Powered By Blogger

Sunday, July 31, 2011

Ku Li Ditawarkan Jadi Ketua Pembangkang: Benarkah Tikam Dari Belakang?

PENDEDAHAN Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim bahawa Tengku Razaleigh Hamzah ditawarkan oleh Pakatan Rakyat untuk menjadi Ketua Pembangkang sebagai persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit bersalah dalam kes yang dihadapinya segera mendapat reaksi dari pemimpin-peminpin Umno.

Antara pemimpin Umno yang turut memberikan reaksi atas apa yang dikatakan sebagai 'pendedahan' itu adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi. Menurut beliau apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat adalah satu perbuatan tikam belakang.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, "pakatan pembangkang mengamalkan politik tikam belakang jika benar mereka mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memegang jawatan Ketua Pembangkang."

Mohd Puad juga berkata, pelawaan tersebut hanya menunjukkan pembangkang semakin terdesak dan hilang keyakinan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menghadapi kes (syariah) di mahkamah sivil. 

Minda Penulis fikir pertamanya, jika Mohd Puad merasakan pembangkang menikam dari belakang hanya dengan membuat tawaran kepada Tengku Razaleigh untuk menjadi Ketua Pembangkang, maka apa kurangnya dengan Umno. Minda Penulis masih belum lupa dengan tindakan Umno yang sudah banyak kali cuba untuk mengajak pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyertai Umno. Lebih teruk lagi bukan hanya ditawarkan dengan jawatan bahkan ada di kalangan pimpinan pembangkang turut ditawarkan dengan ganjaran berbentuk harta benda. Antara pemimpin pembangkang itu adalah Mursyidul Am PAS sendiri yang turut menjadi sasaran Umno.

Ini bermakna, budaya politik tikam belakang sebagaimana yang didakwa oleh Mohd Puad turut menjadi amalan biasa dalam Umno sendiri. Jadi, Minda Penulis berpendapat Mohd Puad seharusnya berhenti berkokok tak tentu arah sehingga pekung sendiri terbuka luas.

Keduanya, apa yang dikatakan sebagai 'pendedahan' tersebut datangnya dari Zahrain Mohamaed Hashim yang ramai sudah tahu bahawa beliau sudah hilang kredibiliti dan tidak boleh dipercayai apa yang diperkatakan beliau. Jadi apa yang di perkatakan oleh Zahrain itu belum tentu sahih lagi kebenarannya melainkan jika pendedahan itu datangnya dari lidah Tengku Razaleigh sendiri.


Sebenarnya pada pendapat Minda Penulis, tidak timbul apa yang dikatakan sebagai politik tikam belakang itu jika benar Tengku Razaleigh menerima tawaran pembangkang kerana mana mungkin boleh terjadi tikam belakang kerana Umno dan Pakatan Rakyat bukannya dari satu pihak yang sama. Pada pendapat Minda Penulis ianya lebih sesuai disebut sebagai pertarungan secara berdepan dan masing-masing boleh menghalang, mengelak atau menepis serangan. Lainlah jika ianya datang dari dua parti yang datang dari pihak yang sama. Barulah ianya sesuai disebut tikam belakang kerana ia tidak mampu menghalang, mengelak atau menepis lantaran serangan itu datangnya dari belakang secara senyap.

Juga sesuai dikatakan sebagai tikam belakang 'sekiranya' Muhyiddin Yassin secara senyap-senyap mengatur strategi beliau untuk menjatuhkan Najib Razak dari kerusi Perdana Menteri. Yang tu baru betul orang panggil tikam belakang.

Tak Rela Minta Maaf

TERPULANGLAH pada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminta maaf kepada kelab Liga Perdana England, Chelsea berhubung insiden pemainnya, Yossi Benayoun yang berasal dari Israel menjadi mangsa ejekan dan cemuhan peminat bola sepak tempatan jika FAM rasa itu adalah haknya untuk meminta maaf.


Namun begitu FAM atau kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik tidak perlu untuk mengatakan permohonan maaf tersebut adalah bagi pihak peminat tempatan kerana sama sekali peminat tempatan terutamanya yang beragama Islam tidak akan meminta maaf kepada bangsa yang membunuh umat Islam di Palestin.

Rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam yang cinta dan kasih akan saudaranya di Palestin sama sekali tidak akan memaafkan satu bangsa yang membunuh, merogol dan menganiaya umat Islam di Palestin dan sama sekali kami tidak akan tunduk kepada mereka.

Namun begitu Minda Penulis amat kesal dengan tindakan FAM tersebut dan juga kenyataan dari Ahmad Shabery berhubung perkara itu. Kerajaan sepatutnya mengambil kira perkara-perkara yang menjadi isu sensitiviti sebelum memberi kebenaran kepada warga Israel untuk memasuki negara ini walaupun untuk menyertai pertandingan bola sepak.

Minda Penulis amat kesal bilamana Ahmad Shabery cuba untuk mengaitkan isu ini dengan politik. Harus diingat, isu yang menyentuh kekejaman serta kezaliman terhadap rakyat Palestin bukanlah suatu isu politik. Ini adalah isu membabitkan soal-soal kemanusiaan dan keagamaan.

Sepatutnya kerajaan melalui Kementeri Dalam Negeri (KDN) tidak memberikan kebenaran kepada pemain tersebut untuk memasuki negara ini. Minda Penulis berpandangan, walaupun KDN mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada mana-mana warga Israel untuk memasuki negara ini tetapi harus juga diingat bahawa KDN juga mempunyai kuasa untuk menolak permohonan kemasukan warga Israel itu ke negara ini. 

Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar dari bantahan yang pernah dibuat oleh rakyat suatu ketika dahulu bilamana kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan kriket dari negara zionis tersebut untuk masuk ke Malaysia.

Sepatutnya dalam soal yang melibatkan persoalan membabitkan isu-isu yang melibatkan umat Islam yang dizalimi kita tidak perlu untuk bersikap sporting sebagaimana yang dikehendaki oleh Ahmad Shabery kerana kita harus sedar bahawa tidak akan sempurna iman seseorang Islam itu sehinggalah beliau mengasihi saudaranya sesama Islam. Janganlah sampai kerana terlalu ingin menjadi seorang yang sporting sehingga sanggup menggadaikan iman sendiri.

