Powered By Blogger

Wednesday, April 25, 2012

Tok Khurasan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KOTA BHARU, Ibu Negeri Cik Siti Wan Kembang sekitar awal abad 20 yang lalu, mencatat sejarah gemilang sebagai pusat pengajian hadits yang ulung, bukan sahaja di Kelantan Darul Naim, tetapi juga di seluruh Asia Pasifik ini.

Tidak pernah terfikir samada pemimpin politik mahupun rakyat biasa, negeri Kelantan bertuah menerima kehadhiran seorang muhaddits besar dari Khurasan, sebuah negeri kecil di bawah kerajaan Republik Islam Iran yang seuatu ketika dahulu melahirkan ribuan pengembara hadits dan ulamak dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Muhaddits ini, sekitar tahun 1911 dan 1912 Masehi tiba-tiba tergerak hatinya untuk merantau ke Kelantan dan berdagang mencari rezeki yang halal. Ia memilih kampung Sireh, sebuah desa yang terletak di pinggir sungai Kelantan, pada mulanya sebagai tempat berteduh, tetapi akhirnya berkembang menjadi sebuah halaqah hadits yang bergema padanya istilah-istilah hadith seperti "Haddatsana" atau "Akhbarana". Halaqah ini kemudiannya makin makmur apabila di kunjungi ratusan ulamak dari seluruh negeri yang cintakan ilmu dari sumbernya yang asli dan jernih. Nama-nama kitab seperti "Misykaatul Mashoobih" karya Imam Waliyuddin Attabriizi (wafat 737H), "Assunanun Sittah" dan sumber-sumber bacaan yang lebih terautoriti tidak kerap diperdengarkan dalam mana-mana halaqah yang pernah diadakan sebelum ini, kerana kitab-kitab yang sering ditatap, ditadah dan ditela'ah adalah berkisar sekitar kitab-kitab karangan ulamak mutaakhirin (kebelakangan) dan ulamak Nusantara (dalam bahasa melayu). Manakala kitab-kitab karangan ulamak mutaqaddimin (yang dahulu) terbatas sekali penggunaannya.

Nama penuh tokoh ini ialah Sayyid Hasan bin Sayyid Noor Hasan Al-Khurasaani, dilahirkan di Pakistan pada tahun 1875M, dan meninggal dunia di Kelantan pada tahun 1944M. Pangggilan ringkas ialah Tok Khurasan atau disebut Maulana sahaja. Beliau mendapat pendidikan awal dan lanjutan di Diuband India, sebuah pusat pengajian hadits yang ulung dari aliran Hanafi, satu aliran yang lebar pengaruhnya di benua kecil India. Pengasas pusat pengajian ini ialah Maulana Muhammad Qasim Annaanuutuwi (1831M -1879M) bersama-sama murid kanannya Mahmud Al-Hasan yang akhirnya dikenali dengan jolokan Syeikh Al-Hindi (1851M-1920M). Jalan sanad dan salsilah hadith bersambung kepada Imam Al-Mujaddid Syah Waliyyullah Addahlawi(1703-1763M) melalui Syah Abdul Ghani Al-Mujaddidi (meninggal 1227H). Tok Khurasan merupakan salah seorang murid kepada Syeikh Al-Hindi ketika di pusat pengajian itu dan seperguruan Maulana Ubaidillah Assanadi(1870-1943M) yang pernah diburu penjajah Inggeris dan juga guru kepada Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Wan Musa (1900-1935M), seorang ahli hadits dan ulamak besar dari Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sempat berguru dengan Tok Khurasan
Sumber-sumber riwayat menyebutkan Tok Khurasan pada mulanya dikenali sebagai seorang peniaga kain dalam sebuah syarikat yang di urusnya besar bersama kawan-kawannya, termasuk sepupunya yang juga berasal dari Khurasan. Pasaran perniagaan meluas hingga keseluruh negeri Kelantan (lihat Ismail Cik Daud, Maulana Tok Khurasan, Pengasuh bilangan 489). Tidak ramai pelanggannya yang mengetahui siapa sebenarnya penjual kain dari keturunan Khurasan itu, walaupun pengurusan dan hubungannya dengan pelanggan berbeza dengan penjual-penjual kain yang lain. Keilmuannya tentang hadits Rasulullah S.A.W dan urusan jual beli yang berpandukan jual beli secara Islam, mungkin antara faktor yang menarik lebih ramai pelanggan yang datang ke kedainya. Antara mereka yang sering berkunjung ialah Haji Nik Wan Musa bin Ab. Samad, mufti kerajaan Kelantan yang juga seorang ulamak besar dan ahli sufi yang disegani dari Tarikat Ahmadiyyah. Hubungan antara Haji Nik Wan Musa dengan Tok Khurasan menjadi lebih erat apabila mereka dipertemukan atas landasan Al-Qur'an dan As-sunnah. Haji Wan Musa mengkagumi kebolehan dan keilmuan Tok Khurasan dalam hadits hingga akhirnya beliau datang dengan beberapa orang sahabatnya seperti Haji Yaakub bin Haji Ahmad, Haji As'ad Hj Daud, Haji Nik Mat Alim dan lain-lain untuk hadhir menadah kitab-kitab hadits yang belum ada pengajian seumpamanya di Kelantan sebelum itu.

