Powered By Blogger

Tuesday, June 21, 2011

Laporan Utusan Malaysia Boleh Mengancam Keselamatan Negara


AKHBAR Utusan Malaysia dilihat telah banyak kali membuat penulisan, artikel serta lukisan yang tidak benar, berbau hasutan, penghinaan dan boleh mencetuskan ketakutan kepada masyarakat. Contohnya, penulisan, artikel serta lukisan yang berbentuk penghinaan terhadap agama Islam.

Sebelum ini akhbar tersebut telah mendapat bantahan keras dari masyarakat beragama Islam ekoran dari penyiaran sebuah lukisan kartun yang dilihat seperti satu penghinaan terhadap perundangan Islam berkaitan isu rogol bilamana lukisan kartun tersebut dilihat seolah-olah mempertikaikan kaedah penyelesaian kes rogol mengikut hukum syariat Islam. Dan kes terbaru, akhbar tersebut telah melaporkan bahawa sebuah maahad tahfiz di Kuala Pilah merekrut pelajar dengan ideologi Jemaah Islamiah (JI) untuk melakukan penentangan terhadap kerajaan.

Dalam hal ini Minda Penulis berpandangan, tindakan akhbar tersebut adalah satu tindakan yang boleh mencetuskan satu kebimbangan terhadap keselamatan negara. Di samping itu juga, apa yang dilaporkan oleh akhbar tersebut dilihat seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang benar-benar menghayati ajaran Islam sebagai golongan ekstrimis dan pengganas. Tindakan tidak bertanggungjawab akhbar tersebut seolah-olah menyampaikan kepada masyarakat bahawa akhbar tersebut mempunyai pemikiran dan persepsi yang sama dengan pemikiran dan persepsi negara barat yang memusuhi agama Islam. 

Minda Penulis juga berpandangan bahawa apa yang ditulis dan cuba disampaikan oleh pihak akhbar harian tersebut boleh mencetuskan kebimbangan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Dan ini adalah merupakan sesuatu yang merbahaya dan boleh mencetuskan kekacauan di negara kita. Mungkin, pihak akhbar harian tersebut cuba untuk menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia terhadap tahap keselamatan mereka.

Dalam isu yang ditimbulkan oleh akhbar tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menafikan bahawa wujud maahad tahfiz yang merekrut pelajar dengan ideologi JI. Dan sebuah akhbar harian berbahasa melayu (bukan Utusan Malaysia) telah melaporkan bahawa Ahli Jawatankuasa Madrasah Ittiba Us Sunnah di Kampung Parit, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dikaitkan oleh Utusan Malaysia turut menafikan tuduhan tersebut.

Menurut Setiausaha Madrasah tersebut, Hazman Hashim laporan Utusan Malaysia tersebut adalah merupakan satu fitnah dan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar. Beliau turut menegaskan bahawa madrasah tersebut hanya memberi kelas bimbingan terjemahan Al-Qur'an kepada warga tua manakala tuduhan Utusan Malaysia bahawa terdapat pelajar lelaki berusia 18 tahun menyertai latihan adeologi JI adalah tidak benar kerana tidak ada pelajar maahad tersebut yang berusia 18 tahun.

Hazman juga turut berkata, maahad tersebut tidak pernah menghasut memusuhi kerajaan tetapi sebaliknya sentiasa menyokong perjuangan kerajaan sedia ada. Hazman bagaimanapun mengakui bahawa madrasah tersebut pernah menerima kunjungan pemimpin JI, Abu Bakar Bashir pada awal 1990-an tetapi memutuskan hubungan apabila diminta menerima perjuangan pertubuhan itu.

Minda Penulis berpandangan, satu tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan terhadap syarikat akhbar tersebut kerana kebelakangan ini, laporan yang disiarkan oleh akhbar tersebut pada pandangan Minda Penulis boleh mencetuskan satu keadaan yang tidak tenteram di kalangan masyarakat negara ini. Di samping itu juga, akhbar tersebut sudah banyak kali membuat laporan yang bersifat fitnah dan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej kerajaan Malaysia itu sendiri. Dalam soal mengambil tindakan terhadap akhbar ini, Minda Penulis bersetuju dan menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengharamkan akhbar tersebut dari membuat liputan mengenai kegiatan rasmi Kerajaan Negeri Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...