Powered By Blogger

Monday, October 10, 2011

Sejak Dahulu Lagi Manusia Suka Membantah Perintah Allah SWT..

بِسْــــمِ اﷲ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


MEMBANTAH dan mempertikaikan hukum Allah SWT dah memang jadi sikap mereka-mereka yang tidak mahu dengan perlaksanaan hukum Allah SWT ini. Perkara ini sudah memang termaktub bukan sahaja sejak dari zaman Rasulullah saw lagi bahkan sejak dari waktu Nabi Allah Adam A.S di ciptakan lagi apabila Iblis laknatullah membantah dan mempertikaikan arahan dan perintah Allah SWT apabila enggan tunduk sujud kepada Nabi Allah Adam A.S sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT.

Tradisi membantah perintah Allah SWT ini diteruskan pula oleh salah seorang anak lelaki Nabi Allah Adam A.S yang membantah jodoh yang telah ditentukan Allah SWT sehingga menyebabkan berlakunya kejadian pembunuhan pertama di dunia apabila anak Nabi Allah Adam A.S membunuh saudara kandungnya sendiri akibat dari perasaan hasad dan dengki. Begitu jugalah yang berlaku pada zaman-zaman nabi-nabi Allah yang seterusnya apabila perintah-perintah Allah SWT ini dibantah, dipersoal, dipertikai dan ditentang.


Di zaman Rasulullah saw juga tidak kurang hebatnya golongan-golongan penentang ini membantah serta mempertikaikan hukum Allah SWT. Rasulullah saw pernah digelarkan sebagai orang gila bahkan ada yang menuduh Baginda sebagai ahli sihir oleh penentang hanya kerana tidak bersedia untuk mengikuti dan mentaati perintah Allah SWT ini. Walaupun golongan-golongan penentang (musyrikin) ini sedar dan tahu bahawa apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw ini adalah benar datangnya dari wahyu Allah SWT, tetapi mereka ini tetap menentang dan membantah kerana takut kehilangan kekuasaan serta pengaruh.


Sehingga syiar Islamiah telah pun tertegak di muka bumi milik Allah SWT ini, golongan penentang perintah Allah SWT ini tetap wujud walaupun secara tersembunyi dan golongan ini dipanggil sebagai golongan 'Munafik'.


Golongan penentang ini berterusan melakukan penentangan serta bantahan sehinggakan ada yang sanggup bersekongkol dan bersekutu dengan golongan 'kuffar' untuk menjatuhkan pemerintahan 'Khilafah Islamiah' sepertimana apa yang berlaku ke atas Kerajaan Khalifatul Uthmaniyah Turki dan golongan penentang tersebut dipimpin oleh Mustaffa Kamal Attarturk.


Oleh kerana kelemahan umat Islam sendiri yang mula renggang dan jauh dengan perintah Allah SWT, maka golongan penentang ini berjaya menjatuhkan kerajaan Khalifatul Bani Uthmaniyah Turki dan seterusnya juga dengan kerjasama jahat dan halus dari golongan ini maka sehingga kini bumi Palestin kini terjajah oleh kaum yahudi.


Dan kini, sikap penentangan dan permusuhan serta engkar akan perintah Allah SWT tetap menjadi suatu penyakit di dalam masyarakat beragama Islam termasuklah di negara kita sendiri.


Dalam konteks negara kita iaitu Malaysia, semenjak tanah air kita yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dijajah dan dikuasai oleh kuasa kuffar British, perundangan Islam yang berteraskan hukum dari al-Quran, al-Hadis, as-Sunnah Wal Jamaah dan Ijma' Ulama' telah disisihkan dan diketepikan oleh British dengan cara halus. Maka semenjak dari itulah, tanah air kita mengguna pakai perundangan yang dicipta oleh manusia serta menolak secara halus perundangan syariat.


Namun begitu, masih terdapat dari kalangan umat Islam di tanah air kita yang masih mencintai agama Islam dan telah berusaha semenjak sekian lama untuk kembali mendaulahkan hukum syariat Islam ini untuk dijadikan sebagai asas kepada perundangan negara.