Apek Putus Tunang

PENJAGA gol bola sepak negara dan pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dilaporkan telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan beliau dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia yang juga merupakan pemilik blog Jejari Runcing.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali dengan panggilan Apek walaubagaimanapun menafikan bahawa keputusan beliau itu ada kaitannya dengan orang ketiga antara beliau dengan Elia. Beliau turut menafikan bahawa beliau seorang lelaki playboy sebagaimana tuduhan sesetengah pihak dan menyifatkan tuduhan atau fitnah yang dilemparkan terhadap beliau itu sebagai punca hubungan beliau dengan Elia menjadi renggang.

Kerana fitnah yang dilemparkan tersebut, bukan sahaja menjejaskan hubungan antara Khairul Fahmi dan Elia tetapi turut mengheret sama individu lain yang didakwa sebagai orang ketiga antara Khairul Fahmi dan Elia.

Minda Penulis berharap, keputusan yang dibuat oleh Khairul Fahmi adalah keputusan yang terbaik untuk masa depan beliau. Minda Penulis juga berharap supaya selepas ini, segala fitnah yang dihadapi oleh Khairul Fahmi akan berhenti. Dari sudut positif, Minda Penulis melihat perkara ini ada kebaikannya  buat masa depan hidup Khairul Fahmi.

Buat pelaku fitnah, segera hentikan perbuatan kalian. Tidak ada gunanya melakukan fitnah terhadap orang lain kerana ianya banyak mendatangkan keburukan kepada mangsa yang tidak bersalah. Kerana fitnah, ikatan pertunangan yang masih lagi baru telah terputus di pertengahan jalan.

Minda Penulis sendiri rasa hairan, apakah sebenarnya yang dicari oleh pelaku fitnah ini sehingga tergamak melontarkan fitnah? Apakah kesalahan Khairul Fahmi kepada kalian?

Buat Khairul Fahmi, Minda Penulis berharap agar selepas ini beliau dapat memeberikan tumpuan yang lebih pada kerjaya beliau. Seperti kata beliau sendiri, beliau sebenarnya masih belum berjaya lagi. Perjalanan karier beliau sebagai pemain bola sepak masih jauh. Benar, beliau masih lagi muda dan banyak perkara yang perlu beliau pelajari sebelum beliau bersedia menempuh alam perkahwinan. 

Minda Penulis berharap selepas ini, penjaga gol yang sedang meningkat naik ini akan bertemu dengan jodoh yang sesuai dan memahami kerjaya beliau sebagai ahli sukan. Ingatlah bahawa putus tunang bukanlah pengakhiran kepada kehidupan yang bahagia. Selamat maju jaya buat Khairul Fahmi bin Che Mat.

Saturday, July 30, 2011

Kerja Orang Sakit Jiwa

TINDAKAN Persatuan Suara Anak-Anak Malaysia negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh pengerusinya, Mohamed Ghani Abdul Jiman yang menggantung coli dan seluar dalam wanita di pintu masuk yang menyediakan lif untuk ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah merupakan satu perbuatan yang biadap dan tidak bertamadun.

Menurut laporan akhbar, persatuan tersebut yang pada pendapat Minda Penulis bukannya mewakili keseluruhan anak-anak Malaysia bertindak sedemikian biadap adalah kerana mendakwa tidak puas hati terhadap pentadbiran Lim dan tindakan tersebut didakwa sebagai simbolik luahan rasa persatuan tersebut.

Coli dan seluar dalam wanita bercorak harimau bintang itu dikatakan sebagai simbolik menandakan Lim Guan Eng dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik sebagai tarzan dan beliau turut menggelarkan semua pemimpin Kerajaan Negeri sebagai harimau.

Perbuatan biadap persatuan yang diketuai Mohamed Ghani ini bukanlah yang pertama dilakukan. Sebelum ini pada 8 Disember 2010, beliau telah bertindak menyerahkan tiga kek hitam tertulis 'Selamatkan Lot 21 dan 22', 'Selamatkan Kampung Genting' dan 'Daripada Anak Jati Pulau Pinang'.

Pada 12 Mac 2011, Mohamed Ghani bertindak menghantar keranda kepada Ng Wei Aik di perkarangan Komtar Walk. Beliau juga bertindak memandu sendiri sebuah lori kecil dengan membawa keranda ke kediaman Wei Aik. Bagaimanapun keranda tersebut dirampas oleh pihak  polis.

Dan pada 2 Julai 2011, Mohamed Ghani menyediakan 2 ekor itik putih untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dalam satu perhimpunan haram di perkarangan Komtar.

Minda Penulis berpendapat, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh persatuan tersebut yang diketuai oleh Mohamed Ghani bukan saja bersifat biadap tetapi juga adalah merupakan satu tindakan dari sekelompok manusia yang diketuai oleh pesakit jiwa yang turut mempunyai masalah penyakit gila seks.

Walau apa sekalipun alasan yang diberikan oleh persatuan tersebut untuk mewajarkan tindakan-tindakan biadap beliau itu, ianya tetap tidak boleh diterima oleh manusia yang berakal waras. Sebagai seorang beragama Islam, perbuatan-perbuatan tersebut amat ditegah oleh agama kerana ianya mempunyai unsur-unsur penghinaan dan mengaibkan. Disamping itu juga, perbuatan tersebut secara tidak langsung turut menghina dan menjatuhkan maruah kaum wanita.

Minda Penulis juga berpandangan, Mohamed Gahni dan anak buahnya patut ditahan dan dihantar ke pusat rawatan pesakit mental untuk menjalani rawatan. Minda Penulis juga berpendapat orang seperti ini amat berbahaya kepada keselamatan kaum wanita jika terus dibiarkan bebas berada di kalangan masyarakat.

Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis

TERLEBIH dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah daripadanya. Jika tidak, campakkan ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan daripada seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat disegala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.


