بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Arkib : 15/02/2008 - Utusan Malaysia Online
Empat projek RM170j majukan Bachok
BACHOK 14 Feb. - Selaras dengan slogan 'Bachok Baru, Bachok Maju', kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan lonjakan pembangunan berganda melalui pelaksanaan empat projek utama bernilai kira- kira RM170 juta yang akan dimulakan secara berperingkat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jajahan itu akan muncul sebagai kawasan termaju dan menjana kegiatan ekonomi yang pesat termasuk melalui pembinaan hospital daerah dan kolej kejururawatan yang dijangka menelan belanja RM60 juta.
Selain itu katanya, Kolej Profesional Mara di Beris Kubur Besar sebanyak RM40 juta akan turut dibangunkan dan pembesaran muara Kuala Kemasin sebanyak RM60 juta bagi menggerakkan industri perikanan .
''Ini tidak termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tangok di sini yang menelan belanja peringkat awal sebanyak RM130 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pencawang Masuk Utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kandis di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
"Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti lokasi untuk pembinaan hospital dan kolej kejururawatan itu manakala Kolej Profesional Mara dalam proses pengambilan tanah dan projek di Kuala Kemasin akan bermula 22 Februari ini," katanya.
Awang yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, segala pembangunan itu bukannya hanya sekadar janji pilihan raya tetapi ia akan dikotakan demi kesejahteraan rakyat Bachok yang masih dikategorikan sebagai jajahan mundur .
"Tolong beri kepercayaan kepada BN untuk masa depan anak cucu dan generasi akan datang. Saya sendiri tiada sebarang kepentingan, melainkan ikhlas untuk membantu.
"Kalau mahu hidup selesa tanpa memikirkan masalah orang lain, saya sudah pun merasainya sebelum ini ketika bekerja di Bank Negara. Saya berhenti pada tahun 2001 dengan gaji pada masa itu sebanyak RM21,000 sebulan, memang sudah cukup selesa untuk keluarga saya,'' ujarnya.
Bagaimanapun katanya, beliau menyertai politik kerana mahu mengubah nasib penduduk kawasan Bachok kerana berasa sedih apabila setiap kali pulang ke kampung, nasib mereka tidak pernah berubah.
Komen Minda Penulis: Tahun 2008, Awang Adek buat janji nak bina hospital di Bachok. Sekarang tahun 2011 dah semakin hampir ke penghujung tapi bayang hospital pun masih belum kelihatan. Tiga tahun sudah berlalu tapi segala yang pernah dijanjikan entah ke mana. Jangan berjanji hanya sekadar untuk memenangi pilihanraya. Tunaikan dulu segala janji tersebut kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
No comments:
Post a Comment