Powered By Blogger

Tuesday, April 3, 2012

Tegahan Meratapi Kematian

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


ALLAH SWT menciptakan manusia dan mengutus pada mereka para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan khabar gembira dan memberi peringatan serta menunjukkan jalan yang lurus. Allah SWT telah memberitahu kita bahawa Dia akan menguji hamba-Nya untuk menguji iman mereka agar diketahui mana orang yang sabar dan mana yang berkeluh resah. Firman Allah SWT (maksudnya):
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayat-Nya.” [Al-Baqarah: 155-157]

Apabila Islamnya seseorang itu, Mu’min itu wajib redha terhadap qada’ dan qadar; samada yang baik mahupun yang buruk. Rasulullah s.a.w melarang keras umatnya dari mengeluh serta meratapi akan nasib sekiranya orang itu mendapat nasib yang buruk.
Diriwayatkan dari Abu Burdah, dia bercerita, “Abu Musa al-Asy’ari r.a menderita sakit. Dia tidak sedarkan diri di pangkuan isterinya. Isterinya pun menjerit kerana sedih, sedangkan Abu Musa tidak mampu melarangnya sedikitpun. Ketika sudah siuman (sedar), dia berkata, “Saya bebas dari orang yang Rasulullah s.a.w bebaskan dirinya darinya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bebas dari wanita yang menjerit-jerit, mencukur rambutnya dan merobek-robek pakaiannya ketika ditimpa musibah.” [HR Imam Bukhari dan Imam Muslim]
Sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya): “Saya melarang dua suara bodoh dan membawa dosa. Pertama, suara ketika menyanyi, iaitu suara hiburan, permainan dan seruling syaitan. Kedua, suara di saat ditimpa musibah, iaitu mencakar-cakar wajah, merobek-robek pakaian dan berteriak-teriak untuk meluahkan kesedihan.” [HR Imam at-Tirmizi]

Meratap ditegah dalam Islam kerana perbuatan tersebut menyerupai perbuatan kaum musyrikin
Perbuatan meratap dan menjerit-jerit adalah merupakan suatu musibah kepada simati dan keluarganya. Menjadi suatu tanggunjawab bagi orang yang melihat perbuatan meratap dan meraung ini untuk membuat teguran dan nasihat.

Dalam satu kisah yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Auza’i dalam kitab al-Kaba’ir karya Imam az-Zahabi menceritakan kisah Khalifah Umar al-Khattab pernah memukul seorang wanita yang sedang meratap dan beliau berkata, “Saya memukulnya kerana dia meratap dan tidak ada kehormatan baginya. Dia menangis bukan kerana kesedihan kamu semua. Akan tetapi, dia mengalirkan air mata untuk mengambil dirham kamu semua. Sesungguhnya dia menyakiti orang yang mati di kalangan kamu semua di dalam kubur mereka dan juga menyakiti orang yang masih hidup di kalangan kamu semua di rumah mereka. Dia menghalang kesabaran yang diperintahkan Allah SWT dan menyeru kesedihan yang dilarang-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya):
“Bukan termasuk golongan kami orang yang menampar pipi, merobek pakaian dan menyeru dengan seruan jahiliah ketika ditimpa musibah.” [HR Imam Bukhari dari Abdullah bin Mas’ud]

Sepatutnya bagi orang yang melihat suatu kesedihan serta ujian yang menimpa saudaranya, dapat menghiburkan keluarga simati tersebut, agar tetap sabar dengan ujian dari Allah SWT tersebut. Diriwayatkan dari ‘Amru bin Hazm dari Nabi s.a.w, sabda baginda yang bermaksud:
“Seorang Mu’min yang menghiburkan saudaranya agar bersabar terhadap musibah, maka Allah akan mengenakan untuknya pakaian karamah pada Hari Kiamat.” [HR Ibnu Majah]

Rasulullah s.a.w juga bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah tidak mengazab kerana air mata yang bercucuran dan hati yang bersedih. Akan tetapi, Allah mengazab atau mengasihi kerana ini.” Rasulullah s.a.w menunjuk ke arah lisannya. [Bahagian dari Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim]
Rasulullah s.a.w sendiripun menangis ketika saat anak lelakinya yang bernama Ibrahim meninggal dunia, air mata bercucuran dari kelopak mata baginda. Lalu Abdul Rahman bin ‘Auf berkata kepada baginda, “Ya Rasulullah, kamu pun melakukan ini?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Wahai Ibnu ‘Auf! Air mata ini merupakan bukti kasih sayang.“ Para sahabat pun kemudiannya turut menangis. Rasulullah s.a.w bersabda “Mata ini mencucurkan airnya dan hati ini bersedih. Kita tidak mengucapkan kecuali yang diredhai oleh Tuhan kita. Sesungguhnya, kami bersedih atas pemergianmu, wahai Ibrahim.” [HR Imam Bukhari dari Anas r.a]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...