Powered By Blogger

Thursday, June 2, 2011

Kumpulan Murtad Tubuh Majlis Tertinggi

BONN: Sekumpulan golongan murtad di Jerman berikrar menubuhkan majlis tertinggi golongan murtad dengan diberi nama 'Majlis Tertinggi Orang Islam Terdahulu'. Mereka mendapat sokongan padu daripada anggota-anggota yang kebanyakannya terdiri daripada warga Jerman yang pernah memeluk agama Islam.

Demikian menurut ketuanya, Mena 'Ehdy yang berketurunan Iran. Beliau mendakwa bahawa beliau kecewa dengan Islam kerana kononnya banyak menyekat kebebasan wanita, justeru dengan adanya majlis tersebut, hak-hak asasi yang melibatkan wanita akan dapat diperjuangkan hingga ke akar umbi walaupun mendapat bantahan daripada penduduk Islam yang komited kepada agama.

Menurutnya, walaupun beliau berasal dan dilahirkan dari keluarga Islam, namun beliau bertekad tidak melaksanakan tuntutan agama Islam yang menurutnya masih banyak lagi yang kurang dalam pelbagai aspek, terutama dari sudut pemakaian Muslimah yang diperintahkan untuk memakai hijab yang disifatkannya sebagai cara untuk kembali kepada kemunduran, kerana ia sesuai untuk dipakai di padang pasir yang banyak debu seperti penduduk di padang-padang pasir khususnya negara-negara Arab Timur Tengah.

Hasrat penubuhan majlis tersebut menurutnya, telah lama dipendamkan sejak tahun lalu hinggalah baru-baru ini hasratnya itu tercapai dengan bantuan beberapa orang rakan wanita lain yang memiliki cita rasa yang sama dengannya yang menyatakan kekecewaan yang amat mendalam kerana undang-undang Islam perlu dinilai semula dan perlu dibuat kajian menyeluruh.

Setelah mengadakan banyak siri pertemuan dengan golongan wanita di seluruh Jerman, beliau mendapati ramai di kalangan mereka menyatakan kesukaran untuk mendapatkan hak jika menampilkan diri sebagai sebagai muslimah. Hasil daripada pertemuan itu, beliau mengandaikan bahawa dengan tertubuhnya majlis tertinggi itu, segala masalah akan dapat diatasi dengan kadar segera.

Menurut laporan itu lagi, beliau akan berusaha untuk memastikan agar golongan wanita di Jerman khususnya akan mendapat pembelaan dengan tidak perlu memakai tudung kepala (hijab) kerana ia dianggap sebagai pakaian yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai dipakai pada era globalisasi - Alshaab

Komen penulis: Golongan seperti ini telah sedia wujud di Malaysia bahkan mereka telah menubuhkan satu pertubuhan yang berselindung di sebalik nama NGO, cuma mereka masih lagi mengaku beragama Islam atau tidak berani untuk menzahirkan kemurtadan mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...