Tugas mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis sebelum tugasan kenegaraan sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'. Itulah moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran', hakikatnya polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya) "Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 78-79). Nabi SAW pula bersabda: "Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukuman-Nya" (Riwayat Abu Daud, Al-Tirmidzi dan An-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.


Bahaya kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menganiayanya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepada kezaliman, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika ini berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau memfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya. Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit, mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang disabdakan Nabi: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad, Baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani). Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya)". (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).


Allah tidak lupa
Saudaraku anggota polis,
 Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya daripada hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau simangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan sizalim, meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin sizalim ketika itu terpinga-pinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.


Dunia sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia itu sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): "Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)". (Surah Ibrahim: 42-43).

Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu sizalim akan bertemu dengan semua  mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah Yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputar belit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim). Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat Bukhari).


Nasihat Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadangkala ada keadaan sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-imam Hasan al-Basri r.a kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Yazid bin Abdul Malik. Kata Umar bin Hubairah: "Sesungguhnya Khalifah Yazid bin Abdul Malik kadangkala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi suatu kesalahan di sisi agama?" Kata Hasan al-Basri: "Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu. Wahai Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akam mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan di akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai Umar bin Hubairah! tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai pencipta". Maka menangislah Gabenor Umar bin Hubairah. (Rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan).

Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapapun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadia anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara. Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: "Benar adalah amanah, bohong adalah khianat." Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong, rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara. Selamat bertugas!






Nukilan:-
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Negeri Perlis

Friday, July 29, 2011

Tidak Timbul Soal Pura-Pura Mati..

'BAKAL' Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dilaporkan meminta Haji Suhardi Mat Isa supaya tampil membantu membantu siasatan polis dan menjelaskan mengapa dan siapa yang menyuruhnya berpura-pura mati sehingga menimbulkan salah faham terhadap orang ramai dengan kematian Baharudin Ahmad ketika perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.



Minda Penulis tidak faham kenapa boleh timbul pula dakwaan Haji Suhardi berpura-pura mati kerana setahu Minda Penulis, tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana pihak terutamanya dari penganjur Bersih dan pihak Pakatan Rakyat bahawa Haji Suhardi meninggal dunia.

Apa yang Minda Penulis tahu bahawa Haji Suhardi dilaporkan mengalami sesak nafas yang teruk semasa ditahan oleh polis dalam perhimpunan tersebut tetapi tidak sampai meninggal dunia. Minda Penulis dan semua orang juga tahu bahawa yang meninggal dunia adalah Baharudin Ahmad dan secara kebetulan pula punca kematian Allahyarham Baharudin dilaporkan adalah kerana mengalami sesak nafas.

Dua individu yang berbeza dan Minda Penulis percaya bahawa polis sedar bahawa Haji Suhardi tidak berpura-pura mengalami sesak nafas kerana yang membawa Haji Suhardi ke hospital untuk mendapatkan rawatan adalah polis sendiri.

Cuma apa yang Minda Penulis tahu bahawa timbul sedikit kekeliruan kerana ramai yang tidak mengenali siapa Baharudin Ahmad dan siapa Haji Suhardi. Jadi bila dilaporkan berlakunya kematian semasa perhimpunan kerana dikatakan sesak nafas dan secara kebetulan pula terdapat juga individu lain yang juga mengalami sesak nafas dan kejadian semasa individu yang mengalami sesak nafas itu dirakam maka orang yang tidak mengenali siapa Baharudin dan siapa Haji Suhardi akan terkeliru.

Oleh itu pada pandangan Minda Penulis, tidak timbul langsung persoalan mengatakan Haji Suhardi berpura-pura mati dan tidak timbul juga persoalan mengapa dan siapa yang menyuruh berpura-pura mati kerana perkara itu (berpura-pura mati) sebenarnya langsung tidak berlaku.

Minda Penulis berharap 'bakal' Ketua Polis Negara lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan kerana sekiranya kenayataan yang diberikan itu tidak masuk akal maka ianya akan lebih mendedahkan ketidakcerdikan seorang yang bakal menjadi Ketua Polis Negara.

Monday, July 25, 2011

Kakitangan SPRM Pun Terima Rasuah Jugak..

Seorang bekas penolong penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bekas exco Selangor, Datuk Saidin Tamby.

Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan Rahiman Selamat, 52, menjalani hukuman itu mula hari ini selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan Rahiman pada 2001 atas tuduhan menerima jam tangan Rolex Oyster Perpetual bernilai RM3,000 daripada orang tengah, yang juga peniaga kereta terpakai, Razif Kamaruddinas sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Saidin.

Hakim juga menolak permohonan peguam tertuduh, Mohd Firuz Jaffril, untuk menangguhkan hukuman.

Rahiman didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 April 1998 di Syarikat Golden Time, Lot 3.03, Tingkat Tiga, The Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur.

Dalam prosiding hari ini, SPRM diwakili timbalan pendakwa raya Kevin Morais dan Wong Poi Yoke.

Pada 1999, Rahiman dan timbalan pendakwa raya dari BPR (kini SPRM), Mohd Razib Othman didakwa bersama menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mendakwa Saidin.

Bagaimanapun, Mohd Razib didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dihukum penjara dua tahun dan denda RM80,000 kerana menerima jam tangan jenama Philip Charriol bernilai RM4,215 melalui Razif pada 19 Mei 1998.

Pada 12 Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap Mohd Razib.

Artis Sukar Wuduk Dan Solat

KEPUTUSAN yang dibuat oleh Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, 32, untuk tidak mahu kembali ke dalam dunia hiburan seharusnya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Ini adalah kerana beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian dan seharusnya tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Waheeda bahawa hukum menyanyi dan berlakon pada asalnya adalah harus tetapi 'sebab-sebab tertentu' boleh menjadikan karier yang pernah diceburinya adalah haram.

Pengakuan Waheeda bahawa kesukaran menjaga solat dan keadaan persekitaran dalam dunia hiburan yang 'merimaskan' memaksanya membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu selama-lamanya seharusnya membuka mata masyarakat tentang baik dan buruknya dunia hiburan.

