Powered By Blogger

Saturday, April 21, 2012

Siapa Kena Tibai?

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

TERTARIK membaca laporan berita akhbar tentang kewujudan sebuah kelab menentang Ketua Pembangkang, Datik Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai).

Kelab yang diketuai oleh Muhammad Zahid Md Arip itu ditubuhkan bersama oleh 28 individu antaranya, Ezam Mohd Noor, Datuk Zulkifli Nordin, S. Nallakarupan, Wee Cho Keong, Anuar Shaari, Ruslan Kassim, Aminah Abdullah, Hamidzun Khairudun, Rahimi Osman dan Ng Lum Yong.

Tidak kisahlah nak tubuhkan apa sekalipun. Cuma apa yang agak menarik perhatian Penulis, adalah wujudnya jawatan Mursyidul Am dalam kelab tersebut yang disandang oleh Muhammad Zahid Md Arip sendiri.

Penulis rasa, mereka-mereka yang menubuhkan kelab ini sebenarnya tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan 'Mursyidul Am' dan apakah kriteria yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang itu untuk dipilih menyandang jawatan tersebut. Setahu penulis, maksud perkataan 'Mursyidul' ini diambil dari perkataan mursyid dan ianya dikaitkan dengan guru-guru agama yang terbukti memiliki pengetahuan yang tinggi dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam. Dari situlah maka wujudnya jawatan "Mursyidul Am' yang setakat ini digunakan oleh gerakan-gerakan Islam di dunia ini, antaranya Ikhwanul Muslimin dan PAS.

Dunia mengetahui Ikhwanul Muslimin diiktiraf oleh dunia Islam sebagai sebuah gerakan Islam dan gerakan tersebut memiliki Mursyidul Amnya sendiri. Begitu juga dengan PAS yang turut diiktiraf oleh dunia Islam sebagai sebuah gerakan Islam yang mana Mursyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sememangnya diiktiraf sebagai antara individu Islam yang paling berpengaruh. Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga amat dihormati oleh ulama'-ulama' luar negara sebagai seorang tokoh yang mempunyai ilmu yang tinggi. Maka selayaknyalah jawatan tersebut disandang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Penulis tertanya-tanya, apakah kriteria yang digunapakai untuk mengangkat Muhammad Zahid ini sebagai 'Mursyidul Am'? Setakat manakah ilmu agama yang dimilikinya itu? Adakah ilmunya itu memberi manafaat kepada ramai umat Islam sehingga melayakkan dia digelar al-Mursyidul Am? Terserahlah kepada masyarakat untuk membuat penilaian.

Satu lagi perkara yang menarik rasa ingin tahu Penulis adalah bilamana Muhammad Zahid ditanya oleh wartawan, bagaimana untuk menjadi ahli kelab itu. Mengikut laporan akhbar, Muhammad Zahid menyatakan cukup mudah untuk menjadi ahli, iaitu cukup dengan hanya niat di dalam hati, "Sahaja aku sertai Tibai kerana Allah Taala".

Kalau orang Islam yang mahu jadi ahli bolehlah berniat macam tu. Tapi macamana pula dengan orang bukan Islam seperti S. Nallakarupan, Wee Cho Keong, Ng Lum Yong dan lain-lain lagi? Mana mungkin mereka sertai Tibai kerana Allah Taala kerana kenyataannya mereka tidak beriman langsung kepada Allah Taala.

Sebenarnya Penulis tidak percaya dengan keikhlasan pemimpin-pemimpin yang menubuhkan Tibai ini. Penulis percaya kelab ini ditubuhkan bukan kerana Allah Taala tetapi kerana kepentingan politik dan hasad dengki yang ada dalam diri mereka itu sendiri. Dan Penulis juga percaya bahawa kelab ini tidak akan kemana-mana. Tidak ramai yang akan sertai kelab ini yang mana akhirnya Tibai tak mampu menibai tetapi sebaliknya pula akan ditibai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...