بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
MINDA PENULIS baru berkesempatan menonton sebuah filem melayu yang baru saja lepas ditayangkan di pawagam dan kini sedang ditayang pula di Astro. Filem yang Minda Penulis maksudkan adalah filem Bini Biniku Gangster yang diarahkan oleh Ismail Bob Hasim terbitan Metrowealth Pictures Sdn Bhd.
Filem komedi aksi yang mengisahkan seorang lelaki bernama Hairi lakonan Shaheizy Sam, mempunyai seorang isteri bernama Manja (Yana Shamsudin) yang baik dan taat kepada suami (Hairi). Memandangkan Manja tidak mampu untuk memberikan suaminya anak, beliau telah mengizinkan suami untuk berkahwin seorang lagi dengan Reanna (Intan Ladyana).
Dalam filem yang berlatar belakangkan kisah permusuhan antara dua kumpulan konsi gelap dimana kedua-dua isteri Hairi adalah orang kanan kepada kedua-dua kongsi gelap tersebut.
Minda Penulis tidak berhajat untuk mengulas lanjut jalan cerita filem tersebut dan Minda Penulis serahkan kepada penonton sendiri untuk menonton filem tersebut. Cuma pada entri ini, Minda Penulis ingin meluahkan rasa kekesalan kerana apa yang yang Minda Penulis lihat, penerbit-penerbit, pengarah dan pelakon filem melayu di negara kita ini yang rata-ratanya beragama Islam masih lagi kurang kefahaman tentang agama Islam.
Bukan niat Minda Penulis untuk memalukan para penerbit, pengarah dan pelakon kita, tetapi hakikatnya Minda Penulis lihat mereka ini memalukan diri sendiri dan agama Islam mungkin secara tidak sengaja akibat dari kurangnya pemahaman tentang sensitiviti agama Islam.
Minda Penulis rasa tidak perlu untuk memperincikan semua sekali kesilapan dalam filem tersebut kerana rata-rata di kalangan umat Islam tahu dan faham apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam agama Islam walaupun ianya hanya sebuah lakonan. Minda Penulis Cuma ingin mengulas satu sahaja babak dalam filem tersebut yang pada pandangan mata Minda Penulis adalah tidak sopan dan sepatutnya dielakkan.
Jika sebelum ini, industri perfileman negara heboh dengan isu penghinaan terhadap Rasulullah saw dalam filem Hantu Bonceng, kali ini pula filem Bini Biniku Gangster juga nampaknya tidak terlepas dengan perbuatan yang tidak menghormati kesucian Islam. Dalam satu babak filem tersebut yang memaparkan majlis perkahwinan antara Hairi dan Reanna di sebuah masjid, kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku adalah babak selepas selesai majlis akad nikah secara tiba-tiba Hairi bangun berdiri dan berjalan ke arah Reanna dan secara tiba-tiba menjerit dan mendukung Reanna.
Adalah satu perbuatan yang tidak sopan dan biadap bilamana Hairi menjerit di dalam masjid. Sebagai sebuah tempat ibadah dan merupakan rumah Allah, perbuatan menjerit di dalam masjid adalah merupakan satu perbuatan yang tidak sopan dan mencemarkan kesucian serta kemurnian rumah Allah, begitu juga perbuatan mendukung perempuan. Walaupun dalam filem ini menggambarkan Hairi mendukung isterinya yang sah tetapi kita perlu sedar bahawa realitinya mereka adalah bukan mahram. Jika di luar masjid, perbuatan menyentuh perempuan bukan mahram tanpa sebab yang diharuskan syara’ adalah tidak dibenarkan apatah lagi bila perbuatan tersebut dilakukan di dalam masjid.
Minda Penulis berharap agar selepas ini, para penerbit serta pengarah filem lebih peka lagi dengan sensitiviti agama. Sekiranya satu-satu babak yang perlu dilakonkan di dalam masjid atau surau, penerbit dan pengarah perlulah memastikan agar ianya menjaga kesucian serta kemurnian rumah Allah itu. Adalah menjadi harapan agar selepas ini, tiada lagi insiden-insiden yang memalukan dan menghina agama tidak kiralah agama apa sekalipun.
No comments:
Post a Comment