Amat mengejutkan bilamana, Waheeda membuat pendedahan bahawa beliau mengalami kesukaran untuk menunaikan solat dan berwuduk kerana penggambaran yang melalaikan.

Lebih mengejutkan lagi bilamana beliau turut membuat pendedahan tentang sikap buruk pengarah produksi yang sengaja membatalkan wuduk beliau dengan sengaja memegang tangan Waheeda. Lebih teruk lagi bila pengarah produksi tersebut mengetawakan beliau setelah wuduk terbatal dengan perbuatan biadap tersebut.

Kita tidak tahu samada pengarah produksi tersebut beragama Islam ataupun tidak. Tetapi tidak kiralah samada beliau beragama Islam ataupun tidak, beliau perlu berhenti melakukan perbuatan tersebut kerana ianya adalah merupakan suatu penghinaan terhadap agama dan amalan yang dituntut oleh Islam. Beliau perlu sedar bahawa tindakan beliau tersebut merupakan satu perbuatan mencabuli kesucian agama Islam. Dan sekiranya beliau beragama Islam dan masih tetap mengaku beragama Islam sewajibnya beliau dengan segera perlu bertaubat atas dosa yang dilakukannya.

Mungkin pengarah produksi tersebut menganggap perbuatan beliau tersebut hanyalah suatu gurauan, namun perlu diingatkan dan ditegaskan bahawa tuntutan dalam agama Islam tidak boleh dijadikan bahan untuk gurauan.

Atas pendedahan yang dibuat oleh Waheeda itu, Minda Penulis rasa keputusan beliau untuk berhenti dari dunia hiburan adalah merupakan suatu keputusan yang perlu untuk dihormati dan sekiranya selepas ini beliau ingin mengubah keputusan beliau, ianya juga perlu untuk dihormati asalkan saja hiburan tersebut berlandaskan syariat Islam dan beliau yakin mampu untuk menjaga syariat yang telah ditetapkan dalam Islam.

Sunday, July 24, 2011

Dalam Report Sebut Dilanggar Kereta Waja Polis Bukannya Pajero Polis

SALINAN report polis Travers 5778/11 bertarikh 14 Julai 2011 oleh Timbalan Presiden PAS yang mengesahkan bahawa beliau dilanggar oleh kereta jenis Proton Waja milik polis dan bukannya Pajero


Memang Tepat Kelantan Haramkan Judi

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (MCA) dilaporkan berkata tabiat berjudi menyebabkan gangguan dalam kehidupan seperti psikologi, fizikal dan sosial sampai ke tahap yang perlu ditangani dan dirawat sebagai penyakit.

"Hampir setiap hari kita boleh membaca mengenai masalah berjudi di media. Ia adalah masalah yang sangat serius, lebih serius daripada penagihan dadah."

"Kementerian ini melihat judi sebagai satu penyakit, agar kita boleh mengatasi rawatan perubatan dan langkah merawatnya," katanya selepas merasmikan forum mengenai Judi Bermasalah.

Walaubagaimanapun beliau mengatakan, mengharamkan perjudian dan menutup pusat judi tidak dapat mengatasi kegiatan berjudi kerana pertaruhan secara dalam talian memburukkan keadaan.

Minda Penulis lihat kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan ini membuktikan bahawa judi itu adalah merupakan satu masalah kepada masyarakat. Dan kenyataan tersebut juga dilihat sebagai satu pengakuan bahawa aktiviti perjudian bukanlah satu aktiviti yang boleh diterima sebagai satu budaya hidup.

Namun begitu, Minda penulis berpendapat menteri tersebut memberikan alasan yang rapuh untuk menafikan tindakan Kerajaaan Kelantan yang mengambil tindakan mengharamkan perjudian di Kelantan. Minda Penulis berpendapat, tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut adalah merupakan satu tanggungjawab kerajaan terhadap masyarakat lebih-lebih lagi tanggungjawab untuk melaksanakan perintah Allah SWT.

Walaupun pengharaman judi dan menutup pusat perjudian dikatakan tidak dapat mengatasi kegiatan buruk tersebut, namun setidak-tidaknya dengan tindakan tersebut ianya sedikit sebanyak mampu untuk mengawal aktiviti tidak sihat tersebut.

Tindakan mengharamkan perjudian dan menutup pusat perjudian adalah satu usaha yang perlu diberi sokongan kerana tidak mungkin masalah berjudi ini dapat diatasi sekiranya ianya tidak diharamkan dan pusat-pusat perjudian tidak ditutup.

Oleh itu, Minda Penulis tidak nampak kewajarannya mengapa MCA perlu menyaman Kerajaan Negeri Kelantan kerana mengharamkan judi kerana tindakan menyaman Kerajaan Kelantan dalam isu ini hanya menunjukkan bahawa Menteri Kesihatan tersebut hanya pandai berkata-kata tetapi tidak ada usaha untuk mengatasi masalah ketagihan berjudi.

Selesaikan Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno semalam meminta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tampil untuk menafikan pendedahan video oleh polis berhubung kemalangan yang dialaminya pada 9 Julai lalu.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan Mohamad Sabu yang mendakwa beliau dirempuh polis ketika berlangsung perhimpunan haram di ibu kota itu perlu diberi penjelasan yang sebenar.

"Adalah penting untuk beliau (Mohamad Sabu) membuat kenyataan sama ada beliau tetap dengan dakwaannya sebelum ini atau menafikan pendedahan video itu atau mengiyakan apa yang didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

"Puteri Umno yakin bahawa tayangan itu adalah sahih, dan Mohamad Sabu mesti meminta maaf kepada PDRM dan rakyat Malaysia jika apa yang didedahkan oleh PDRM menerusi tayangan video itu adalah benar," katanya.
Sumber: Berita Minggu Ahad 24 Julai 2011 ruangan Nasional m/s 3

Minda Penulis berpandangan, tuntutan Puteri Umno supaya Timbalan Presiden PAS tampil menafikan pendedahan video polis adalah merupakan satu tuntutan yang ketinggalan zaman. Ini adalah kerana Saudara Mohamad Sabu telahpun membuat penafian tentang apa yang didedahkan oleh polis itu.
Saudara Mohamad Sabu sebenarnya telahpun membuat kenyataan bahawa beliau memang dilanggar oleh kenderaan polis iaitu sebuah kereta waja dan bukannya Pajero. Saudara Mohamad Sabu juga telah menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyatakan bahawa beliau dilanggar oleh Pajero polis seperti yang dituduh oleh pihak polis.

