ruangan Nasional m/s 3
Minda Penulis berpandangan, tuntutan Puteri Umno supaya Timbalan Presiden PAS tampil menafikan pendedahan video polis adalah merupakan satu tuntutan yang ketinggalan zaman. Ini adalah kerana Saudara Mohamad Sabu telahpun membuat penafian tentang apa yang didedahkan oleh polis itu.
Saudara Mohamad Sabu sebenarnya telahpun membuat kenyataan bahawa beliau memang dilanggar oleh kenderaan polis iaitu sebuah kereta waja dan bukannya Pajero. Saudara Mohamad Sabu juga telah menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyatakan bahawa beliau dilanggar oleh Pajero polis seperti yang dituduh oleh pihak polis.
Minda Penulis juga meragui akan kesahihan video yang dikeluarkan oleh polis kerana dari apa yang diperhatikan oleh Minda Penulis dari rakaman video yang didedahkan oleh polis dan telah disebarkan melalui youtube bahawa rakaman tersebut tidak jelas dan kabur. Dakwaan polis bahawa Saudara Mohamad Sabu melanggar pembahagi jalan juga adalah tidak jelas kelihatan dalam video tersebut.
Apa yang dapat Minda Penulis lihat dari rakaman tersebut, motosikal yang dibonceng oleh Saudara Mohamad Sabu memang diapit oleh sebuah Pajero polis dihadapan dan sebuah kereta Proton Waja milik polis. Di situ menunjukkan bahawa dakwaan Saudara Mohamad Sabu sebenarnya ada lojiknya jika dibandingkan dengan dakwaan oleh pihak polis.
Desakan Puteri Umno agar Mohamad Sabu meminta maaf kepada PDRM dan rakyat adalah sesuatu yang tidak perlu kerana perkara ini akan dibawa ke Mahkamah. Timbalan Presiden PAS tersebut telahpun mengarahkan peguam untuk memfailkan saman terhadap PDRM di mahkamah dan PDRM juga boleh mendakwa Mohamad Sabu di mahkamah sekiranya PDRM menuduh Mohamad Sabu berbohong. Jadi perkara ini perlu diselesaikan di mahkamah.
No comments:
Post a Comment