Powered By Blogger

Saturday, November 12, 2011

Syarahan Iblis Dalam Neraka


بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
 
DALAM sebuah hadis diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai ke neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar daripada api, dipakaikan pakaian daripada api, bermahkota daripada api dan diikat iblis dengan tali daripada api.
 
Ketika itu terdengarlah suara menyeru iblis: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka!"
 
Iblis pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai penghuni neraka! Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik! Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan janji yang benar dan bahawa kamu semua mati, akan dihalau dan dihisab untuk menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan lagi ke neraka Sa'ir..."

Semua penghuni neraka mendengar segala ucapan iblis yang menjadi ketua mereka. Iblis menyambung: "Kamu semua menyangka bahawa kamu tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia selama-lamanya.
 
"Tidak! Tidaklah ada bagiku kekuasaan ke atasmu melainkan aku hanya mengganggu dan memperdaya kamu semua dengan tipu muslihat. Akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu.
 
"Oleh itu, janganlah kamu mengumpat dan mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri kerana sesungguhnya kamu sendirilah lebih berhak mengumpat daripada aku mengumpat."
 
Iblis terus berucap sambil menyoal kebodohan penghuni neraka. Sambil menempelak, iblis mengakui Allah yang paling berkuasa menciptakan segala sesuatu.
 
"Mengapa kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan Dialah Allah yang menciptakan segala sesuatu?" soal iblis.
 
Iblis mengakhiri syarahannya dengan berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari ini aku telah terlepas daripada apa yang telah aku katakan kepada kamu dahulu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari hadrat Tuhan, seru sekelian alam."

Setelah itu iblis dipukul oleh malaikat Zabaniah dengan tombak daripada api dan jatuh ke neraka paling bawah. Kekal iblis di situ bersama-sama dengan pengikut setianya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...