Minda Penulis juga meragui akan kesahihan video yang dikeluarkan oleh polis kerana dari apa yang diperhatikan oleh Minda Penulis dari rakaman video yang didedahkan oleh polis dan telah disebarkan melalui youtube bahawa rakaman tersebut tidak jelas dan kabur. Dakwaan polis bahawa Saudara Mohamad Sabu melanggar pembahagi jalan juga adalah tidak jelas kelihatan dalam video tersebut. 

Apa yang dapat Minda Penulis lihat dari rakaman tersebut, motosikal yang dibonceng oleh Saudara Mohamad Sabu memang diapit oleh sebuah Pajero polis dihadapan dan sebuah kereta Proton Waja milik polis. Di situ menunjukkan bahawa dakwaan Saudara Mohamad Sabu sebenarnya ada lojiknya jika dibandingkan dengan dakwaan oleh pihak polis.

Desakan Puteri Umno agar Mohamad Sabu meminta maaf kepada PDRM dan rakyat adalah sesuatu yang tidak perlu kerana perkara ini akan dibawa ke Mahkamah. Timbalan Presiden PAS tersebut telahpun mengarahkan peguam untuk memfailkan saman terhadap PDRM di mahkamah dan PDRM juga boleh mendakwa Mohamad Sabu di mahkamah sekiranya PDRM menuduh Mohamad Sabu berbohong. Jadi perkara ini perlu diselesaikan di mahkamah.

Thursday, July 21, 2011

Salah Sendiri..

MINDA PENULIS tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh wartawan Harian Metro pada 21 Julai 2011. Dalam artikel yang bertajuk SMS 'seksi' tipu pengguna, wartawan Zulfa Mohamad melaporkan:-
KEPALA BATAS: "Helo sayang, esok sudah nak bertolak, saya telah tinggalkan msj (mesej) gambar untuk kamu," begitulah kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima seorang lelaki.
Bagaimanapun, SMS itu bukan dihantar isteri kepada suaminya tetapi dipercayai taktik terbaru pihak tertentu cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah melalui kiriman pesanan berkenaan yang menawarkan gambar wanita seksi kepada pemilik telefon bombit secara rambang.
SMS itu sengaja dihantar dipercayai bagi memperdayakan lelaki melihat gambar wanita seksi membolehkan kredit panggilan mereka dipotong sebaik membalas SMS untuk pendaftaran.
Penerima SMS berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zainal, 35, berkata, dia menerima mesej menawarkan gambar wanita memakai bikini dari beberapa nombor telefon bimbit tidak dikenalinya.
Katanya, pada mulanya dia tidak mempedulikan SMS itu kerana menganggapnya seperti SMS yang menawarkan hadiah.
"Beberapa hari kemudian saya dapat SMS sama daripada nombor berlainan menawarkan gambar wanita seksi.
"Saya balas mesej seperti diarahkan kepada nombor 32*** dan mengejutkan apabila kredit dipotong RM4 sebaik mendaftar.
 "Bagaimanapun, gambar itu tidak diterima menyebabkan saya mengesyaki ia penipuan," katanya.
 Menurut Zainal, dia belum membuat aduan tetapi berharap pihak berkaitan dapat memantau syarikat telekomunikasi yang cuba memerangkap orang ramai melalui SMS.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Seberang Perai Utara, Mohd Nasri Hassan berkata, taktik menghantar mesej kepada pemilik telefon bimbit itu satu bentuk penipuan.
"Kami belum menerima aduan berhubung perkara itu dan mereka yang menerima mesej seperti itu boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia )SKMM)," katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi SKMM Wilayah Utara, Ismail Othman, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memanjangkan isu itu kepada Forum Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.

Komen Minda Penulis:-  Siapa suruh gatal-gatal pergi layan mesej macam tu? Nampak sangat Zainal tu miang nak tengok gambar perempuan seksi. Terimalah nasib sendiri. Sebagai orang Islam, dah tahu menonton aurat perempuan bukan muhrim atau menonton gambar@video lucah itu satu kesalahan pada hukum agama kenapa bodoh sangat nak buat jugak.

Minda Penulis walaubagaimanapun berharap agar pihak berkuasa dapat memantau syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia ini, kerana pada pandangan Minda Penulis, sindiket ini tidak akan dapat beroperasi tanpa kerjasama dari individu dalam syarikat telekomunikasi terbabit. Jalankan siasatan dan ambil tindakan terhadap individu atau syarikat terbabit jika terbukti melakukan kesalahan bersekongkol dengan sindiket penipuan.

Kanak-Kanak 3 Tahun Parah Diseret Van Sekolah

SAKIT...keadaan mangsa yang cedera parah.IPOH: “Tolong wan, adik sakit..., tolong adik...,” jerit kanak-kanak berusia tiga tahun kepada neneknya selepas diseret sejauh hampir 100 meter oleh van dinaikinya menyebabkan kulit kepalanya terkoyak sehingga menampakkan tempurung kepala, pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, turut mengakibatkan Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, cedera di perut dan tangan kirinya. Mangsa diseret di depan neneknya, Timah Sukaimi, 70, yang sedang menunggu di pintu untuk menyambut kepulangan cucunya taska.

Menurut Timah, ketika kejadian dia mahu membuka pagar sebelum dikejutkan dengan jeritan Muhammad Haziq. “Saya sangka adik (nama timangan mangsa) diculik kerana dia tidak kelihatan di tepi jalan selepas van dinaikinya bergerak pergi. “Jeritannya bertambah nyaring menyebabkan saya panik dan seperti orang tidak siuman mencarinya sekitar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Warga emas yang uzur dan berjalan menggunakan tongkat itu hampir pengsan selepas dimaklumkan jiran yang turut terdengar jeritan itu bahawa cucunya diseret van.

