Powered By Blogger

Friday, June 17, 2011

Penggantungan Tugas Bukan Satu Penyelesaian Terbaik

MINDA Penulis hari ini mendapat perkhabaran bahawa dua orang pegawai wanita Jabatan Imigresen Malaysia di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor telah dikenakan tindakan penggantungan tugas ekoran dari kes dua tahanan perempuan warga Singapura yang diarahkan berbogel dan ketuk ketampi sebanyak sepuluh kali semasa pemeriksaan badan secara menyeluruh dibuat.

Minda Penulis merasa agak kesal, terkilan dan tidak bersetuju atas tindakan yang dikenakan terhadap dua pegawai wanita tersebut. Ini adalah kerana Minda Penulis berpandangan bahawa kedua-dua pegawai tersebut tidak sewajarnya dipersalahkan atas perkara tersebut.

Ini adalah kerana, tindakan kedua-dua pegawai tersebut walaupun dilihat agak tidak bersesuaian mengikut hak asasi manusia tetapi kedua-dua pegawai tersebut terpaksa melakukannya kerana ianya adalah merupakan satu amalan yang diamalkan oleh mana-mana pusat tahanan sejak sekian lama. Amalan tersebut terpaksa dilakukan kerana tiada alternatif lain boleh dilakukan bagi tujuan memastikan tiada barangan larangan disembunyikan dan dibawa masuk oleh tahanan ke dalam blok-blok tahanan. Apa yang Minda Penulis maklum, bahawa amalan tersebut diamalkan sejak sekian lama sebelum Depot Tahanan Imigresen diambil alih oleh Jabatan Imigresen Malaysia lagi dan kaedah tersebut tidak memerlukan tambahan kos kewangan.

Apa yang Minda Penulis maklum, amalan atau kaedah yang digunapakai oleh Depot Tahanan Imigresen ini walaupun agak ketinggalan zaman, tetapi setakat ini ianya dilihat berkesan untuk mengesan sebarang artikel larangan contohnya dadah, tembakau, senjata kecil, wang tunai dan lain-lain lagi. Dan kaedah yang digunapakai itu sebenarnya bukannya bertujuan untuk memalukan, mengaibkan dan mendera mental tahanan tetapi lebih kepada kaedah untuk tujuan pencegahan awal dan setakat ini ianya berkesan berikutan beberapa penemuan barang-barang larangan yang cuba diseludup masuk oleh tahanan. Dan kaedah tersebut hanya digunakan sekali sahaja sepanjang tahanan ditahan di Depot Tahanan Imigresen.

Minda Penulis berpendapat, tindakan penggantungan tugas yang dikenakan ke atas kedua-dua pegawai Imigresen terbabit bukanlah satu penyelesaian terbaik dan ianya tidak akan menjadikan keadaan menjadi bertambah baik. Tindakan terburu-buru tersebut hanya akan menjadi satu bebanan dan tekanan kepada kedua-dua pegawai yang dikenakan tindakan tersebut dan juga secara tidak langsung akan menjadi satu tekanan kepada pegawai-pegawai lain untuk menjalankan tugas. Keadaan ini akan memungkinkan, pemeriksaan menyeluruh ke atas tahanan gagal dilaksanakan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen dan tidak mustahil selepas ini, langkah-langkah pencegahan awal tidak dapat dilaksanakan dan tahanan-tahanan akan berjaya menyeludup masuk barang-barang larangan ke dalam blok-blok tahanan dan lebih memburukkan keadaan situasi ini akan lebih memudahkan tahanan untuk melakukan rusuhan dan kejadian kelarian.

Minda Penulis berpandangan, sepatutnya pihak Jabatan Imigresen dan Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mencari satu kaedah atau mekanisma baru yang terbaik untuk membolehkan pegawai-pegawai Imigresen yang bertugas menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas tahanan yang baru di bawa masuk. Sebagai contohnya membekalkan dengan mencukupi peralatan canggih yang boleh digunakan untuk mengimbas (X-Ray) tubuh badan tahanan bagi mengesan barang larangan tanpa perlu tahanan dibogelkan dan diarahkan melakukan ketuk ketampi.

Selain dari itu Minda Penulis berpandangan, pihak Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri perlu menyediakan satu latihan khas kepada semua pegawai Imigresen yang membolehkan semua pegawai Imigresen mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengenalpasti individu-individu yang cuba membawa masuk artikel larangan dengan hanya mengenal gerak badan individu terbabit.

Sebagai tambahan, Minda Penulis mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan membina dari sesiapa sahaja termasuklah dari parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dan harus diingat, cadangan-cadangan tersebut perlu dibuat untuk penambahbaikan sistem keselamatan negara terutamanya yang melibatkan Jabatan Imigresen. Minda Penulis juga menggesa Kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia agar tidak terlalu cepat melatah dengan hanya mendengar komplen dari pihak asing yang sentiasa cemburu dan berniat tidak baik terhadap negara kita. Sekiranya ada pandangan yang baik dari mana-mana parti politik atau NGO, Minda Penulis berharap agar dapat diberikan pertimbangan oleh kerajaan walaupun ia datang dari pihak yang tidak sama pegangan politik. Lupakan seketika soal perbezaan politik demi untuk keselamatan negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...