Powered By Blogger

Monday, June 13, 2011

Qazaf Dan Tuduhan Zina Bukannya Isu Politik

EXCO Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahdan dilaporkan meminta agar mimbar Jumaat tidak digunakan untuk menyebarkan propaganda politik atau membela pemimpin tidak bermoral. Beliau berkata sedemikian sebagai mengulas khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membicarakan isu qazaf dan tuduhan zina seperti dihadapi seorang pemimpin pembangkang.

Sohaimi juga turut mendakwa Kerajaan Negeri sanggup menderhaka perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang institusi agama dipolitikkan.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri sanggup berbuat apa sahaja demi politik termasuk menggunakan institusi masjid dan khutbah Jumaat untuk mengelirukan rakyat.

"Masjid adalah tempat untuk umat Islam dan orang Melayu bersatu padu serta mengeratkan silaturrahim, bukannya berpolitik," katanya.
Penulis merasa amat lecewa kerana masih ada lagi orang Islam terutamanya dari kalangan Umno yang masih tidak dapat untuk membezakan mana satu isu politik dan yang mana satu isu agama. Seharusnya dan sewajibnya semua pihak terutamanya umat Islam mengetahui bahawa persoalan atau isu qazaf dan tuduhan zina adalah merupakan satu persoalan agama bukannya persoalan politik. Persoalan-persoalan tersebut jelas telah dinyatakan dan diwahyukan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an. Apakah Exco Pemuda Umno itu terlalu jahil sehingga tidak dapat membeza-bezakan isu?

Pada pandangan penulis, tindakan khatib yang membacakan khutbah tersebut sambil menyeru orang ramai supaya jangan sesekali mempercayai tuduhan liwat sebagaimana yang dihadapi oleh seorang pemimpin pembangkang bukanlah merupakan satu kesalahan atau tidak wajar. Apa yang dinyatakan oleh khatib tersebut sebenarnya tidak menyeleweng dan lari dari apa yang telah diwahyukan dan dinyatakan di dalam al-Qur'an. 

Tuduhan Sohaimi yang mendakwa Kerajaan Negeri sanggup menderhakan perintah Sultan Selangor adalah sama sekali tidak berasas. Begitu juga tuduhan beliau yang mengatakan Kerajaan Negeri sanggup berbuat apa sahaja demi politik termasuk menggunakan institusi masjid dan khutbah Jumaat untuk mengelirukan rakyat. Ini adalah kerana isu yang dikhutbahkan oleh khatib tersebut adalah merupakan isu atau persoalan agama. Isu tersebut juga adalah merupakan isu yang menyentuh persoalan maruah umat Islam. Jadi pada pandangan penulis, tidak timbul sama sekali soal derhaka kepada Sultan dan juga tidak timbul soal Kerajaan Negeri salah guna masjid dan khutbah Jumaat untuk kelirukan rakyat. Mungkin Sohaimi lupa atau buat-buat lupa, Umnolah sebenarnya yang sanggup berbuat apa sahaja demi politik termasuklah melakukan fitnah yang teramat keji terhadap musuh-musuh politik.

Masjid sebenarnya bukan hanya sebagai tempat untuk bersolat dan berzikir sahaja. Apa sahaja boleh dilakukan di masjid asalkan sahaja ianya bukan perbuatan maksiat. Masjid sebenarnya adalah tempat beribadah. Apa sahaja yang dilakukan jika ianya adalah merupakan satu pekerjaan yang merupakan ibadat kepada Allah SWT boleh dilaksanakan di masjid termasuklah juga dalam soal berpolitik asalkan sahaja politik itu tidak menjadi satu maksiat dan mendatangkan kemurkaan dari Allah SWT. 

Harus juga diingat bahawa masjid bukannya hak mutlak orang melayu sahaja. Masjid adalah merupakan rumah Allah SWT yang mana semua umat manusia boleh mengimarahkannya tak kira samada bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau apa bangsa sekalipun. Jangan pula kita menganggap masjid itu hanya untuk orang melayu sahaja sehinggakan bangsa lain tidak boleh beribadat dan mengeratkan silaturrahim sesama Islam. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...