Kejadian dipercayai berlaku apabila beg galas dibawa mangsa tersangkut pada pintu van ketika menutupnya dan pemandu van yang menyangka mangsa sudah turun, memecut kenderaannya.

Tindakan pemandu van itu menyebabkan Muhammad Haziq terseret sejauh hampir 100 meter di bahagian bawah kenderaan dalam keadaan terbaring.

Mujur tindakan berani seorang wanita yang juga jiran keluarga mangsa melangkah ke tengah jalan untuk memberhentikan van itu berjaya menyelamatkan Muhammad Haziq daripada maut.

Pemandu van, seorang lelaki berusia 50-an mendakwa tidak mendengar jeritan mangsa ketika ditanya jiran wanita itu.

Jiran itu kemudian meminta orang ramai mengangkat mangsa yang meraung kesakitan ke dalam van sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan. Bapa mangsa, Muhamad Sazali Yahaya, 30, anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berkata, jirannya itu memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.

“Dia terlebih dulu memberitahu kejadian itu kepada ibu saya (Timah) sebelum menghubungi saya yang ketika itu berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi menghantar makanan kepada isteri yang bertugas sebagai jururawat di sana.

“Saya bersama isteri bergegas ke klinik berkenaan dan luluh hati kami melihat keadaan anak yang meraung kesakitan. Saya cuba tabahkan diri untuk menenangkan perasaan, tetapi gagal,” katanya sebak.

Muhamad Sazali berkata, dia bertambah sayu selepas Muhammad Haziq meminta dia dan isteri berhenti menangis.

“Haziq pintar biarpun baru berusia tiga tahun lima bulan. Dalam keadaan sakit dia masih sempat menasihatkan saya dan isteri supaya jangan menangis kerana dia tidak mahu mati lagi,” katanya.

Berikutan kecederaan parah dialaminya, Muhammad Haziq dimasukkan ke bahagian kecemasan HRPB sebelum menjalani pembedahan.

Muhamad Sazali berkata, menurut doktor, anaknya mungkin mengalami kecacatan kekal pada dua jari tangan kirinya selepas urat saraf di bahagian itu hancur dan putus.

Pembedahan awal yang dilakukan ialah untuk mengambil cebisan kulit paha bagi ditampal pada perutnya.

Muhamad Sazali tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu van terbabit, namun tumpuannya kini ialah terhadap anaknya yang bakal menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi menutup tempurung kepala.

Polis Dah Pening...

MEDIA hari ini melaporkan bahawa pihak berkuasa akan mengeluarkan waran tangkap terhadap 13 individu penting yang terbabit dalam perhimpunan tanpa permit pada 9 Julai lalu kerana gagal tampil memberi keterangan selepas diarahkan berbuat demikian bagi membantu siasatan.

Kesemua individu yang tersenarai tersebut dikatakan telah diarah untuk hadir ke IPD Dang Wangi sejak 11 Julai lalu namun kesemua mereka gagal berbuat demikian.

Antara individu yang dipanggil adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk A. Samad Said dan Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Apa yang agak mendukacitakan dan mengejutkan Minda Penulis ialah apabila polis mengatakan sebelum ini pihak berkuasa menyenaraikan seramai 14 orang individu untuk melengkapkan kertas siasatan tetapi tinggal 13 orang apabila salah seorang telah meninggal dunia dan individu yang dimaksudkan oleh polis adalah Almarhumah Dr. Lo' Lo Mohammad Ghazali.

Minda Penulis rasa terkejut dan tertanya-tanya, kenapa Dr. Lo' Lo' turut disenaraikan oleh pihak berkuasa sedangkan umum telah mengetahui bahawa beliau pada tarikh perhimpunan berlangsung sedang terlantar dan menerima rawatan di Hospital Selayang kerana penyakit barah paru-paru. Rujuk link:- http://www.malaysiakini.com/news/170573

Agak pelik bila pihak berkuasa boleh melakukan kecuaian dengan menyenaraikan individu yang sedang terlantar di hospital sejak beberapa minggu sebelum perhimpunan berlangsung. Apakah pihak polis di Malaysia yang dikatakan sebagai antara pasukan yang tercekap boleh terlepas pandang dalam soal ini?
Agak memalukan apabila sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya cekap dalam menjalankan siasatan dan juga sepatutnya mempunyai maklumat tepat mengenai individu yang disyaki boleh terlupa bahawa individu yang disyaki itu sedang terlantar di hospital.

Mungkin juga tidak pelik selepas ini jika waran tangkap akan dikeluarkan terhadap individu yang telah meninggal dunia untuk membantu siasatan sesuatu kes yang berlaku selepas dari tarikh kematian.

Wednesday, July 20, 2011

Hassan Al-Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari 1949)

HASSAN AL-BANNA merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman bin Muhammed al-Banna, merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.

Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.

Pada tahun 1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral tradisional.

Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian.

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez.

Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.

Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama.

Dia sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya: kem ketenteraan British, kemudahan awam dimiliki oleh kepentingan luar, dan tempat tinggal mewah milik pekerja Syarikat Terusan Suez, bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir.

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

Judi: Bisukah Umno, Perkasa, Ulama' Dan Mufti Kerajaan

MANA pergi penyokong-penyokong Umno, Perkasa dan yang sewaktu dengannya? Juga di mana suara ulama'-ulama' dan mufti-mufti dalam kerajaan bilamana tiga individu bertindak memfailkan tindakan saman ke atas Kerajaan Negeri Kelantan kerana mengharamkan aktiviti perjudian di negeri Kelantan?

Adakah tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut itu bersalahan dengan agama Islam maka kalian semua sanggup berdiam diri dengan penghinaan tersebut? Adakah kalian tidak merasa malu kepada Allah SWT kerana terpaksa membisu hanya demi untuk melindungi periuk nasi anda dari ditutup oleh pemerintah?

Sesungguhnya sikap dan perbuatan kalian amat menyedihkan. Dan kalian semua sesungguhnya akan menjadi orang yang malang ketika berhadapan dengan Allah SWT di hari perhitungan nanti.

