بِسْــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
ABU BAKAR adalah khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah saw dan beliau selalu membenarkan apa saja yang diucapkan oleh Rasulullah saw. Kerana itulah beliau dikenali dengan gelaran as-Siddiq iaitu orang yang selalu membenarkannya.
Meskipun Abu Bakar terkenal kepimpinannya, kejujurannya, namun sebelum beliau menjadi khalifah dan terutamanya pada waktu-waktu permulaan ia memeluk Islam, Abu Bakar tidak terlepas dari kekejaman dan kejahatan kaum kafir Quraisy.
Ketika jumlah orang-orang mukmin di Makkah seramai tiga puluh lapan orang, waktu itu Abu Bakar telah menyokong Nabi saw untuk berdakwah secara terang-terangan, sehinggalah Nabi saw akhirnya menyuruh kaum muslimin secara terang-terangan menerangkan ajaran Islam kepada kaumnya di tengah keluarga masing-masing.
Suatu ketika Abu Bakar r.a berdiri untuk berdakwah, sehingga orang-orang Quraisy bangun dan memukulnya. Waktu itu Utbah bin Rabiah memukul Abu Bakar dengan terompahnya dan memijak perut Abu Bakr sehingga cedera parah.
Orang-orang Bani Taim dating ke Masjid untuk membantu Abu Bakar sehingga orang-orang Quraisy pergi semuanya. Abu Bakar ditutupi dengan kain dan dibawa ke rumahnya sendiri dan Bani Taim itu mengira Abu Bakar pasti mati, kerana itu setelah mereka membawa pulang Abu Bakar ke rumahnya, mereka kembali ke Masjid dan berseru, “Demi Allah, jika Abu Bakar sampai mati, kami akan membunuh Utbah bin Rabiah.”
Tidak hanya itu saja penderitaan yang dialami oleh Abu Bakar, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah r.a katanya, “Sebelum aku dewasa kedua orang tuaku beragama Islam. Kedua orang tuaku dating ke rumah Nabi saw setiap hari.”
Ketika kaum Muslimin memperolehi seksaan dari orang-orang Quraisy, maka Abu Bakar berangkat hijrah ke Habsyah.
Ketika Abu Bakar sampai ke Yaman, beliau bertemu dengan Ibnu Daghnah seorang pemuka Bani Huur.
Ibnu Daghnah bertanya: “Hendak ke manakah kamu hai Abu Bakar?”
“Aku ingin pergi merantau ke mana saja kerana kaumku mengusirku,” jawab Abu Bakar.
Jawab Abu Daghnah: “Orang seperti kamu tidak boleh keluar dan tak boleh diusir, kerana kamu adalah seorang penolong orang yang dalam kesusahan, penyambung tali kerabat, menanggung anak yatim, memuliakan tamu dan orang yang selalu memberikan keutamaan kepada orang yang ditimpa kemalangan. Kerana itu, pulanglah kamu sekarang juga ke Makkah dan sembahlah Tuhanmu sesukamu dan aku menjadi pelindungmu.”
Setelah itu Abu Bakar kembali ke Makkah dengan ditemani oleh Ibnu Daghnah.
Ibnu Daghnah pada petang harinya berkeliling Kota Makkah dan berseru kepada pemuka bangsa Quraisy: “Orang seperti Abu Bakar tidak layak untuk dikeluarkan dari tempatnya. Layakkah kamu mengusir seorang yang selalu menolong orangyang sedang dalam kesusahan, suka menghubungi tali kerabat, suka menanggung anak yatim, suka menghormati tamu dan memberikan bantuan kepada orang yang susah?” Selanjutnya Ibnu Daghnah bersumpah bahawa dia yang akan menjadi pembela Abu Bakar.
Jawab orang Quraisy: “Kami terima pembelaanmu terhadap Abu Bakar, namun suruhlah dia untuk bersolat di rumahnya dengan tidak beribadah secara terang-terangan kerana kami takut hal itu akan mempengaruhi kaum wanita dan anak kecil.”
Kemudian Ibnu Daghnah minta Abu Bakar untuk tidak terang-terangan dalam beribadah dan permintaan itu dihormati Abu Bakar dengan membina sebuah masjid kecil di samping rumahnya dan beliau bersolat sendirian di dalamnya.
Biasanya Abu Bakar setiap kali membaca ayat Al-Quran selalu menangis dan membacanya dengan suara yang kuat. Perbuatan Abu Bakar dilihat oleh anak-anak kecil dan kaum wanita sehingga mereka sangat takjub sekali akan keindahan bacaannya.
Kaum Quraisy takut bila hal ini dibiarkan pasti akan membawa pengaruh yang tidak baik, kerana itu mereka memanggil Daghnah agar dating ke Makkah untuk mereka laporkan perbuatan Abu Bakar itu kepadanya.
Ketika Ibnu Daghnah sampai, mereka berkata kepadanya, “Kami telah melindungi Abu Bakar dengan pembelaanmu terhadapnya dengan syarat tidak terang-terangan dalam beribadat, namun dia membangunkan Masjid di samping rumahnya dan menguatkan bacaannya sehingga kami takut hal itu akan mempengaruhi kaum wanita dan anak kami. Kerana cegahlah dia agar tidak melakukan perbuatan seperti itu. Kalau dia mahu menerima syarat ini, teruskan perlindunganmu padanya, tetapi jika tidak mahu, cabutlah perlindungan itu, kerana kami tidak senang kalau Abu Bakar berbuat secara terang-terangan.”
Kata Aisyah: “Ketika itu Ibnu Daghnah dating kepada Abu Bakar dan berkata: “Sebagaimana kamu ketahui bahawa syarat perlindungan yang kuberikan padamu hanya dengan syarat kamu akan ibadat dalam rumah saja tidak terang-terangan. Kerana itu bila tak sanggup melakukan syarat itu aku minta agar kamu kembalikan saja padaku, kerana aku takut dikata orang Arab bahawa aku memungkiri janji pada orang yang telah kuberikan perlindungan padanya.”
Kata Abu Bakar: ”Kalau begitu, aku kembalikan saja perlindunganmu itu dan aku serahkan diriku hanya kepada Allah saja.”
Seketika itu juga Ibnu Daghnah pergi menemui orang Quraisy dan berseru: “Hai orang Quraisy, sekarang Abu Bakar telah mengembalikan perlindungannya padaku, dan kini terserah kamu sekelian tentang dirinya.” Dan ketika Abu Bakar keluar dari perlindungan Ibnu Daghnah beliau bertemu dengan salah seorang pemuka Quraisy dan Abu Bakar dilemparkan tanah di atas kepala.
Demikian penganiayaan orang-orang kafir Quraisy terhadap orang yang terkenal kebaikannya dalam masyarakat pada waktu itu.
No comments:
Post a Comment