Powered By Blogger

Wednesday, June 15, 2011

Jangan Menghina Yang Di Pertuan Agong Atau Mana-Mana Sultan

KUALA TERENGGANU: Dua individu dipercayai penyokong pasukan bola sepak tanah air bertindak kurang ajar apabila sanggup menghina Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerusi laman sosial facebook.

Individu terbabit didapati bukan saja mengubahsuai gambar Yang Di Pertuan Agong dengan menggantikan wajah baginda dengan sebiji bola tetapi turut mengeluarkan komen mempersendakan ketua negara Malaysia itu apabila mengaitkannya dengan kemenangan Terengganu ke atas Kelantan pada final Piala FA, Sabtu lalu.

Tindakan dua individu tidak bertanggungjawab dikenali sebagai Nik Rabani dan Kay Shakila itu disedari ahli Kelab Peminat Terengganu (Terengganu FC) yang membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada jam 1.15 petang semalam.

Berdasarkan akaun individu terbabit, Nik Rabani mendakwa menetap di Kota Bharu manakala Kay Shakila pula mendakwa menuntut di Universiti Teknologi Mara.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.
Sumber:- Harian Metro Rabu 15 Jun 2011 muka surat 6 


Komen:- Minda Penulis menegaskan bahawa tindakan atau perbuatan menghina Yang Di Pertuan Agong atau mana-mana sultan adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Minda Penulis turut mengecam perbuatan sedemikian yang boleh digambarkan sebagai satu tindakan dari individu yang tidak bermoral dan tidak memiliki tatasusila sebagai masyarakat timur yang seharusnya bersopan santun dan berbudi bahasa yang tinggi.

Secara peribadi, Minda Penulis turut merasa terkilan dan kecewa dengan kegagalan pasukan bola sepak Kelantan menjulang Piala FA pada musim ini, namun minda penulis turut merasa kesal dan kecewa dengan tindakan tidak sewajarnya yang dilakukan terhadap Yang Di Pertuan Agong.

Sebagai seorang rakyat yang menjunjung tinggi institusi raja berpelembagaan di Malaysia, Minda Penulis mendesak agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu-individu yang melakukan penghinaan terhadap Yang Di Pertuan Agong atau mana-mana sultan di negara ini.

Namun begitu, Minda Penulis juga berharap agar siasatan juga dapat dijalankan bagi memastikan samada benar atau tidak perbuatan itu dilakukan oleh penyokong Kelantan kerana telah ada kes di mana ada rakyat negeri lain yang dikesan menyamar sebagai penyokong Kelantan dengan memakai jersi pasukan bola sepak Kelantan dalam keadaan seksi dan tidak sopan dipercayai bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan nama baik Kerajaan Negeri Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...