Tiga individu saman kerajaan Kelantan kerana haramkan judi
2011/07/20
KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan dan seorang individu menyaman kerajaan PAS Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) berhubung pengharaman aktiviti perjudian di negeri itu yang berkuatkuasa Februari lalu.
Saman pemula itu difailkan oleh Wong Meng Yit, 47, dan Lee Khim Haw@Lee Khim Hwa, 58, kedua-duanya ahli perniagaan, serta Gan Han Chuan, 44, di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Sheng Lee Law pada 6 Jun lalu.
Ketiga-tiga plaintif diwakili peguam Lee Kien Han dan peguam Rueben Mathiavaranam manakala kerajaan negeri Kelantan diwakili Penasihat Undang-undang Negeri dan MPKB diwakili oleh sebuah firma guaman.
Dalam saman pemula itu, ketiga-tiga plaintif memohon satu deklarasi bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak berkuasa untuk mengeluarkan arahan atau polisi bagi meluluskan atau menggubal apa-apa enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri di negeri itu.
Mereka juga memohon satu deklarasi bahawa perkara-perkara mengenai perjudian dan loteri adalah dalam bidang kuasa eksklusif Parlimen yang mengecualikan badan perundangan negeri Kelantan.
Plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan atau menggubal apa-apa undang-undang serta undang-undang kecil, peraturan, arahan atau polisi yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.
Mereka menuntut ganti rugi am, kos bagi tindakan dan perintah lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.
Lee yang ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, berkata bahawa mahkamah sudah menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan.
Katanya, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas 1 di sini. - BERNAMA

Tuesday, July 19, 2011

Dr. Lo' Lo' Yang Saya Kenali

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini.

Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.

Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya.

Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM.

Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo'lo Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi SAW nasihati kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan jawatan mufti 

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya.

Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut.

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.

“Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. 

Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu.

Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin Umno.

Apabila berhenti dari jawatan mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke United Kongdom. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester.

Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo'Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak.

Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: “Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk Umno 

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini.

Apabila timbul berita saya akan masuk Umno, Dr Lo'lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau: “Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk Umno. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: “mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk Umno.

“Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk Umno? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk Umno”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat.

Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk Umno, Dr Lo'lo sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata: “Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk Umno, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS.

“Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk Umno”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama Pakatan Rakyat Dr Lo'lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'.

Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional jadi pemimpin' (http://drmaza.com/home/?p=605).

Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital 

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz.

Dr Lo'lo meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil.

Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau: “ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah.

Kata-kata yang tidak lahir di saat-demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS.

Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul 

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat.

Antara yang beliau kata; “Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'.

Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan.

Kata-kata Dr Lo'lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan.

Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mantan Mufti Perlis

Monday, July 18, 2011

Tubuh Jentera Siber Umno Untuk Serang Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Unit Media Baru, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan melancarkan jentera siber bagi memerangi fitnah pembangkang di alam maya menerusi laman twiter, facebook dan blog.

Timbalan Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafli, berkata program itu dilancarkan bertujuan menyediakan jentera untuk berperang di alam maya bagi menolak propaganda negetif pihak pembangkang.

"Dengan kewujudan pelbagai bentuk fitnah di alam siber, jentera siber dapat menerangkan kepada rakyat hal yang sebenar menerusi pelbagai saluran di internet," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jentera Siber Pemuda Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, di Hotel Putera di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Penerangan UMNO yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Mohd Razlan yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Seputeh berkata, program jentera siber itu membabitkan 84 peserta yang terdiri daripada penulis blog dan setiap Pemuda UMNO bahagian memiliki blog sendiri. (Sumber:- Berita Harian 18 Julai 2011)

Minda Penulis terdetik berpendapat, bacaan sepatutnya adalah seperti ini:-
KUALA LUMPUR: Unit Media Baru, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan melancarkan jentera siber bagi memerangi kempen penerangan Pakatan Rakyat di alam maya menerusi laman twiter, facebook dan blog.
Timbalan Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafli, berkata program itu dilancarkan bertujuan menyediakan jentera untuk berperang di alam maya bagi menolak kempen penerangan isu semasa pihak Pakatan Rakyat.
"Dengan kewujudan pelbagai bentuk fitnah di alam siber, jentera siber dapat terus membohongi rakyat hal yang sebenar menerusi pelbagai saluran di internet," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jentera Siber Pemuda Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, di Hotel Putera di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Penerangan UMNO yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Mohd Razlan yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Seputeh berkata, program jentera siber itu membabitkan 84 peserta yang terdiri daripada penulis blog dan setiap Pemuda UMNO bahagian memiliki blog sendiri.
Komen Minda Penulis:- Umno terpaksa mewujudkan jentera siber untuk berhadapan dengan penulis-penulis blog pro Pakatan Rakyat. Kalau difikirkan secara lojiknya apabila sesuatu unit atau jentera diwujudkan, maka setiap mereka yang terlibat atau dilibatkan perlu untuk dibayar. Kalau tiada bayaran, unit atau jentera tersebut tidak akan berfungsi.
Ini berbeza dengan Pakatan Rakyat yang tidak pernah mewujudkan sebarang unit atau jentera siber tetapi sebaliknya ianya bergerak sendiri di atas kesedaran tanpa mendapat sebarang ganjaran atau imbuhan dari mana-mana parti politik dalam Pakatan Rakyat.

PAS Ikut Telunjuk DAP Atau Umno Ikut Telunjuk MCA Dan Gerakan?

MINDA PENULIS rasa lucu dengan laporan akhbar Berita Harian hari ini yang bertajuk 'PAS ikut kata DAP'. Mengikut laporan yang ditulis oleh wartawan bernama Azmi Md Deros dan Aizuddin Sapian tindakan Kerajaan PAS Kedah menarik balik keputusan untuk menguatkuasakan larangan terhadap 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadhan bulan depan, yang disifatkan sebagai satu bukti PAS tunduk kepada DAP.

