Powered By Blogger

Tuesday, June 14, 2011

Bukti PAS Menjaga Kebajikan Rakyat

PERTANDINGAN akhir Piala FA 2011 telahpun berakhir. Dalam pertandingan akhir diantara pasukan bolasepak Kelantan menentang Terengganu menyaksikan pasukan Terengganu menjadi juara dan Kelantan tewas dengan jaringan 2 - 1. Perlawanan tersebut yang menyaksikan bukan sedikit penyokong kedua-dua pasukan hadir ke Stadium Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing. Dan kita amat berbangga dan berbesar hati apabila kedua-dua Menteri Besar dan Sultan Terengganu (YDP Agong) dan Sultan Kelantan turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Tahniah buat pasukan Terengganu yang berjaya menjuarai Piala FA buat kali ke 2
Namun apapun, yang menang tetap menang dan yang tewas bukan bererti tewas buat selama-lamanya. Apa yang minda penulis ingin perkatakan adalah berhubung keputusan Kerajaan Negeri Kelantan memberikan satu hari cuti kepada rakyat Kelantan sebagai menghargai sokongan rakyat kepada pasukan Kelantan pada perlawanan tersebut. Cuti tersebut telah diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan petang hari perlawanan sebelum dimulakan.

Tujuan utama cuti tersebut diberikan oleh Kerajaan Kelantan walaupun belum diketahui siapa pemenangnya adalah supaya penyokong pasukan Kelantan dapat memberikan sokongan kepada pasukan tanpa perlu memikirkan untuk bergegas pulang ke Kelantan untuk meneruskan kerja masing-masing pada keesokan harinya. Kerajaan Kelantan amat menitik beratkan aspek keselamatan rakyat Kelantan termasuklah penyokong pasukan The Red Warriors. Apa yang Kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mahu terjadi adalah penyokong tergesa-gesa pulang ke Kelantan untuk bekerja keesokan harinya sehingga mengabaikan aspek keselamatan semasa perjalanan. 

Kerajaan Kelantan sedar bahawa perlawanan tersebut sudah pastinya akan berakhir seawal-awalnya jam 11 malam dan ini pastinya menyebabkan penyokong kepenatan dan mengantuk. Keadaan tersebut boleh menyebabkan sesiapa yang memandu kenderaan akan hilang fokus terhadap pemanduan dan ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini sehingga boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah. Dan keadaan itulah sebenarnya yang tidak ingin dilihat oleh kepimpinan Kerajaan Kelantan.

Bagi Kerajaan Kelantan, cuti bukanlah sekadar untuk meraikan kemenangan tetapi sebaliknya adalah untuk kerehatan tubuh badan dan fikiran. Dan itu adalah sebagai salah satu yang membuktikan bahawa Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan PAS menitikberatkan soal kebajikan.

Sebaliknya pula berlaku pada penyokong pasukan Terengganu. Kerajaan Negeri tersebut yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said (Barisan Nasional) dilihat tidak bersikap sepertimana pimpinan PAS Kelantan. Faktor-faktor yang menjadi perkiraan Kerajaan Kelantan gagal di turuti dan diambil kira oleh Kerajaan Terengganu. Penyokong-penyokong pasukan Terengganu yang tidak memohon untuk bercuti ataupun yang tidak mendapat kelulusan cuti terpaksa bergegas pulang ke Terengganu untuk memastikan mereka dapat meneruskan tugas masing-masing pada keesokan harinya. 

Ini menjadikan, keselamatan diri penyokong-penyokong Terengganu semasa perjalanan pulang terabai kerana sudah pastinya mereka kepenatan dan mengantuk. Satu keadaan yang boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya. Dan sekiranya mereka selamat sekalipun, sudah pasti mereka akan bekerja keesokan harinya dalam keadaan penat dan mengantuk. Dan ini sudah pastinya akan mengurangkan produktiviti kerja mereka.

Memang benar, Kerajaan Terengganu tetap memberikan cuti kepada rakyat Terengganu pada 19 Jun 2011. Tapi pada pandangan minda penulis, cuti tersebut bukanlah untuk kebajikan tetapi lebih kepada cuti keraian atau dalam bahasa kasar Terengganu adalah cuti 'begalok'. Namun demikian, penulis tetap ucapkan selamat bercuti kepada semua warga Terengganu pada 19 Jun nanti dan kepada yang masih terpaksa bekerja pada hari tersebut, teruskan kerja anda seperti biasa kerana sudah pastinya kerja anda tetap ada imbuhannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...