Powered By Blogger

Saturday, November 26, 2011

Mangsa Banjir Di Kelantan Menurun

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
KEADAAN banjir di Kelantan petang ini sedikit reda apabila jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 1,817 orang dari 502 keluarga petang ini berbanding 1,892 orang pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka juga berkurangan kepada 22 berbanding 32 pagi tadi.

"Sehingga petang ini (25 Nov 2011), lima pusat pemindahan di daerah Kuala Krai dan Machang telah pun ditutup menjadikan hanya enam daerah lagi yang masih terlibat dengan bencana banjir.

"Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah pusat pemindahan paling banyak iaitu 11," katanya.

Beliau memberitahu sehingga kini hanya sungai utama di Kelantan, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, masih berada pada paras bahaya.

Jurucakap itu berkata jumlah laluan yang ditutup juga berkurangan kepada enam berbanding lapan pagi tadi.

Laluan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah di Machang iaitu Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata; di Pasir Mas iaitu Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram; di Tanah Merah iaitu Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh; dan di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti.

"Hanya satu laluan ditutup kepada kenderaan ringan, juga di Tumpat membabitkan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...