Powered By Blogger

Monday, June 27, 2011

50 Ahli PAS Masuk Umno??..

AKHBAR Sinar Harian Ahad 26 Jun 2011 melaporkan seramai 50 ahli PAS dari Kawasan Kubang Telaga, Bachok, Kelantan menyerahkan borang keahlian Umno secara rasmi kepada Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Salah seorang daripada 50 orang yang dilaporkan menyerahkan borang tersebut adalah Wan Azman Wan Mamat, 31 mendakwa diri sebagai Bekas Ketua Pemuda PAS cawangan Kubang Telaga. Menurut Wan Azman, beliau menyertai Umno setelah merasakan dirinya dipergunakan untuk jentera parti selama lima tahun dan kini merasakan jasanya disia-siakan.

Manakala seorang lagi yang mendakwa sebagai ahli PAS, Jusuh Hamat atau dikenali sebagai Pak Him, 63 pula mendakwa beliau menyertai Umno apabila merasa mual dengan dasar perjuangan PAS yang tidak tetap dan tidak mengotakan janji. Beliau turut mendakwa sudah penat mengikuti perjuangan PAS selama 40 tahun ini tetapi semuanya 'cakap tak serupa bikin,' katanya.

Minda Penulis selalu sangat mendengar orang yang menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Umno ini mengaku sebagai seorang yang mempunyai jawatan dalam PAS. Ada yang mengaku Ketua Pemuda cawangan, ada yang mengaku Ketua Muslimat cawangan dan ada juga yang mengaku sebagai Ketua Bahagian. Namun apabila disemak, nama mereka yang mendakwa berjawatan dalam parti tersebut tidak terdapat dalam senarai ahli parti atau dengan kata lain bukan ahli parti PAS.  Dan kadangkala lebih melucukan apabila cawangan yang dikatakan diwakili oleh mereka yang masuk Umno itu sebenarnya tidak pernah wujud dalam PAS.

Wan Azman mungkin lupa atau tidak tahu bahawa semua ahli PAS sebenarnya secara rela dan ikhlas berjuang di dalam parti tanpa mengharapkan sebarang imbuhan dari PAS dan ini berbeza dengan perjuangan di dalam Umno apabila kebanyakan mereka yang berjuang di dalam Umno sebenarnya tidak ada keikhlasan tetapi sebaliknya mengejar imbuhan atau kemewahan. Jadi dalam soal ini sebenarnya tidak timbul soal diri dipergunakan untuk jentera parti kerana setiap ahli PAS perlu bersedia dengan ikhlas untuk bekerja menggerakkan jentera parti.

Persoalan dasar perjuangan PAS yang tidak tetap dan tidak mengotakan janji sebagaimana yang didakwa oleh Pak Him pula sebenarnya tidak timbul sama sekali. Ini adalah kerana dasar PAS sebenarnya tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi. Sejak dahulu sehingga sekarang dasar PAS masih lagi kekal dengan perjuangan untuk mengangkat martabat umat Islam. Pak Him atau siapa sahaja tidak perlu mempertikaikan dasar kebajikan kerana jika difahami sebenar-benarnya, Islam amat menitik beratkan soal kebajikan terutama kepada masyarakat. Rasulullah saw sendiri amat menjaga kebajikan masyarakat sehinggakan Baginda sendiri sanggup menyuapkan makanan ke mulut seorang Yahudi yang buta walaupun Baginda sedar setiap hari Yahudi tua dan buta tersebut memaki hamun dan memusuhi Baginda.

Namun begitu, Minda Penulis merasa curiga dengan dakwaan yang mengatakan kesemua 50 orang ini adalah bekas ahli PAS, kerana sudah terlalu kerap sangat dilaporkan dalam media-media bahawa ahli PAS beralih sokongan kepada Umno tetapi apabila disemak, dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas kerana nama mereka tidak pernah wujud dalam rekod keahlian PAS.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...