Dengan cita-cita tersebut, golongan yang memperjuangkan hukum Islam ini telah berusaha dengan sedaya upaya untuk memberikan penerangan serta kesedaran kepada umat Islam serta bukan Islam di tanah air kita. Namun demikian, walaupun telah banyak penerangan serta penjelasan yang diberikan, hasrat golongan ini ditentang dan diperkecil-kecilkan oleh golongan yang menentang syariat Islam ini.


Pelbagai alasan diberikan oleh golongan yang menentang syariat ini antaranya ialah hukum syariat ini zalim, mundur dan ketinggalan zaman. Selain itu juga ada yang memberi alasan bahawa hukum syariat ini tidak sesuai dilaksanakan di tanah air kita kerana masyarakat yang pelbagai (majmuk) di tanah air kita.


Kalau di zaman Rasulullah saw dulu Baginda di gelarkan sebagai orang gila dan ahli sihir oleh kaum Musyrikin, kini di negara kita, golongan yang menolak syariat Allah ini dengan pelbagai alasan menggunakan cara yang sama untuk menakutkan orang lain dengan memanggil pemimpin yang ingin mendaulatkan kembali syariat sebagai orang tua nyanyuk. Namun begitu, itu bukanlah satu alasan untuk umat Islam yang cintakan agama tunduk kepada tekanan dari mereka-mereka yang menolak syariat.


Perjuangan untuk kembali mendaulahkan hukum syariat Allah SWT ini wajib diteruskan walaupun menghadapi apa jua tentangan serta rintangan. Musuh Islam sentiasa berusaha untuk menjauhkan umat Islam dari syariat Allah SWT kerana mereka sedar dan tahu bahawa dengan membiarkan umat Islam kembali kepada syariat Islam maka, kekuasaan mereka akan hilang dan pupus.


Musuh-musuh Islam ini sebenarnya sentiasa berada di dalam ketakutan jika roh Islam kembali bertapak di dalam hati sanubari setiap umat Islam. Dan musuh-musuh Islam ini akan menggunakan pelbagai cara untuk menyekat kebangkitan umat Islam termasuklah dengan menggunakan umat Islam sendiri. Antara cara yang digunakan oleh musuh-musuh Islam ini adalah dengan memberikan sedikit kuasa pemerintahan kepada golongan penentang syariat ini dan golongan penentang syariat inilah yang akan digunakan sebagai boneka untuk menghalang kebangkitan umat Islam.


Musuh-musuh Islam ini sentiasa bersikap prejudis terhadap umat Islam kerana kebimbangan mereka akan kebangkitan umat Islam. Lihatlah apa yang pernah diucapkan oleh mereka-mereka ini antaranya bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Dick Cheney; " Mereka (umat Islam) berbicara tentang menegakkan semula apa yang boleh kita gambarkan Khilafah abad ke 7 yang diperintah dengan hukum syarak. Interpretasi Al-Quran yang tegar".


Lihat pula kenyataan bekas Setiausaha Dalam Negeri Britain, Charles Clark pada 6 Oktober 2005; "Tidak boleh ada perundingan mengenai penegakan semula khilafah dan tidak boleh ada perundingan langsung dalam usaha menerapkan hukum syarak".


Manakala John Abizaid pula iaitu Komander Amerika Syarikat di Timur Tengah berkata, "Mereka akan cuba untuk menegakkan semula khalifah bagi seluruh dunia Islam. Kita perlu belajar apa yang mereka inginkan lakukan dari mulut-mulut mereka sendiri",


Hakikatnya, musuh-musuh Islam ini akan sentiasa berusaha untuk mengekang kebangkitan semula daulah Islamiah ini dan boneka mereka untuk melaksanakan agenda jahat mereka ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang berterusan menentang, membantah dan mempertikaikan syariat Allah SWT.


Sama-samalah kita fikirkan serta mengambil iktibar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...