Powered By Blogger

Tuesday, June 28, 2011

PM Dan TPM Belanjakan Hampir RM49 Juta Setahun Untuk Kediaman Rasmi

DALAM masa rakyat Malaysia semakin ditekan dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat tinggi hari ini, Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya pula dilaporkan membelanjakan lebih dari RM18,000 sehari untuk kos sewa kediaman rasmi. Ini bermakna jika dikalikan dengan 30 hari maka jumlah sebulan untuk kos sewa kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mencecah RM540,000 sebulan. Satu kos yang teramat tinggi dan tidak munasabah dan yang pastinya wang tersebut adalah merupakan wang rakyat jelata.

Bagi kos pembayaran bil elektrik pula kos yang digunakan untuk kediaman rasmi kedua-dua pembesar negara tersebut adalah sebanyak RM5,704 sehari (RM171,120 sebulan) dan kos bil air pula adalah sebanyak RM1,092 sehari (RM32,760 sebulan). Manakala kos baik pulih kedua-dua kediaman rasmi tersebut pula dilaporkan berjumlah RM60,000 sebulan.

Perkara tersebut telah didedahkan di dalam sidang Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Bin Aziz sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berhubung jumlah pembiayaan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri setiap tahun bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam jawapan bertulis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kerajaan membelanjakan RM48,789,115.03 setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi kedua-dua pemimpin negara itu.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun. Untuk rekod, kedua-dua rumah kediaman rasmi itu adalah disewa kerajaan daripada Perbadanan Putrajaya.

Mengulas berkenaan isu tersebut, Siti Zailah dalam satu sidang media di Parlimen berkata "Dari satu sudut, rakyat disuruh berjimat, agensi kerajaan disuruh berjimat, tiba-tiba untuk dua pemimpin negara ini, wang rakyat diguna sebanyak itu". 

Sambil mengatakan ianya merupakan satu pemborosan yang melampau, Siti Zailah turut berkata, "Rumah bernilai berjuta-juta, kita tak tahu apa yang dibaik pulih setiap bulan,"

Turut serta pada sidang media itu, Dr Siti Mariah Mahmood (PAS-Kota Raja) dan Anthony Loke (DAP-Rasah).

Mengulas perkara yang sama, Anthony Loke dalam pada itu berkata, tidak hairanlah jika pemimpin negara ini memotong subsidi rakyat dengan menaikkan harga barangan seperti gula dan petrol. Ia kerana, pemimpin negara tidak pernah merasai kesusahan rakyat kerana tenggelam dalam kehidupan mewah dan boros mereka.

"Saya tinggal dengan ibu bapa saya di rumah, maksimum bil elektrik saya RM150 sebulan. Bil setahun elektrik rumah rasmi PM dan TPM boleh bayar boleh bayar untuk 100 tahun bil elektrik saya".

"Kalau bil air, di Selangor subsidi 20 meter padu iaitu RM11, cukup untuk dua orang guna satu bulan.
"Kalau RM32,789 sebulan di kediaman rasmi PM dan TPM, bermakna ia diguna lebih kurang 5961 orang.
"Ini satu angka yang memeranjatkan," katanya.

Minda Penulis berasa terkejut dengan pendedahan tersebut, kerana pada pandangan Minda Penulis, jumlah tersebut adalah  merupakan satu jumlah penggunaan wang rakyat yang terlalu besar digunakan oleh pemimpin negara untuk kediaman rasmi. Ianya adalah suatu yang mengejutkan dan tidak wajar berlaku kerana rakyat sekarang semakin tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan dan juga harga petroleum. 

Jumlah yang didedahkan tersebut adalah jumlah untuk hanya penyelenggaraan kediaman rasmi belum lagi kos lain yang digunakan dan dibazirkan oleh pemimpin-pemimpin negara. 

Minda Penulis merasa amat kecewa dan kesal kerana pemimpin-pemimpin negara sering menggesa dan menasihatkan rakyat agar berjimat cermat dan mengamalkan perbelanjaan yang berhemah tetapi dalam pada masa yang sama mereka pula tidak melaksanakan sendiri apa yang mereka gesakan kepada rakyat dengan melakukan pembaziran melampau wang rakyat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...