Pengajian Islam di Kelantan sebelum kehadhiran Tok Khurasan sudah lama wujud dan beropersai dengan baik, tetapi sayangnya pengajian itu tertumpu kepada ilmu-ilmu Nahu Arab, Feqah dan Tasawuf, manakala Ilmu Hadits yang meliputi kajian sanad dan matan, penyelidikan tentang shohih dan dhaif, layak dan tidak layak dijadikan dalil sekali dipelajari. Untuk melihat betapa melesetnya pengajian hadits di Kelantan dalam tempoh ini, sila perhatikan kitab-kitab seperti Manjatul Qariibul Mujiib, karangan Tuan Tabal atau nama sebenarnya Ab. Samad bin Muhammad Saleh (1840-1891M) dan Jauharul Mauhuub karangan Hj Wan Ali Kutan bin Wan Ab. Rahman Kutan (1912M). Kandungan kitab-kitab ini menunujukkan nasib pengajian hadits begitu malang jika dibandingkan dengan nasib pengajian Tarikat dan Tasawuf yang bercampur aduk dengan tiori-tiori falsafah. Jika tidak kerana keterbatasan ruangan, penulis akan memetik beberapa perenggan daripada kitab-kitab itu, sekadar membuktikan betapa pengajian hadits yang betul jauh terpinggir dalam tulisan-tulisan mereka. Pada penilaian penulisan, kandungan dua buah kitab di atas tidak mencerminkan kesegaran pengajian hadits ddalam penyelidikan dua orang ulamak besar dari Kalantan itu.

Perubahan dalam masyarakat Islam di negeri Kelantan dan peningkatan tahap pencapaian ilmu serta kematangan berfikir dikalangan ulamak selepas zaman Tok Khurasan begitu ketara, apabila ulamak rata-rata mencari penyelesaian hukum melalui hadits. Mereka juga mula mempersoalkan nilai-nilai hadits yang dijadikan dalil atau hujjah, samada shohih atau dhoif, malah kelahiran kaum-kaum tua dan muda di Kelantan dalam dekad 30an yang lalu, adalah hasil kesedaran ilmiah yang dicetus pada mulanya dalam halaqah hadits yang dibimbamg oleh Tok Khurasan dan kemudiannya tersebar melalui murid-muridnya seperti Haji As,ad Kangkong, Haji Yaakub Gajah Mati, Haji Nik Mat Alim, Haji Abdullah bin Haji Nik Wan Musa dan lain-lain. Antara tajuk yang sering dipolimikkan ini, walaupun kelihatan remeh, tetapi hakikatnya menunjukkan suatu kesedaran telah bermula kearah kebebesan berfikir serta menjadi keputusan hukum syariat daripada mata airnya yang jernih, iaitu Al-Qur'an dan Assunatun Nabawiyyah.


Pada hemat penulis, perbezaan pemikiran antara kaum tua dan muda dalam dekad ini adalah lanjutan kepada pemikiran yang dibawa oleh Tok Khurasan dari Madrasah Syah Waliyyullah Addahlawi, iaitu menghapuskan taklid buta serta mengembalikan umat Islam kepada semangat ijtihad. Menurut Mas'ud Annadawi yang mengggarap pemikiran Imam Waliyyullah Addahlawi : ada dua isu utama yang melemahkan kedudukan umat Islam dan perlu diselesaikan segera, iaitu :
1) Kemerosotan akhlak dan penyelewengan akidah.
2) Wujudnya krisis umat yang menghancurkan perpaduan.

Sebagai bukti pemikiran Tok Khurasan itu datangnya dari Madrasah Syah Waliyyullah Addahlawi ialah wujudnya persamaan haluan pengajaran antara pengajaran Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Wan Musa, murid kepada Maulana Ubaidillah Assanadi, yang menjadi rakan seperguruan Tok Khurasan semasa menuntut di Darul Ulum Diuband. Mereka sama-sama menentang amalan bid'ah serta mengajak umat Islam kembali kepada Al-Qur'an dan Assunnah dan menyeru ulamak supaya menghidupkan semangat ijtihad. Bagi meneruskan hasrat ini, langkah-langkah positif telah diambil oleh Haji Nik Abdullah seperti menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang diberi nama Madrasah Al-Islah untuk membebaskan pemikiran umat Islam dari belenggu ta'sub dan kejumudan berfikir ( Abdul Hayie Abdul Syukur, sumbangan Syah Waliyyullah Addahlawi kepada pengajian hadits dan pengaruhnya di Kelantan, tesis PHD 1988, Halaman 229).

