Powered By Blogger

Friday, April 6, 2012

Tegahan Lari Dari Medan Jihad

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERANI termasuk karakter istimewa orang-orang Mukmin. Berani dalam melakukan dan berterus terang dalam menyatakan sikap. Ertinya, seorang Mukmin tidak takut pada sesiapa pun selain pada Allah SWT. Firman Allah SWT (maksudnya):
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk," [At-Taubah: 18]

Bagi mereka-mereka yang berjuang (mujahid) di medan perang pada jalan Allah, Allah SWT telah memberikan janji dengan salah satu di antara dua kebaikan, iaitu kemenangan atau mati syahid.  Bertolak dari sini, terbentuklah puncak ketegaran di medan jihad. Kita juga mengetahui perkara yang sebaliknya, iaitu melarikan diri dari medan jihad, adalah pengkhianatan besar dan jiwa pengecut yang membahayakan umat. Allah telah memperingatkan kita dari perbuatan ini dan mengancam orang yang melakukannya dengan tempat kembali yang buruk, kerana perkara itu dapat mengakibatkan kekalahan dan penghinaan terhadap orang Muslimin. Allah SWT berfirman (maksudnya):
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali dia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan atau hendak menyatukan diri dengan pasukan lain, maka sesungguhnya dia tetaplah mendapat kemurkaan Allah dan tempatnya ialah Neraka Jahanam; sedang Neraka Jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali." [ An-Anfak: 15-16]

Medan jihad kadangkala menuntut sebahagian strategi untuk manfaat orang Muslimin. Berdasarkan pada masalah ini, nas Al-Qur'an yang mulia memberikan pengecualian terhadap dua golongan dalam perkara ini. Pertama, golongan yang berundur untuk strategi perang. Perkara ini dinamakan seni berperang dengan cara menyerbu dan mengelilingi untuk mengawal bilangan atau melindungi tempat tertentu. Kedua, golongan yang berundur untuk bergabung dengan pasukan lain dari rakannya dalam berperang memerlukan perlindungan mereka.

Rasulullah s.a.w memperingatkan kita agar tidak melarikan diri pada saat perang berkecamuk. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
"Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan! Para sahabat bertanya, 'Apa itu, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, 'Syirik pada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali kerana alasan yang dibenarkan, memekan riba, memakan harta anak yatim, meninggalkan medan perang dan menuduh wanita Mukminah yang baik-baik telah berzina," [HR Imam Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya orang yang melakukan tujuh perkara yang merosakkan termasuklah lari dari medang perang itu akan menyesal pada Hari Kiamat. Allah SWT mengancam mereka dengan tempat kembali yang buruk dan kerugian yang nyata. Sebabnya mereka telah mendurhakai Allah dan Rasul-Nya serta mengkhianati janji.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...