Powered By Blogger

Thursday, June 16, 2011

Masih Ada Ruang Untuk Penambahbaikan

BERIKUT adalah kenyataan rasmi dari Pemuda PAS Negeri Johor berhubung isu warga Singapura dibogel dan ketuk ketampi semasa dalam tahanan pihak Imigresen.

Pemuda PAS Negeri Johor telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah Jabatan Imigresin Negeri Johor En. Amran Bin Ahmad pada hari semalam Selasa 15hb Jun 2011 di Pejabat Jabatan Imigresin Negeri Johor, Taman Setia Tropika, Kempas, Johor berhubung isu 2 orang warga Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan berbogel dan ketuk ketampi. En Amran Bin Ahmad tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut kerana beliau tidak diberi mandat oleh pihak atasan untuk membuat sebarang kenyataan kepada Pemuda PAS Negeri Johor.

Bagi menjaga nama baik agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresin Malaysia, Pemuda PAS Negeri Johor lebih memberi fokus terhadap ruang kesilapan manusia yang terdapat proses masuk ke negara kita. Dua orang warga Singapura ini menyatakan bahawa mereka telah melalui kaunter Jabatan Imigresin tetapi tiada pegawai dikaunter tersebut. Kemudian mereka meneruskan ke kaunter tol. Mereka membuat bayaran tol dan penghadang pun dibuka. Seterusnya mereka masuk ke negara kita dengan anggapan bahawa negara kita mungkin telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk.

Dewan Pemuda PAS Johor berpendapat terdapat ruang yang membolehkan manusia membuat kesilapan semasa proses masuk ke negara kita. Penghadang di kaunter tol sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresin bukannya berada di kaunter tol. Kebenaran masuk perlu dibuat oleh pegawai. Setelah mendapat kebenaran maka penghadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara kita.  Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol di satukan seperti proses masuk ke Singapura. Ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara kita.

Sistem biometrik yang telah diperkenalkan oleh pihak Jabatan imigresin telah menyebabkan kesesakan yang teruk di sempadan negara. Ini berpunca daripada proses kemasukkan data cap jari untuk setiap pelancong yang datang. Proses ini telah menggunakan masa yang panjang. Pada waktu ini kesesakan sudah semakin pulih. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpandangan Jabatan Imigresin boleh membuat fasa-fasa yang munasabah bagai memasukkan data cap jari pelancong yang masuk. Contohnya satu bulan. Keadah berfasa ini dapat mengelakkan kesesakan di sempadan negara kita. Cadangan ini boleh dijadikan panduan untuk tindakan pada masa yang akan datang.



Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
16 JUN 2011



Minda Penulis mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kenyataan dari Ketua Pemuda PAS Negeri Johor tersebut yang pada pandangan Minda Penulis adalah merupakan satu kenyataan yang bertapis dan tidak cuba untuk menyalahkan pihak Jabatan Imigresen Malaysia. 

Pada pandangan Minda Penulis, kenyataan dari Pemuda PAS tersebut amatlah dialu-alukan. Minda Penulis juga melihat dalam soal ini, pihak Jabatan Imigresen Malaysia tidak seharusnya dipersalahkan seratus peratus kerana dakwaan yang dibuat oleh warga Singapura itu adalah satu kenyataan yang belum dapat dipastikan kesahihannya lagi. Ini adalah kerana Minda Penulis sendiri mempunyai pengalaman dalam berurusan dengan warga Singapura ini yang mana pada pandangan Minda Penulis, majoriti warga Singapura tidak boleh dipercayai. Berdasarkan pengalaman peribadi Minda Penulis, warga Singapura sering melakukan kesalahan di Malaysia terutamanya kesalahan berkaitan dengan undang-undang Imigresen yang mana kebanyakan kesalahan tersebut adalah dilakukan secara sengaja bagi tujuan mencabar kewibawaan pihak Jabatan imigresen Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Minda Penulis juga, warga Singapura ini sering sengaja melakukan kesalahan di Malaysia adalah kerana mereka tidak mempunyai kesempatan untuk melakukan kesalahan di negara mereka sendiri. Berbeza dengan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia, penguatkuasaan di negara republik Singa tersebut adalah amat ketat dan warga Singapura terpaksa mematuhinya bagi mengelakkan dari tindakan tegas oleh pihak berkuasa republik tersebut. Oleh yang demikian, apabila memasuki sahaja negara ini, rakyat negara republik tersebut berasakan sudah terbebas dari kekangan undang-undang di negara sendiri. Justeru itu mereka seolah-olah 'melepas geram' di negara kita memandangkan penguatkuasaan undang-undang di negara kita tidak seketat negara mereka sendiri. 

Selain dari itu juga, Minda Penulis sering melihat bahawa rakyat negara republik itu tidak mempunyai sikap hormat pada rakyat Malaysia dan selalu sahaja bersikap biadab bila berurusan dengan penjawat awam di Malaysia terutamanya kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam soal ini, Minda Penulis berpandangan majoriti warga Singapura tanpa mengira bangsa mempunyai sifat biadab dan angkuh. Kebanyakan mereka ini mungkin berasa mereka ini lebih maju dan bertamadun jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia. Justeru itulah mereka seringkali bersikap biadab, kurang sopan dan enggan mematuhi peraturan-peraturan negara kita.

Minda Penulis menyanjung tinggi, menghargai dan mengalu-alukan sebarang cadangan dari mana-mana pihak tidak terkecuali dari mana-mana parti politik untuk penambahbaikan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia. Namun begitu, Minda Penulis amat berharap supaya cadangan-cadangan yang diberi tersebut tidak mengabaikan aspek-aspek keselamatan negara. Minda Penulis tidak mahu jika cadangan-cadangan yang diberikan hanya tertumpu untuk kepentingan pelancongan sahaja sehingga mengabaikan aspek-aspek keselamatan negara. Ini adalah kerana, apa yang Minda Penulis lihat berlaku sekarang ini, kerajaan yang ada sekarang hanya lebih menumpukan untuk menambahkan jumlah kemasukan pelancong asing sahaja tetapi dalam masa yang sama, aspek-aspek keselamatan negara diabaikan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...