Beliau juga bercita-cita menubuhkan sebuah balai kajian Islam untuk memperluaskan khidmat dan penyebaran pemikirannya. Bagaimanapun hasrat ini tidak tercapai, kerana beliau lebih dahulu dijemput menyahut panggilan Ilahi ketika baru berusia 35 tahun, iaitu pada tahun 1935M. Hasrat dan cita-cita beliau yang besar ini tidak dapat disambung pembantu-pembantunya yang terdiri daripada keluarganya seperti Haji Nik Mahmud dan Haji Nik Muhyidin Musa yang pada ketika itu terlalu awal dengan matlamat penubuhan balai Islam ini.

Walaupun Halaqah hadits yang disemai oleh Tok Khurasan tidak dapat bertahan lama, kerana tiada penggantinya yang mampu membawa mesej yang serupa, namun pada hemat penulis, zaman ini boleh dianggap sebagai zaman keemasan bagi pengajian hadits di negeri Kelantan. Bahkan usaha-usaha Haji Nik Abdullah ini dapat diteruskan oleh murid-murid Tok Khurasan, nescaya pemikiran umat Islam dirantau ini akan lebih terbuka dan nasib pengajian hadits di Kelantan juga tidak semalang yang disaksikan pada hari ini.

Sesungguhnya negeri Kelantan begitu terhutang budi kepada jasa bakti yang ditabur oleh Tok Khurasan dalam pengajian hadits. Riwayat hidup beliau wajar dicatat dengan tinta emas, tetapi sayang ramai tidak menghargainya. Bagaimanapun penulis merasa lega apabila mendapat berita bahawa kerajaan negeri Kelantan pimpinan yang berhormat Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menghidupkan kembali sekolah-sekolah Pondok yang terkubur sekian lama. Lebih meyakinkan lagi apabila pendidikan YB Datuk Haji Nik Ab Aziz sendiri bertemu dengan pendidikan Tok Khurasan apabila mereka sama-sama mendapat ijazah hadits dari madrasah dan universiti yang sama, sekalipun pada masa dan usia yang jauh berbeza. Selain itu, kenangan manis kepada suatu zaman yang lalu, iaitu semasa usia kecil YB Datuk Menteri Besar pernah dibawa oleh bapanya menghadhiri halaqah hadits Tok Khurasan tentunya masih segar dalam ingatan. Bak kata pepatah "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain".

Pada masa-masa yang akhir ini suara-suara sombong terhadap kemurnian hadits sebagai sumber hukum dalam Islam sering diperkatakan. Kewibawaan Imam Bukhari dan Muslim terus dilapah, selain ulamak dan pemimpin juga kadang-kadang terikut-terikut dengan arus yang ada pasang surutnya. Maka penulis dalam kesempatan ini ingin menyatakan pendapat ada baiknya jika sebuah pusat pengajian hadits didirikan di Kelantan untuk menyambung hasrat dan usaha baik Tok Khurasan pada suku abad yang lalu.Pusat ini jika boleh, diabadikan nama Tok Khurasan dengan memakai nama misalnya "Darul Hadits Al-Khurasaniah" yang sanad pengajian sama dengan universiti-universiti seperti Darul Hadits Al-Husainiah di Maghribi dan Kuliah Hadits Assyarif di Universiti Madinah. Pengajian seumpama ini begitu penting dalam usaha menghidupkan semula sunnah Rasulullah S.A.W, apa lagi jika zaman orang yang berpegang kepadanya bagaikan orang yang memegang bara api.

Dalam sebuah hadits yang diriwayat oleh Imam Abu Bakar Al-Baihaqi dalam kitabnya Sunan Al-Mustafa, daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda;

Maksudnya: Tiga perkara, sesiapa yang menunaikannya dengan ikhlas dan mengharapkan pahala, nescaya Allah membantu dan memberkati usahanya: orang yang membebaskan belenggu perhambaan, orang yang berkahwin dan orang yang menghidupkan bumi yang mati.

Tidak diragui bahawa menghidupkan pondok-pondok yang mati, sama penting seperti menghidupkan bumi yang sudah mati, kerana semua usaha ini akan memberi pulangan yang menguntungkan, malah lebih penting lagi jika pondok yang hendak dihidupkan itu akan menghidupkan semula sunnah Rasulullah S.A.W yang sekian lama terkubur dibumi Kelantan bersama-sama terkuburnya Maulana Tok Khurasan. Didoakan moga-moga Allah mencucuri rahmatnya keatas roh beliau serta menghimpunnya bersama-sama roh para nabi, Shiddiiqin, Syuhada' dan Sholihin. Amin!.

2 comments:

God's servant said...

Nama Darul Hadith Al khurasaniah itu sebenarnya telah pon ada terpampang pada surau lama di kg Sirih Bawah Lembah sebelum masjid baru Masjid Maulana Khurasan di bena tahun 1990an - Naaman Jaafar

God's servant said...

Nama Darul Hadith Al khurasaniah itu sebenarnya telah pon ada terpampang pada surau lama di kg Sirih Bawah Lembah sebelum masjid baru Masjid Maulana Khurasan di bena tahun 1990an - Naaman Jaafar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...