Mungkin wartawan Berita Harian yang menulis laporan tersebut lupa atau buat-buat lupa dan sengaja untuk menghasut pemikiran rakyat supaya membenci Kerajaan Negeri Kedah. Harus difahami dan dinilai dengan fikiran yang terbuka bahawa penarikan balik keputusan tersebut yang sebenarnya dibuat oleh Kerajaan Kedah terdahulu semasa era pemerintahan BN tetapi tiada penguatkuasaan dijalankan adalah merupakan satu penarikan balik dengan bersyarat.

Kerajaan PAS Kedah menyatakan kesedian Kerajaan Negeri tersebut adalah dengan syarat pengusaha tidak membenarkan umat Islam memasuki premis mereka. Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak melarang orang bukan Islam dari terus berhibur sebagai menjaga hak-hak orang bukan Islam tetapi dalam masa yang sama, pengusaha-pengusaha terbabit juga perlu untuk menjaga hak-hak umat Islam.

Apa yang dapat Minda Penulis simpulkan di sini adalah laporan yang ditulis oleh kedua-dua wartawan tersebut hanyalah bersifat untuk menjatuhkan reputasi kerajaan yang mentadbir. Dan ini juga menunjukkkan bahawa laporan tersebut ditulis bukan dengan niat yang ikhlas untuk kebaikan tetapi ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya. Sekiranya wartawan-wartawan tersebut benar-benar ikhlas, kenapa tiada sebarang tekanan dilakukan ke atas kerajaan yang terdahulu supaya menguatkuasakan larangan yang telah mereka keluarkan?

Dalam kesibukan media-media pro Umno ini menyerang kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tanpa diduga, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam mesyuarat Exco BN telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.

Alasan yang diberi, tindakan itu seiring dengan kepesatan pembangunan sektor pelancongan Melaka di samping mendapat permintaan daripada pengusaha pusat hiburan terbabit. Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditanya berkata, lanjutan masa hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad.

rustam ali silat group bersih 4Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis, pusat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.

Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.

Kenapa pula, media-media ini tidak menulis laporan yang mengkritik tindakan Kerajaan Negeri Melaka? Apakah keputusan Ketua Menteri Melaka ini tidak boleh disifatkan sebagai mengikut telunjuk MCA dan Gerakan? Jika wartawan-wartawan media pro Umno ini tidak menganggap keputusan Melaka ini sebagai mengikut telunjuk MCA/Gerakan tetapi sebaliknya keputusan Kedah pula ditafsirkan sebagai mengikut telunjuk DAP, maka Minda Penulis tegas mengatakan bahawa wartawan-wartawan media pro Umno ini sebagai cuba menghasut pemikiran rakyat dan membuat laporan hanya berdasarkan kepentingan politik Umno sahaja.

Dapat dilihat dari keputusan yang dibuat oleh dua negeri ini mempunyai perbezaan. Kedah beri kebenaran dengan syarat umat Islam dilarang masuk tetapi Melaka pula buat keputusan beri tambahan masa dan tidak pula melarang umat Islam dari memasuki premis maksiat tersebut.

Sunday, July 17, 2011

Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (2 Ogos 1957 - 17 Julai 2011)

DR. LO' LO' MOHAMAD GHAZALI merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Kuala Lumpur dari PAS. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat. Beliau juga merupakan pengarah eksekutif di Pusat Perubatan Kohilal.

Beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1957 di Kuala Kangsar, Negeri Perak. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak kemudian ke Kolej Islam Kelang, Selangor. Beliau menyambung pelajaran beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi ahli Majlis Kepimpinan Pelajar UKM.

Bapanya ialah Dato Hj Mohd Ghazali yang merupakan Imam Besar Masjid Negara yang pertama manakala ibunya Datin Hjh Zainab. Suami beliau ialah Prof Madya Dr Aminuddin Abd Hamid Karim yang merupakan pensyarah perubatan. Anak-anak beliau ialah Mawaddah, Muhd Fawwaz, Sakinah, Muhd Farhan manakala menantu beliau ialah Mohd Azizy (suami Mawaddah) dan Nur Hafizzah (isteri Fawwaz). Beliau juga mempunyai seorang cucu yang bernama 'Izz Nu'man (anak Mawaddah).

Beliau pernah berkhidmat di Hospital Besar Alor Star, Kedah sebagai pegawai perubatan dari 1983 hingga 1985. Kemudian bertugas di Pusat kesihatan Besar Pokok Sena, Kedah dari 1985 sehingga 1987, Hospital Besar Kuala Lumpur (1987-1988), Pusat rawatan Islam Kuala Lumpur (1988-1994) dan menjadi pegawai perubatan dan pengarah eksekutif Pusat Perubatan KOHILAL, Kuala Lumpur dari 1994 sehingga sekarang. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Harakah milik PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Barisan Nasional - UMNO, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dengan majoriti sebanyak 1,972 undi. Beliau memperolehi 17,857 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 15,885 undi. Beliau merupakan di antara 3 calon Dewan Muslimat PAS yang memenangi pilihan Raya Umum tersebut. Kemenangan beliau merupakan kemenangan pertama PAS Wilayah Persekutuan setelah lebih 30 tahun PAS cuba bertapak di Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi calon Parlimen Bukit Gantang, Perak pada tahun 2004, kalah di tangan calon Barisan Nasional, Tan Lian Hoe.

Hari ini, pada tanggal 17 Julai 2011, beliau telah pergi menyahut panggilan Maha Pencipta dan kembali buat selama-lamanya. Minda Penulis mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhumah dan doa Minda Penulis semoga roh beliau dicucuri rahmah dan semoga roh beliau ditempatkan oleh Allah SWT di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah

Haji Fadzil Mohd Noor (13 Mac 1937 - 23 Jun 2002)

DILAHIRKAN di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar dan Maktab Mahmud pada tahun 1951 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir tajaan biasiswa kerajaan Kedah pada 1963 hingga 1967.

Sekembalinya dari Mesir beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Beliau merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya).

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah.

Jenazah Ustaz Fadzil Noor disemadikan di madrasah di tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau. Masa jenazah beliau hendak disemadikan ribuan rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau sehinggakan jalan raya sesak teruk sehingga 20 km. 

"... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!" -- Diucap oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika majlis penutupan Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...