Powered By Blogger

Monday, April 2, 2012

Bila Izra'il Datang Memanggil

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

APABILA ajal manusia telah tiba, datanglah para malaikat untuk memindahkannya dari alam fana' ini menuju alam adi. Kemudian, malaikat yang ditugaskan untuk mencabut roh mendekati dan mencabut rohnya. Apabila roh itu baik, malaikat berkata, "Keluarlah, wahai jiwa yang baik yang berada di dalam jasad yang baik. Keluarlah secara terhormat dan bergembiralah dengan ketenteraman dan rezeki yang akan kamu perolehi serta bertemu dengan Rabb yang tidak murka." Maka roh itupun keluar dari badan seperti keluarnya titisan air dari kantung air.

Apabila roh itu telah diambil, para malaikat tidak akan membiarkannya begitu sahaja berada di tangan mereka sekelip mata sekalipun. Mereka membungkusnya dengan pembungkus dari syurga dan mengkafankannya dengan kafan dari syurga, kemudian mensolatkannya dan memberinya minyak kasturi yang paling wangi di muka bumi.

Kemudian, roh itu dibawa naik dengan cepat untuk acara pertama. Sampailah mereka di sempadan langit dunia, lalu meminta izin. Setelah itu, pintu-pintu langit tersebut dibuka. Para malaikat di langit pertama mensolatkannya, lalu menghantarnya menuju langit yang seterusnya. Di situ, roh itu disambut dan dilayan seperti di langit pertama. Begitulah seterusnya sehingga mencapai langit terakhir di mana tempat Allah SWT bersemayam. Roh itu kemudiannya mengucapkan salam pada Allah SWT.

Ya Allah, Engkaulah Maha Pemberi keselamatan dan dari-Mu keselamatan. Maha Suci Engkau wahai Yang Maha Agung dan Maha Mulia. [HR Muslim]

Allah SWT kemudiannya berfirman kepada malaikat, "Tuliskan catatan amalan hamba-Ku ini di 'illiyyin. Kemudian, kembalikanlah dia ke bumi kerana darinya Aku menciptakan, kepadanya aku mengembalikan dan darinya Aku bangkitkan lagi." Roh orang mu'min itu kemudian dikembalikan ke bumi dan menyaksikan proses dimandikannya, dikafankannya diusung dan dikebumikannya. Dia berkata, "Percepatkanlah aku! Percepatkanlah aku!" Ketika telah diletakkan di liang lahad dan ditinggalkan teman-temannya, roh kembali masuk ke dalam jasad sehingga dia dapat mendengar bunyi kasut mereka di atas bumi.

Pada ketika itu, datanglah dua malaikat mendudukkannya dan bertanya padanya, "Siapakah Rabb-mu? Apa agamamu? Siapa Nabimu? Orang Mu'min itu lantas menjawab, "Rabb-ku adalah Allah, agamaku adalah Islam dan Muhammad adalah Nabiku."

Lantas kedua malaikat itu membenarkannya serta memberikan khabar gembira bahawa kepercayaan itulah yang dia miliki ketika hidup, yang dia bawa mati dan yang dia miliki ketika dibangkitkan kelak pada waktu datangnya Hari Kiamat.

Ruang kubur seterusnya diperluaskan seluas mata memandang, dibentangkan untuknya taman yang menghijau dan dihantar padanya seorang pemuda yang tampan dan berbau harum. Pemuda itu berkata, "Aku adalah amalanmu solehmu ketika di dunia. Bergembiralah dengan perkara yang menggembirakanmu."

Kemudian dibukakan lorong menuju neraka dan pemuda tampan tersebut berkata, "Itulah tempat yang Allah SWT jauhkan dirimu darinya." Kemudian dibukakan pula lorong menuju syurga dan pemuda tampan itu berkata, "Lihatlah tempat yang Allah SWT sediakan untukmu."

Manakala bagi jiwa yang penuh dengan dosa pula, ia akan didatangi malaikat yang wajahnya hitam pekat. Mereka membawa bersama bau-bauan yang busuk dan kafan dari neraka.

Malaikat pencabut nyawa memanggil-manggil jiwa tersebut, "Wahai jiwa yang buruk yang berada dalam jasad yang buruk! Keluarlah! Bergembiralah kerana kamu akan berada di neraka yang mengandungi air sangat panas dan lahar mendidih, serta beraneka seksaan lain yang serupa." Maka malaikat itupun segera meragut tubuh orang tersebut dengan mencabut rohnya dengan kasar dari dalam tubuhnya. Pembuluh darah dan urat-urat sarafnya koyak rabak sebagaimana duri mengoyakkan kain baldu yang basah. Roh itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja oleh Malaikat Maut. Roh itu diberi sesuatu yang baunya seperti bau bangkai paling busuk di muka bumi. Begitu juga dengan kain kafannya juga berbau sangat busuk.

Para malaikat yang berada di antara langit dan bumi sibuk melaknatnya. Kemudian ia dibawa naik ke langit. Dia meminta agar pintu-pintu langit dibuka untuknya. Akan tetapi, pintu-pintu langit itu tidak juga dibukakan. Setelah itu datanglah panggilan dari Rabb alam semesta, "Tulis dan tempatkan buku catatan amalan buruknya di neraka Sijjin, lalu kembalikanlah ia ke bumi!" Kemudian rohnya dilemparkan begitu sahaja. Dia pun menyaksikan tubuhnya dimandikan, dikafankan serta diusung menuju ke kubur. Di atas tempat pembaringannya tersebut, dia berkata, "Betapa celakanya! Kemanakah mereka membawa jasadku?"

Pada saat jasad tersebut dimasukkan ke dalam liang lahad, rohnya dikembalikan ke jasadnya, Datanglah dua malaikat menemuinya untuk bertanya padanya tentang siapakah Rabb-nya, apa agamanya dan siapa Nabinya. Dengan gementar, dia menjawab, "Aku tidak tahu." Kedua malaikat tersebut kemudian berkata, "Kamu tidak tahu?" Lalu, keduanya memukulnya dengan dasyat sehingga dia menjerit dengan sekuat-kuatnya dan suaranya boleh didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia.

Kemudian, kuburnya menjadi sempit sehingga remuk tulang rusuknya. Dihamparkan alas diperbuat dari api. Setelah itu dibukakan untuknya lorong ke syurga dan dikatakan padanya, "Lihatlah apa yang telah Allah SWT jauhkan darimu." Dibukakan pula lorong menuju ke neraka dan dikatakan kepadanya, "lihatlah tempatmu di neraka." Dia pun melihat dua tempat tersebut.

Kemudian datanglah padanya seorang yang buta, tuli dan bisu. Si mayat tersebut bertanya, "Siapakah kamu? Wajahmu sepertinya wajah yang membawa keburukan." Iapun menjawab, "Aku adalah perbuatan burukmua ketika di dunia."

Setelah itu, orang Mu'min diberikan kenikmatan di alam barzakh mengikut amalan masing-masing. Manakala ahli maksiat pula akan diseksa mengikut amalan buruknya. Dan seksaan yang dialami tersebut berterusan sehinggalah hari dibangkitkan kembali di Padang Mahsyar untuk diadili di hadapan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...